Sunday, December 9, 2012

Dua lelaki miliki pistol ditahan

Sahadan (tengah) menunjukkan pistol jenis Colt yang ditemui ketika serbuan tersebut.

MUAR – Sepasukan anggota polis Jabatan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Junid, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Sahadan Jaafar berkata, penangkapan ke atas suspek berusia 28 dan 32 tahun itu, dipercayai bersangkutan dengan kes pengedaran dadah.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 1 pagi itu tidak menjumpai bahan terlarang tersebut, sebaliknya menjumpai sepucuk pistol jenis Colt tanpa peluru yang disimpan di bawah katil di bilik belakang rumah berkenaan.

“Walaupun pistol tiruan tetapi ia mempunyai fungsi senjata api sebenar kerana pelurunya boleh membunuh.

“Kita tidak menolak kemungkinan senjata api ini digunakan suspek untuk melakukan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pada mulanya suspek tidak mengaku senjata itu miliknya, tetapi mengatakan ia milik bapa saudaranya.

“Senjata api ini akan dihantar ke makmal forensik untuk menjalani ujian balistik.

“Kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu. Lelaki berusia 28 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah, manakala lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan peras ugut,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara satu tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian
9 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment