Friday, December 14, 2012

Tiga juara hari keputeraan


ABDUL Rahman Mohamed Dewam (depan, enam dari kanan) bersama para pemenang Pertandingan Kereta Berhias dan Pertandingan Bot Berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada majlis penyampaian hadiah di Muar, Johor, malam kelmarin.

MUAR 13 Dis. - Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Amanah Rakyat (Mara) Johor masing-masing muncul johan dalam tiga pertandingan utama sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di bandar ini hujung bulan lalu.

MPJBT muncul johan Pertandingan Kereta Berhias, manakala Pejabat Daerah Johor Bahru dan Mara Johor masing-masing mengungguli Pertandingan Bot Berhias Besar serta Pertandingan Bot Berhias Kecil sempena sambutan berkenaan.

Dengan kemenangan itu, ketiga-tiga agensi itu membawa pulang RM3,500 dan piala.

Tempat kedua Pertandingan Kereta Berhias milik Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan ketiga Jabatan Kerja Raya, manakala tempat kedua Pertandingan Bot Berhias Besar dimenangi Pasukan Polis Marin Muar, namun tiada yang layak memenangi tempat ketiga), manakala tempat kedua Pertandingan Bot Berhias Kecil adalah Yayasan Pelajaran Negeri Johor dan ketiga, Pejabat Daerah Segamat.

Pemenang tempat kedua setiap pertandingan menerima RM2,500 dan piala, manakala tempat ketiga meraih RM1,500 dan piala.

Hadiah disampaikan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam dalam Majlis Jamuan Makan Malam dan Penyampaian Hadiah di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar di sini malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha MPJBT, Farizal Ismail berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua minggu membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan itu yang menerapkan konsep Bandar Dalam Taman.

Utusan
14 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment