Friday, December 28, 2012

Kubur lama di Jalan Sungai Abong terbiar


KAWASAN perkuburan lama dibiarkan semak dan tidak terurus di Jalan Sungai Abong, Muar, Johor yang memerlukan tindakan pihak berkuasa.

KEADAAN tanah perkuburan lama di tepi Jalan Sungai Abong, Muar yang kini dipenuhi rumput setinggi lebih suku meter, pokok besar merimbun, buah kelapa tua gugur dan berselerakan membuatkan kawasan tersebut terbiar dan menyakitkan mata memandang.

Tanah perkuburan Islam berdekatan Jalan Cenderawasih 1 itu dikatakan sudah berkeadaan demikian sejak beberapa bulan lalu tanpa dihiraukan oleh waris atau pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkannya.

Difahamkan, kawasan itu yang mempunyai lebih 50 kubur lama milik penduduk asal atau generasi awal Kampung Sungai Abong, tidak lagi digunakan untuk pengebumian jenazah walaupun masih ada ruang kosong di situ.

Kawasan itu hanya dibersihkan satu atau dua tahun sekali melalui pungutan derma yang dikumpul oleh pihak waris atau penduduk setempat dan biasanya kerja-kerja pembersihan dilakukan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun begitu, terdapat waris yang menziarahi kubur tersebut pada hari biasa dan ini menyukarkan pergerakan dan tidak selesa kerana rumput panjang ditambah pula terdapat tulisan pada batu nisan yang sudah tidak kelihatan.

Kubur berusia ratusan tahun itu memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan ia bersih dan usaha berkenaan perlu kerana kawasan tersebut berada di tepi jalan utama selain tidak jauh dari bandar Muar.

Pihak Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong perlu melakukan sesuatu dan tidak membiarkan masalah itu berlarutan hanya kerana kerusi kawasan DUN Sungai Abong kini dikuasai oleh Pas.

Pas tidak melakukan sebarang usaha pun untuk membangunkan DUN Sungai Abong dan adalah menjadi tanggungjawab pihak tersebut membantu mengatasi masalah terbabit kerana tiada pihak yang lebih layak atau sesuai menangani masalah itu.

KARIAH PRIHATIN
Sungai Abong, Muar.

Utusan
26 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment