Friday, December 28, 2012

Tiga hari tak keluar rumah


Mohamad Razif menunjukkan keadaan jalan yang rosak akibat terlalu kerap menakung air selepas hujan lebat.

MUAR - Sekeluarga di Kampung Parit Haji Yaacob Batu 18, Air Hitam dekat sini, pernah berhadapan situasi sukar apabila tidak dapat keluar rumah selama tiga hari semasa kampung berkenaan dilanda banjir setinggi 0.4 meter, bulan lalu.

Selain itu, mereka juga mengalami kesulitan apabila terpaksa menggunakan jalan rosak dan becak setiap hari.

Mohamad Razif Yusman, 30, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan hampir 10 tahun lalu, sejak jalan itu dibuka untuk kegunaan keluarganya, namun keadaan semakin serius kebelakangan ini.

Menurutnya, masalah itu terjadi dikenal pasti berpunca daripada kawasan berkenaan tidak mempunyai sistem perparitan menyebabkan air bertakung setiap kali hujan lebat.

“Air yang tertakung ini mengambil masa hampir seminggu untuk kering dan dalam tempoh itu, saya sekeluarga terpaksa menggunakan jalan becak ini.

“Pakaian kerja saya sering kotor kerana terkena percikan daripada motosikal yang ditunggang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, kereta milik abang iparnya yang tinggal di sini juga terpaksa kerap dicuci kerana kelihatan terlalu kotor setiap kali menggunakan jalan ini.

Selain itu, katanya, ada ahli keluarganya pernah terjatuh disebabkan motosikal yang ditunggang tergelincir semasa melalui bahagian jalan yang becak pada waktu malam.

“Kami tiada pilihan selain terpaksa menggunakan jalan becak ini kerana tidak ada  jalan alternatif lain yang menghubungkan ke rumah ini,” katanya.

Mohamad Razif berkata, jalan sepanjang 0.6 kilometer (km) itu pernah mendapat bantuan diturap menggunakan batu merah, empat tahun lalu.

Katanya lagi, bagaimanapun jalan itu sudah kembali rosak akibat terlalu kerap  menakung air dan seterusnya menyebabkan terjadi banyak bahagian berlopak.

“Kami bukan sengaja tidak mahu menurap sendiri jalan ini, tetapi masalah kewangan telah menghalang usaha tersebut.

“Sehubungan itu, saya merayu supaya jalan ini dapat dibaiki segera bagi keselesaan kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian
27 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment