Monday, December 31, 2012

Gigih bantu golongan sasar


Mohd Johari (lima, kiri) bersama penerima dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) pada Karnival Peladang Johor 2012 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Bakri.

MUAR - Pegawai dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta memainkan peranan sebenar membantu petani, penternak dan nelayan untuk meningkatkan produktiviti serta sosioekonomi masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, usaha itu perlu dipergiatkan kerana fungsi yang dimainkan tiga agensi itu masih kurang berkesan bagi memastikan golongan sasar terlibat dalam transformasi sektor berkenaan.

Menurutnya, pihak berkaitan seharusnya berusaha gigih membantu golongan sasar dengan cara turun padang seperti memberi pertolongan kepada petani dengan klon-klon tanaman yang baik dan mencari keperluan golongan itu.

“Pegawai kerajaan kena betul-betul, kena latih, nasihat dan beri taklimat cara penanaman yang betul mengikut sistem dan teknologi terkini.

“Sektor pertanian kini berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran antaranya perubahan cuaca, kekurangan tenaga kerja, tanah tidak mencukupi, kaedah mencegah atau mengawal penyakit dan pentingnya penggunaan teknologi baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Peladang Johor 2012 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Bakri, dekat sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah PPN Johor; Datuk Saipolbahri Suib, Pengerusi LPP; Datuk Zainal Dahalan dan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamad Dewam.

Beliau berkata, pihak berkaitan perlu memaklumkan kepada kementerian berhubung perkembangan atau sebarang bentuk cadangan yang difikirkan mampu serta wajar dilakukan bagi meningkatkan hasil dan mengubah kehidupan golongan berkenaan.

Katanya, negara masih lagi mengimport bahan makanan iaitu kira-kira RM34.5 bilion berbanding eksport kira-kira RM23 bilion setahun dan keadaan itu berlaku kerana sektor terbabit masih rendah
pengeluarannya.

“Bajet 2013, kerajaan memperuntukkan RM5.6 bilion untuk tiga golongan berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak RM2.6 bilion adalah untuk nelayan dalam bentuk insentif dan diesel,” katanya.

Sinar Harian
30 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment