Wednesday, December 19, 2012

CP Muar bantu turunkan kadar jenayah


Suhaimi Sulaiman (kiri) menerima cenderamata sambil diperhati Gan Chai Leong (tengah) pada Majlis Pelancaran Kepolisan Komuniti Muar di Bandar

MUAR 18 Dis. - Penubuhan Kepolisan Komuniti (CP) Muar dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar akan membantu mengurangkan lagi kadar jenayah di daerah ini yang kini mencatatkan penurunan 9.21 peratus bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Muar, Asisten Supritendan Suhaimi Sulaiman berkata, dengan adanya penyertaan masyarakat yang bekerjasama dengan polis mewujudkan komuniti selamat, jenayah kekerasan dan harta benda akan dapat diminimumkan lagi.

“Kadar jenayah di Muar sekarang ini berada pada tahap yang baik apatah lagi pada tahun lalu Muar adalah IPD paling tinggi penurunan kadar jenayahnya di negara ini. Bukan itu sahaja, kita juga adalah tertinggi kadar penyelesaian kes di mahkamah.

“Namun, kita belum selesa dengan keadaan ini, jadi dengan wujudnya Kepolisian Komuniti Muar diharap membantu kami membanteras dan mengurangkan jenayah," katanya pada Majlis Pelancaran Kepolisan Komuniti Muar di Bandar Pesta, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chris Lee Ching Yong, Yang Dipertua Persatuan CP Selangor, Kuan Chee Heng, Pengerusi CP Nusajaya, Yap Teck Tak, Pengerusi CP Muar, Gan Chai Leong dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Datuk Dr. Lau Keen Lee.

Suhaimi kemudian mempelawa orang ramai menyertai komuniti tersebut yang dianggap sebagai salah satu strategi polis mendekatkan orang ramai dalam membantu mengawal jenayah selain menjadi mata dan telinga pihak berkuasa itu.

Sementara itu, Chee Heng berkata, peranan mereka dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang meragukan di kawasan masing-masing amat penting, sekali gus akan mewujudkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama polis mencegah jenayah.

Beliau yang juga Ketua Biro Aduan Awam MCA Puchong dan Exco Yayasan Pengaman Malaysia berkata, mereka dapat membantu menghalang jenayah-jenayah kecil di kawasan kampung atau perumahan daripada berlaku dan meminta anggota CP Muar supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan dengan penjenayah.

Utusan 19 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment