Friday, December 28, 2012

Indeks jenayah Johor turun


Mohd Mokhtar (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada Sahadan di Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.

MUAR - Indeks jenayah menurun sebanyak 1,822 kes iaitu 8.5 peratus bagi tahun ini, sekaligus menepis dakwaan negeri ini tidak selamat bagi pelabur asing kerana kes jenayah di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penurunan berkenaan menunjukkan negeri ini selamat dan dapat mengubah persepsi tidak tepat kononnya kegiatan jenayah kerap berlaku atau tidak terkawal.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun ini polis Johor dapat terus menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

"Statistik kadar penurunan jenayah sepanjang tahun ini akan dibentangkan dan dijelaskan secara terperinci kepada umum untuk menilainya pada minggu pertama Januari depan.

“Kita akan beri taklimat dan jemput parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pejabat daerah dan lain-lain tentang pencapaian kita sepanjang 2012.

“Melalui pembentangan kadar jenayah bagi 2012 itu, segala kejayaan dan kelemahan akan didedahkan selain mengalu-alukan sebarang pandangan untuk menurunkan kadar jenayah serta sedia dikritik bagi menambah baik perkhidmatan,” katanya selepas merasmikan  program Pencegahan Jenayah Bersama-sama Belia dan Masyarakat Pagoh serta Penyampaian Sijil Penghargaan di Kompleks Sri Pekembar, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli; Timbalannya, Superintenden Sahadan Jaafar; Adun Jorak, Datuk Dr Saharudin Md Salleh; Adun Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam dan Penganalisis Jenayah Malaysia, Kamal Affendy Hashim.

Selain itu pada program berkenaan, Mokhtar turut menyampaikan Surat Penghargaan kepada 11 orang awam, enam ketua bahagian anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan 30 penerima khidmat cemerlang.

Mohd Mokhtar berkata, IPD Muar masih lagi mencatatkan kadar penyelesaian dan pendakwaan kes bagi kategori A tertinggi di negara ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Katanya, Mohamad Nasir mempunyai cara tersendiri dalam menangani dan mengawal kegiatan jenayah di Muar termasuk mengendalikan barisan pasukannya dalam suasana penuh kekeluargaan bagi memastikan setiap strategi berkesan.

Sinar Harian
28 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment