Sunday, December 9, 2012

'Tetamu' tidak diundang


Monyet ini menceroboh masuk stor pasar raya melalui lubang yang terdapat pada bumbung.

MUAR - Sebuah pasar raya di sini bertukar kecoh apabila menerima kunjungan 'tetamu' tidak diundang iaitu sekumpulan monyet yang  menceroboh masuk ke dalam stor simpanan barangan pasar raya itu, petang kelmarin.

Sekumpulan haiwan itu bertindak menggeledah barangan dan memakan bekalan makanan yang disimpan menyebabkan keadaan stor berselerak.

Kehadiran kira-kira 20 ekor monyet itu disedari dua pekerja stor pasar raya berkenaan, pada jam 1 petang ketika waktu rehat.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika melintasi stor dia berasa pelik setelah mendapati terdapat beberapa  barangan bertaburan di atas lantai dan pada mulanya mengesyaki barang terjatuh.

“Apabila membuat pemeriksaan di bahagian lain, saya semakin hairan kerana bahagian tersebut juga berselerak, bahkan lebih teruk.

“Saya tidak berpuas hati lalu buat pemeriksaan di bahagian belakang stor dan terkejut mendapati hampir 20 ekor monyet sedang menggeledah barang-barang dan sebahagiannya sedang makan makanan dalam kotak,” katanya.

Katanya, cubaan menghalau monyet terbabit gagal, sehingga terpaksa mendapatkan khidmat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) daerah untuk bantuan.

“Sebagai langkah keselamatan, kita menutup semua pintu-pintu stor bagi mengelakkan haiwan ini lari ke bahagian beli-belah.

Kejadian ini adalah pertama kali berlaku di pasar raya itu dan dipercayai monyet tersebut masuk melalui lubang pada bumbung bangunan.

Sementara itu, jurucakap Perhilitan daerah ketika dihubungi berkata, monyet-monyet itu dipercayai dari Taman Rekreasi Tanjung Ketapang yang kelaparan menyebabkan haiwan berkenaan berkeliaran sehingga menceroboh masuk stor sebuah pasar raya  di tengah bandar ini.

“Kita tidak dapat menghalau monyet-monyet ini berikutan keadaan stor yang terlalu padat dengan barang-barang.

“Sebagai langkah pencegahan, Perhilitan memasang dua perangkap dalam stor untuk menangkap haiwan ini dan akan dihantar ke habitatnya di Tanjung Ketapang,” katanya.

Sinar Harian
9 Dis 2012

0 comments:

Post a Comment