ROBIA Kosai (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memasak pada majlis Penutupan Program Agensi Bersama Masyarakat Kemas Parlimen Muar di SK Parit Bakar Tengah, Muar, semalam.
MUAR 23 Dis. - Golongan suami kini mula menjadi mangsa keganasan rumah tangga berdasarkan laporan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, daripada 59 kes keganasan rumah tangga yang diterima tahun ini, lima mangsa adalah membabitkan suami, manakala selebihnya golongan isteri yang didera secara fizikal.
"Statistik menunjukkan suami yang menjadi mangsa itu adalah seorang Melayu dan tiga India dalam kes yang berlaku di Johor Bahru sementara satu kes lagi membabitkan suami menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah di Batu Pahat.
"Jumlah suami yang menjadi mangsa perlakuan itu tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu masing-masing seorang Melayu dan India juga di Johor Bahru," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Penutupan Program Agensi Bersama Masyarakat Kemas Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan Parit Bakar Tengah, Parit Bakar di sini hari ini.
Mengulas lanjut Robia berkata, berdasarkan laporan sepanjang tempoh tersebut, wanita Melayu mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 33 mangsa, India (14) dan Cina (12) manakala Johor Bahru merupakan bandar yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 46 diikuti Muar (8), Batu Pahat dan Kluang (2) serta Kulaijaya (1).
Katanya, antara keganasan atau penderaan yang dilakukan terhadap mangsa seperti menumbuk, menyepak, menampar termasuk penderaan secara seksual.
Robia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata, ada antara isteri yang didera membuat laporan polis tetapi menarik semula laporan tersebut hanya dalam masa tidak sampai sehari setelah dipujuk suami.
"Apabila laporan ditarik balik, menyukarkan pihak berkuasa untuk mengheret suami ke muka pengadilan sekali gus mendakwa mereka atas kesalahan itu.
"Dalam hal ini, kita menasihatkan terutama isteri yang didera supaya mengetahui hak mereka dan jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini. Apatah lagi jika perbuatan itu dilihat anak-anak, ini akan meninggalkan trauma kepada mereka," katanya.
Utusan
24 Dis 2012
0 comments:
Post a Comment