Saturday, December 22, 2012

IPD Muar terima 6 aset URB


Sahadan (tiga, kiri) menunjukkan URB yang diterima IPD Muar, semalam.

MUAR - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima enam aset bagi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebagai kegunaan untuk mencegah kegiatan jenayah di beberapa kawasan di daerah ini yang tinggi kadar jenayahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Sahadan Jaafar berkata, aset URB diterima adalah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 yang akan meronda 24 jam sehari dan antara kawasan dikenal pasti tinggi kegiatan jenayah adalah di Jalan Sungai Abong dan Jalan Kim Kee.

Menurutnya, bagi fasa pertama, pihaknya menerima enam unit aset URB dengan setiap satu berharga kira-kira RM20,000 dan selepas itu bakal menerima sembilan unit lagi pada tahun ini secara berperingkat menjadikan semuanya berjumlah 16 buah.

“URB akan meronda di kawasan kampung dan taman berjumpa dengan masyarakat meminta mereka bekerjasama sama dengan kita dalam membanteras jenayah.

“Peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal jenis itu disediakan bagi program URB di empat negeri iaitu di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya pada penyerahan motosikal tersebut di pekarangan IPD Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, URB dilaksanakan dengan kaedah ‘buddy system’ secara tiga syif selama 24 jam di sekitar  kawasan perumahan dan lokasi sibuk seperti kawasan perniagaan,  taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

Jelasnya, URB berkenaan mempunyai 16 anggota termasuk pegawai dan pendekatan tersebut secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat yang menjadi mata dan telinga polis.

Selain itu, Sahadan turut memberitahu IPD Muar akan melancarkan Kepolisian Komuniti Sempena Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sempena Pengisytiharan Bandar Muar Bandar Diraja di Kompleks Pekembar, Pagoh, 27 Disember ini.

Sinar Harian
22 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment