Tuesday, December 18, 2012

Bandar Maharani Bandar Diraja


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diiringi Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan rakyat jelata semasa baginda hadir untuk merasmikan Masjid Al-Ikhsan dan solat Jumaat sempena sambutan hari keputeraan baginda di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 16 Dis. - Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November lalu berlangsung dalam penuh warna-warni dan gilang-gemilang.

Lebih 20 acara atau program berlangsung yang melibatkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung di sepanjang sambutan itu termasuk dari luar daerah ini dan tidak ketinggalan pelancong asing.

Majlis keraian tersebut adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana pertama kali seumpamanya diadakan di negara ini dan lebih bermakna apabila tradisi, upacara serta adat istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula dalam beberapa majlis utama.

Malah, bertambah bermakna apabila bonda Sultan Johor, Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; isterinya, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; puteri dan puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar turut berangkat ke majlis-majlis utama.

Ketaatan, kesetiaan dan kecintaan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditunjukkan sejak hari pertama lagi apabila ribuan rakyat membanjiri bandar ini seawal pukul 7.30 pagi untuk menyaksi baginda melakukan pemeriksaan barisan kehormat dan tabik hormat diraja di Jalan Arab.

Kemudian berlangsungnya Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran Serta Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim yang buat pertama kalinya diadakan di luar Istana Besar di Johor Bahru sejak 125 tahun lalu.

Meskipun tertutup tetapi majlis itu boleh disaksikan secara langsung melalui skrin besar yang disediakan Majlis Perbandaran Muar (MPM) di empat lokasi strategik di bandar ini iaitu di pekarangan dewan tersebut, Uptown Muar di Jalan Sisi, Padang Nyiru (Jalan Maharani) dan pekarangan Stesen Bas Bentayan (Jalan Bentayan).

Selain majlis itu, turut berlangsung dalam dewan tersebut Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Triman dan Mengadap Takzim serta Majlis Santapan Diraja, sementara sempena hari keputeraan baginda yang ke-54 itu, sebanyak 404 individu dikurniakan darjah dan pingat kebesaran.

Pada sebelah petangnya pula diadakan majlis jamuan teh di Stadium Sultan Ibrahim dengan kehadiran kira-kira 15,000 rakyat jelata serta turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; isterinya, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin; isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil.

Keesokannya pula selepas merasmikan Masjid Al-Ikhsan di Batu 18, Air Hitam, Sultan Ibrahim dan kerabatnya berangkat menyaksikan perarakan 25 kereta berhias pada sebelah malamnya yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Abdul Ghani dan isterinya.

Perarakan pada hari kedua itu disertai jabatan dan agensi kerajaan termasuk dewan-dewan perniagaan di sini yang tampil dengan identiti, rekaan dan konsep tersendiri mengikut kreativiti masing-masing.

Antara yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB), Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Johor, Persada Johor, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Gabungan Persatuan-persatuan Tiong Hwa Muar, Dewan Perniagaan Cina Muar dan Jabatan Pertanian negeri.

Kira-kira 20,000 pengunjung berdiri di kiri dan kanan laluan sepanjang empat kilometer di Jalan Arab itu, selain diselang-seli dengan persembahan 11 kumpulan kebudayaan yang mewakili pelbagai kaum dan sebelum itu pertunjukan daripada lebih 120 motosikal berkuasa tinggi.

Hari ketiga menyaksikan detik penting apabila bandar Muar yang kaya dengan sejarah diisytihar sebagai Bandar Diraja oleh Sultan Ibrahim di Dataran Tanjung Emas dan dalam titahnya baginda sekali lagi mengingatkan penduduk Muar supaya menjaga kebersihan.

Baginda selepas itu menanam kotak watikah perisytiharan di Tugu Masa, disusuli dengan perasmian Pertandingan Jet Ski Antarabangsa 2012 selama tiga hari di pesisiran Sungai Muar yang melibatkan 50 peserta dengan 15 daripadanya dari Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand serta Jepun bagi merebut hadiah keseluruhan RM60,000 termasuk trofi.

Turut diadakan pada hari sama di sebelah siang ialah pertandingan bola sepak dan bola jaring di Stadium Sultan Ibrahim serta pertandingan futsal di Pusat Rakan Muda, manakala malamnya diadakan persembahan kebudayaan dan konsert di stadium itu.

Sementara itu, pada hari keempat, baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit menyaksikan himpunan 130 kereta mewah supercars seperti Ferrari, Porsche, Lamborgini, Bentley dan Lotus yang didatangkan dari seluruh negara di tempat letak kereta bersebelahan Menara Jam Tanjung Emas.

Pada masa sama diadakan pertandingan bola sepak, futsal, bola jaring dan larian keputeraan di stadium dan dataran tersebut sebelum acara 55 bot berhias berlangsung pada sebelah malam di tepi Sungai Muar bermula dari Tanjung Emas.

Kemuncak acara pada malam itu ialah apabila Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan perarakan bot tersebut dari atas Jambatan Sultan Ismail yang ditutup khas selama 14 jam pada hari itu sempena sambutan akhir pada malam berkenaan.

Turut diadakan serentak adalah pertunjukan bunga api yang dilepaskan dari Tanjung Emas, sekali gus memberikan pemandangan meriah dari jambatan tersebut.

Keadaan di jambatan itu teramat sesak kerana buat pertama kalinya selepas 45 tahun dirasmikan Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim, laluan itu ditutup untuk lalu lintas dan orang ramai bersantai sambil melihat pemandangan dalam suasana bermandikan cahaya sambil menyaksikan acara sedia ada, selain melawat ke lebih 50 gerai yang disediakan.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung membanjiri bandar Muar pada malam itu untuk semua acara yang disediakan termasuk persembahan kebudayaan dan konsert di stadium tersebut.

Sambutan di peringkat negeri itu melabuhkan tirai dengan penuh nostalgik pada hari kelima melalui dua program iaitu Demonstrasi Sukan Teras Johor dan derma darah yang kedua-duanya berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Hari Keputeraan Sultan Johor akan terus disambut di lapan buah daerah lain bagi memberikan peluang kepada rakyat Johor di luar daerah ini meraikannya iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Ledang dan Kulaijaya.

Utusan
17 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment