Mazlan mengetuai upacara pembakaran bendera dan patung Benjamin Netanyahu di Dataran Anjung Mesra Batu 17 ½, Air Hitam, kelmarin.
MUAR - Upacara membakar bendera dan patung Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi kemuncak program Gelombang Biru Gerak Mesra Bersama Rakyat Dun Bukit Naning di Dataran Anjung Mesra Batu 17 ½, Air Hitam, di sini, kelmarin.
Upacara itu diketuai Timbalan Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari dan disaksikan hampir 4,000 masyarakat setempat.
Mazlan berkata, ia adalah simbolik kebencian masyarakat Bukit Naning, khususnya dalam kawasan Air Hitam terhadap kekejaman yang dilakukan Israel ke atas umat Islam di Palestin.
“Ini salah satu jihad, walaupun jauh tetapi kita tetap mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana supaya dapat bebas daripada cengkaman penjajahan Zionis Israel.
“Bulan lalu, negara itu sekali lagi diserang melalui serangan udara yang dilancarkan selama lapan hari dan menyebabkan ramai orang awam yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, biarpun serangan tersebut dapat dihentikan menerusi perundingan proses gencatan senjata hasil usaha Presiden Mesir, Mohammed Morsi, membawa satu harapan untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.
Mazlan berkata, beliau mahu lebih ramai pihak akan bertindak membakar bendera dan perdana menteri Israel bagi membuktikan kepada dunia bahawa ramai yang memprotes tindakan Israel.
“Kita mengharapkan usaha tersebut dapat menamatkan segera konflik Israel-Palestin dan penduduk Palestin tidak lagi ditindas.
“Mari kita mendoakan agar negara Palestin pada masa akan datang aman damai dan seterusnya negara Islam lain dapat membantu perjuangan ini sebagai perjuangan jihad,” katanya.
Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail; Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib; Ketua Wanita Bahagian Bakri, Jamilah Othman dan Pegawai Khas Menteri Besar Dun Bentayan, Chris Lee Ching Yong.
Mengenai program tersebut, Mazlan berkata, ia menjadi platform untuk mendekati rakyat dan menyalurkan lebih banyak maklumat mengenai negara menerusi ceramah bertajuk Cabaran Umat Kini yang disampaikan oleh Ishak.
Tambahnya, penceramah membuka minda rakyat mengenai dakyah dan juga fitnah yang sering kali dibuat pembangkang.
“Secara keseluruhannya, saya puas hati kerana ramai rakyat hadir pada program ini, meskipun mendapat saingan kerana pembangkang turut mengadakan ceramah pada hari berkenaan.
“Kehadiran ramai ini membuktikan rakyat lebih mempercayai Barisan Nasional (BN) yang terbukti sebuah parti yang dapat membela rakyat,” katanya.
Sinar Harian
26 Dis 2012
0 comments:
Post a Comment