REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Monday, December 31, 2012

Gigih bantu golongan sasar


Mohd Johari (lima, kiri) bersama penerima dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) pada Karnival Peladang Johor 2012 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Bakri.

MUAR - Pegawai dari Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diminta memainkan peranan sebenar membantu petani, penternak dan nelayan untuk meningkatkan produktiviti serta sosioekonomi masing-masing.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum berkata, usaha itu perlu dipergiatkan kerana fungsi yang dimainkan tiga agensi itu masih kurang berkesan bagi memastikan golongan sasar terlibat dalam transformasi sektor berkenaan.

Menurutnya, pihak berkaitan seharusnya berusaha gigih membantu golongan sasar dengan cara turun padang seperti memberi pertolongan kepada petani dengan klon-klon tanaman yang baik dan mencari keperluan golongan itu.

“Pegawai kerajaan kena betul-betul, kena latih, nasihat dan beri taklimat cara penanaman yang betul mengikut sistem dan teknologi terkini.

“Sektor pertanian kini berdepan dengan pelbagai risiko dan cabaran antaranya perubahan cuaca, kekurangan tenaga kerja, tanah tidak mencukupi, kaedah mencegah atau mengawal penyakit dan pentingnya penggunaan teknologi baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Peladang Johor 2012 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muar di Bakri, dekat sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Ahli Jemaah PPN Johor; Datuk Saipolbahri Suib, Pengerusi LPP; Datuk Zainal Dahalan dan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamad Dewam.

Beliau berkata, pihak berkaitan perlu memaklumkan kepada kementerian berhubung perkembangan atau sebarang bentuk cadangan yang difikirkan mampu serta wajar dilakukan bagi meningkatkan hasil dan mengubah kehidupan golongan berkenaan.

Katanya, negara masih lagi mengimport bahan makanan iaitu kira-kira RM34.5 bilion berbanding eksport kira-kira RM23 bilion setahun dan keadaan itu berlaku kerana sektor terbabit masih rendah
pengeluarannya.

“Bajet 2013, kerajaan memperuntukkan RM5.6 bilion untuk tiga golongan berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak RM2.6 bilion adalah untuk nelayan dalam bentuk insentif dan diesel,” katanya.

Sinar Harian
30 Dis 2012

Sunday, December 30, 2012

Peniaga diculik bebas selepas keluarga bayar RM1 juta


MUAR: Seorang peniaga pakaian berusia 56 tahun yang diculik 3 hari lalu dari rumahnya telah dibebaskan di sebuah ladang kelapa sawit di Sekinchan, Selangor semalam selepas keluarganya membayar wang tebusan sebanyak RM1 juta.


Ahli perniagaan dan keluarganya baru saja pulang ke rumah mereka di Jalan Abdul Rahman di sini pada kira-kira pukul 9 malam pada Jumaat ketika dia diculik.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Liu, dikatakan baru saja meletakkan keretanya di perkarangan rumah dan sedang menunggu pintu pagar otomatiknya tertutup apabila empat orang lelaki bertopeng menyerbu dan mengheretnya keluar dari keretanya.

Isteri mangsa membaling beberapa buah pasu bunga ke arah kumpulan penculik tersebut dalam usaha untuk menyelamatkan suaminya namun mereka berjaya mengheret mangsa ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu di hadapan rumah dan meninggalkan tempat kejadian.

Semalam, salah seorang ahli keluarga mangsa berkata mangsa mengalami kesukaran untuk tidur sejak kejadian tersebut dan masih trauma.

“Dia sudah pulang tapi tidak mahu diganggu,” tambahnya.

Difahamkan selain perniagaan pakaian, peniaga yang menjalankan perniagaannya di Kuala Lumpur juga mempunyai perniagaan lain termasuk pembinaan dan menjual beli kereta.

Mangsa juga selalu pergi ke China untuk tujuan perniagaan dan telah berpindah ke Muar beberapa tahun yang lepas, namun hanya pulang sekali sekala.

Seorang jiran yang enggan dikenali berkata, dia berlari keluar setelah terdengar kekecohan dan jeritan meminta tolong.

“Apabila saya melihat ke luar, saya nampak beberapa orang lelaki sedang mengheret mangsa ke dalam sebuah kereta yang sedang menunggu,” katanya.

Dia mendakwa isteri mangsa menerima satu panggilan 2 jam selepas kejadian dari seorang pemanggil yang tidak mengenalkan dirinya yang meminta wang tebusan sebanyak RM1 juta jika dia ingin suaminya dibebaskan.

“Isteri mangsa mula panik dan menghubungi beberapa orang rakan untuk meminjam wang," katanya dengan menambah yang isteri mangsa akhirnya berjaya mengumpulkan jumlah wang seperti yang diminta kumpulan penculik tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Johor SAC Datuk Dr Hashim Haron mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lebih lanjut.

Sumber The Star 26 Dis 2012



Friday, December 28, 2012

Simbolik gerakan benci Israel


Mazlan mengetuai upacara pembakaran bendera dan patung Benjamin Netanyahu di Dataran Anjung Mesra Batu 17 ½, Air Hitam, kelmarin.

MUAR - Upacara membakar bendera dan patung Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjadi kemuncak program Gelombang Biru Gerak Mesra Bersama Rakyat Dun Bukit Naning di Dataran Anjung Mesra Batu 17 ½, Air Hitam, di sini, kelmarin.

Upacara itu diketuai Timbalan Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari dan disaksikan  hampir 4,000 masyarakat setempat.

Mazlan berkata, ia adalah simbolik kebencian masyarakat Bukit Naning, khususnya dalam kawasan Air Hitam terhadap kekejaman yang dilakukan Israel ke atas umat Islam di Palestin.

“Ini salah satu jihad, walaupun jauh tetapi kita tetap mendoakan kesejahteraan umat Islam di sana supaya dapat bebas daripada cengkaman penjajahan Zionis Israel.

“Bulan lalu, negara itu sekali lagi diserang melalui serangan udara yang dilancarkan selama lapan hari dan menyebabkan ramai orang awam yang meninggal dunia,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, biarpun serangan tersebut dapat dihentikan menerusi perundingan proses gencatan senjata hasil usaha Presiden Mesir, Mohammed Morsi, membawa satu harapan untuk menamatkan konflik Israel-Palestin.

Mazlan berkata, beliau mahu lebih ramai pihak  akan bertindak membakar bendera dan perdana menteri Israel bagi membuktikan  kepada dunia bahawa ramai yang memprotes tindakan Israel.

“Kita mengharapkan usaha tersebut dapat menamatkan segera konflik Israel-Palestin dan penduduk Palestin tidak lagi ditindas.

“Mari kita  mendoakan agar negara Palestin pada masa akan datang  aman damai dan seterusnya negara Islam lain dapat membantu perjuangan ini sebagai perjuangan jihad,” katanya.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail; Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Saipolbahri Suib; Ketua Wanita Bahagian Bakri, Jamilah Othman dan Pegawai  Khas Menteri Besar Dun Bentayan, Chris Lee Ching Yong.

Mengenai program tersebut, Mazlan berkata, ia  menjadi platform untuk mendekati rakyat dan menyalurkan lebih banyak maklumat mengenai negara menerusi ceramah bertajuk Cabaran Umat Kini yang disampaikan oleh Ishak.

Tambahnya, penceramah membuka minda rakyat mengenai dakyah dan juga fitnah yang sering kali dibuat pembangkang.

“Secara keseluruhannya, saya puas hati kerana ramai rakyat hadir pada program ini, meskipun mendapat saingan kerana pembangkang turut mengadakan ceramah pada hari berkenaan.

“Kehadiran ramai ini membuktikan rakyat lebih mempercayai Barisan Nasional (BN) yang terbukti sebuah parti yang dapat membela rakyat,” katanya.

Sinar Harian
26 Dis 2012

Indeks jenayah Johor turun


Mohd Mokhtar (kanan) menyampaikan surat penghargaan kepada Sahadan di Kompleks Sri Pekembar di sini, semalam.

MUAR - Indeks jenayah menurun sebanyak 1,822 kes iaitu 8.5 peratus bagi tahun ini, sekaligus menepis dakwaan negeri ini tidak selamat bagi pelabur asing kerana kes jenayah di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, penurunan berkenaan menunjukkan negeri ini selamat dan dapat mengubah persepsi tidak tepat kononnya kegiatan jenayah kerap berlaku atau tidak terkawal.

Menurutnya, dalam tempoh lima tahun ini polis Johor dapat terus menurunkan kadar jenayah di negeri ini.

"Statistik kadar penurunan jenayah sepanjang tahun ini akan dibentangkan dan dijelaskan secara terperinci kepada umum untuk menilainya pada minggu pertama Januari depan.

“Kita akan beri taklimat dan jemput parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pejabat daerah dan lain-lain tentang pencapaian kita sepanjang 2012.

“Melalui pembentangan kadar jenayah bagi 2012 itu, segala kejayaan dan kelemahan akan didedahkan selain mengalu-alukan sebarang pandangan untuk menurunkan kadar jenayah serta sedia dikritik bagi menambah baik perkhidmatan,” katanya selepas merasmikan  program Pencegahan Jenayah Bersama-sama Belia dan Masyarakat Pagoh serta Penyampaian Sijil Penghargaan di Kompleks Sri Pekembar, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli; Timbalannya, Superintenden Sahadan Jaafar; Adun Jorak, Datuk Dr Saharudin Md Salleh; Adun Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam dan Penganalisis Jenayah Malaysia, Kamal Affendy Hashim.

Selain itu pada program berkenaan, Mokhtar turut menyampaikan Surat Penghargaan kepada 11 orang awam, enam ketua bahagian anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan 30 penerima khidmat cemerlang.

Mohd Mokhtar berkata, IPD Muar masih lagi mencatatkan kadar penyelesaian dan pendakwaan kes bagi kategori A tertinggi di negara ini bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.

Katanya, Mohamad Nasir mempunyai cara tersendiri dalam menangani dan mengawal kegiatan jenayah di Muar termasuk mengendalikan barisan pasukannya dalam suasana penuh kekeluargaan bagi memastikan setiap strategi berkesan.

Sinar Harian
28 Dis 2012

Suami mangsa dera isteri


ROBIA Kosai (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memasak pada majlis Penutupan Program Agensi Bersama Masyarakat Kemas Parlimen Muar di SK Parit Bakar Tengah, Muar, semalam.

MUAR 23 Dis. - Golongan suami kini mula menjadi mangsa keganasan rumah tangga berdasarkan laporan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, daripada 59 kes keganasan rumah tangga yang diterima tahun ini, lima mangsa adalah membabitkan suami, manakala selebihnya golongan isteri yang didera secara fizikal.

"Statistik menunjukkan suami yang menjadi mangsa itu adalah seorang Melayu dan tiga India dalam kes yang berlaku di Johor Bahru sementara satu kes lagi membabitkan suami menjadi mangsa keganasan rumah tangga adalah di Batu Pahat.

"Jumlah suami yang menjadi mangsa perlakuan itu tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu masing-masing seorang Melayu dan India juga di Johor Bahru," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Penutupan Program Agensi Bersama Masyarakat Kemas Parlimen Muar di Sekolah Kebangsaan Parit Bakar Tengah, Parit Bakar di sini hari ini.

Mengulas lanjut Robia berkata, berdasarkan laporan sepanjang tempoh tersebut, wanita Melayu mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 33 mangsa, India (14) dan Cina (12) manakala Johor Bahru merupakan bandar yang mencatatkan kes tertinggi iaitu 46 diikuti Muar (8), Batu Pahat dan Kluang (2) serta Kulaijaya (1).

Katanya, antara keganasan atau penderaan yang dilakukan terhadap mangsa seperti menumbuk, menyepak, menampar termasuk penderaan secara seksual.

Robia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang berkata, ada antara isteri yang didera membuat laporan polis tetapi menarik semula laporan tersebut hanya dalam masa tidak sampai sehari setelah dipujuk suami.

"Apabila laporan ditarik balik, menyukarkan pihak berkuasa untuk mengheret suami ke muka pengadilan sekali gus mendakwa mereka atas kesalahan itu.

"Dalam hal ini, kita menasihatkan terutama isteri yang didera supaya mengetahui hak mereka dan jangan tunggu sehingga berlaku kejadian yang tidak diingini. Apatah lagi jika perbuatan itu dilihat anak-anak, ini akan meninggalkan trauma kepada mereka," katanya.

Utusan
24 Dis 2012

Kubur lama di Jalan Sungai Abong terbiar


KAWASAN perkuburan lama dibiarkan semak dan tidak terurus di Jalan Sungai Abong, Muar, Johor yang memerlukan tindakan pihak berkuasa.

KEADAAN tanah perkuburan lama di tepi Jalan Sungai Abong, Muar yang kini dipenuhi rumput setinggi lebih suku meter, pokok besar merimbun, buah kelapa tua gugur dan berselerakan membuatkan kawasan tersebut terbiar dan menyakitkan mata memandang.

Tanah perkuburan Islam berdekatan Jalan Cenderawasih 1 itu dikatakan sudah berkeadaan demikian sejak beberapa bulan lalu tanpa dihiraukan oleh waris atau pihak yang bertanggungjawab untuk membersihkannya.

Difahamkan, kawasan itu yang mempunyai lebih 50 kubur lama milik penduduk asal atau generasi awal Kampung Sungai Abong, tidak lagi digunakan untuk pengebumian jenazah walaupun masih ada ruang kosong di situ.

Kawasan itu hanya dibersihkan satu atau dua tahun sekali melalui pungutan derma yang dikumpul oleh pihak waris atau penduduk setempat dan biasanya kerja-kerja pembersihan dilakukan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun begitu, terdapat waris yang menziarahi kubur tersebut pada hari biasa dan ini menyukarkan pergerakan dan tidak selesa kerana rumput panjang ditambah pula terdapat tulisan pada batu nisan yang sudah tidak kelihatan.

Kubur berusia ratusan tahun itu memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan secara berkala bagi memastikan ia bersih dan usaha berkenaan perlu kerana kawasan tersebut berada di tepi jalan utama selain tidak jauh dari bandar Muar.

Pihak Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Abong perlu melakukan sesuatu dan tidak membiarkan masalah itu berlarutan hanya kerana kerusi kawasan DUN Sungai Abong kini dikuasai oleh Pas.

Pas tidak melakukan sebarang usaha pun untuk membangunkan DUN Sungai Abong dan adalah menjadi tanggungjawab pihak tersebut membantu mengatasi masalah terbabit kerana tiada pihak yang lebih layak atau sesuai menangani masalah itu.

KARIAH PRIHATIN
Sungai Abong, Muar.

Utusan
26 Dis 2012

RM1 juta bina tujuh jeti nelayan di Muar



MUAR 25 Dis. - Sejumlah RM1 juta diperuntukkan untuk membina tujuh jeti di sekitar daerah ini bagi memudahkan nelayan mendaratkan ikan di pangkalan sedia ada dalam usaha meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.

Antara jeti yang sudah disiapkan termasuk di Parit Jawa, Sarang Buaya, Sungai Balang dan Parit Amal manakala jeti di Sri Menanti sedang menanti proses tender dan jika tiada sebarang halangan akan disiapkan pada tahun depan.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, setiap jeti berkenaan menerima peruntukan antara RM100,000 dan RM200,000 bergantung kepada keperluan jeti dan jumlah nelayan yang menggunakannya untuk mendaratkan bot serta tangkapan.

"Peruntukan diterima itu adalah bagi menggantikan jeti kayu yang lama kepada jeti konkrit kerana lebih tahan lama dan dapat menampung peningkatan bilangan nelayan di kawasan terbabit.

"Jeti Sri Menanti bernilai RM200,000 ini masih dalam proses mengeluarkan tender, apabila siap kelak mampu menampung keperluan lebih 100 nelayan di kawasan ini," katanya ketika melawat jeti terbabit selepas Program Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Parlimen Muar di Pangkalan Nelayan Kampung Sri Menanti, di sini, baru-baru ini.

Razali berkata, jeti Sri Menanti yang sudah digunakan sejak dahulu pada asalnya dibina menggunakan kayu dan mengalami kerosakan disebabkan faktor cuaca menyebabkan nelayan di situ sukar untuk mendaratkan hasil tangkapan mereka.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, menerusi peruntukan RM200,000 itu, sebelah daripada jeti itu akan digantikan dengan binaan konkrit selain peruntukan RM3 juta bagi kerja-kerja menambak dan membina benteng sejauh dua kilometer bermula di Pantai Sri Menanti hingga ke Sungai Pulai.

"Pembinaan benteng ini amat mustahak kerana kawasan ini mengalami hakisan pantai dan boleh menjejaskan pendapatan nelayan yang mengalami kesukaran untuk ke laut," katanya.

Menurut Razali, apabila semua projek jeti dan menambak benteng itu disiapkan kelak, ia dapat memberikan kemudahan kepada berpuluh-puluh bot serta lebih 900 nelayan di kawasan berkenaan yang bergantung kepada hasil tangkapan ikan sebagai punca rezeki.

Utusan
26 Dis 2012

Tiga hari tak keluar rumah


Mohamad Razif menunjukkan keadaan jalan yang rosak akibat terlalu kerap menakung air selepas hujan lebat.

MUAR - Sekeluarga di Kampung Parit Haji Yaacob Batu 18, Air Hitam dekat sini, pernah berhadapan situasi sukar apabila tidak dapat keluar rumah selama tiga hari semasa kampung berkenaan dilanda banjir setinggi 0.4 meter, bulan lalu.

Selain itu, mereka juga mengalami kesulitan apabila terpaksa menggunakan jalan rosak dan becak setiap hari.

Mohamad Razif Yusman, 30, berkata, masalah tersebut sudah berlarutan hampir 10 tahun lalu, sejak jalan itu dibuka untuk kegunaan keluarganya, namun keadaan semakin serius kebelakangan ini.

Menurutnya, masalah itu terjadi dikenal pasti berpunca daripada kawasan berkenaan tidak mempunyai sistem perparitan menyebabkan air bertakung setiap kali hujan lebat.

“Air yang tertakung ini mengambil masa hampir seminggu untuk kering dan dalam tempoh itu, saya sekeluarga terpaksa menggunakan jalan becak ini.

“Pakaian kerja saya sering kotor kerana terkena percikan daripada motosikal yang ditunggang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, kereta milik abang iparnya yang tinggal di sini juga terpaksa kerap dicuci kerana kelihatan terlalu kotor setiap kali menggunakan jalan ini.

Selain itu, katanya, ada ahli keluarganya pernah terjatuh disebabkan motosikal yang ditunggang tergelincir semasa melalui bahagian jalan yang becak pada waktu malam.

“Kami tiada pilihan selain terpaksa menggunakan jalan becak ini kerana tidak ada  jalan alternatif lain yang menghubungkan ke rumah ini,” katanya.

Mohamad Razif berkata, jalan sepanjang 0.6 kilometer (km) itu pernah mendapat bantuan diturap menggunakan batu merah, empat tahun lalu.

Katanya lagi, bagaimanapun jalan itu sudah kembali rosak akibat terlalu kerap  menakung air dan seterusnya menyebabkan terjadi banyak bahagian berlopak.

“Kami bukan sengaja tidak mahu menurap sendiri jalan ini, tetapi masalah kewangan telah menghalang usaha tersebut.

“Sehubungan itu, saya merayu supaya jalan ini dapat dibaiki segera bagi keselesaan kami sekeluarga,” katanya.

Sinar Harian
27 Dis 2012

Saturday, December 22, 2012

IPD Muar terima 6 aset URB


Sahadan (tiga, kiri) menunjukkan URB yang diterima IPD Muar, semalam.

MUAR - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima enam aset bagi Unit Rondaan Bermotosikal (URB) sebagai kegunaan untuk mencegah kegiatan jenayah di beberapa kawasan di daerah ini yang tinggi kadar jenayahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superitendan Sahadan Jaafar berkata, aset URB diterima adalah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 yang akan meronda 24 jam sehari dan antara kawasan dikenal pasti tinggi kegiatan jenayah adalah di Jalan Sungai Abong dan Jalan Kim Kee.

Menurutnya, bagi fasa pertama, pihaknya menerima enam unit aset URB dengan setiap satu berharga kira-kira RM20,000 dan selepas itu bakal menerima sembilan unit lagi pada tahun ini secara berperingkat menjadikan semuanya berjumlah 16 buah.

“URB akan meronda di kawasan kampung dan taman berjumpa dengan masyarakat meminta mereka bekerjasama sama dengan kita dalam membanteras jenayah.

“Peringkat permulaan, sebanyak 560 daripada 1,000 unit motosikal jenis itu disediakan bagi program URB di empat negeri iaitu di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya pada penyerahan motosikal tersebut di pekarangan IPD Muar, di sini, semalam.

Beliau berkata, URB dilaksanakan dengan kaedah ‘buddy system’ secara tiga syif selama 24 jam di sekitar  kawasan perumahan dan lokasi sibuk seperti kawasan perniagaan,  taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

Jelasnya, URB berkenaan mempunyai 16 anggota termasuk pegawai dan pendekatan tersebut secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat yang menjadi mata dan telinga polis.

Selain itu, Sahadan turut memberitahu IPD Muar akan melancarkan Kepolisian Komuniti Sempena Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff sempena Pengisytiharan Bandar Muar Bandar Diraja di Kompleks Pekembar, Pagoh, 27 Disember ini.

Sinar Harian
22 Dis 2012

Friday, December 21, 2012

Wanita panik kereta terbakar


Keadaan kereta Lim selepas terbakar secara tiba-tiba daripada bahagian enjin.

MUAR – Seorang kerani wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta jenis Proton Iswara yang dipandunya secara tiba-tiba mengeluarkan api pada bahagian enjin sebelum membakar bahagian hadapan kereta itu.

Kejadian kira-kira jam 6.10 petang berlaku di Jalan Sungai Abong, berhampiran dengan Taman Seri Mulia, Sungai Abong, di sini, kelmarin.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 30 an dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya di Taman Sungai Abong, berdekatan dengan lokasi kejadian.

Lim yang memandu sendirian berkata, dia terhidu bau hangit yang disusuli dengan asap dan api keluar dari bahagian enjin ketika melewati jalan Taman Seri Mulia.

“Saya jadi panik lalu segera menghentikan kereta di tepi jalan seterusnya segera berlari menyelamatkan diri kerana bimbang kereta meletup.

“Saya juga menghubungi abang yang kemudiannya datang dengan membawa alat pemadam api untuk cuba memadamkan kebakaran, tetapi tidak berjaya,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, orang ramai yang menyedari kejadian itu turut membantu menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan 1, Balai Bomba dan Penyelamat daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.15 petang seterusnya mengerahkan sebuah jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.

“Operasi itu diketuai oleh Pegawai Operasi, Rahman Taib. Semasa pasukan ini tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar keseluruhan bahagian enjin kenderaan.

“Bomba mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran dan operasi tamat pada jam 6.30 petang,” katanya.

Katanya lagi, mangsa juga terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta punca kebakaran masih dalam siasatan.

Sinar Harian
21 Dis 2012

JPAM sasar 17,000 sukarelawan


PAGOH 19 Dis. - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor menyasarkan untuk mendaftarkan sekurang-kurangnya 17,000 sukarelawan tahun depan terutama dalam persiapan menghadapi pelbagai bencana dan kecemasan.

Pengarah JPAM negeri, Kolonel Pertahanan Awam Ghazali Ab. Rahman berkata, jumlah itu adalah sebagai tambahan kepada 24,000 sukarelawan sedia ada ketika ini yang pada bila-bila masa boleh dipanggil jika diperlukan.

"Sehingga kini, JPAM Johor sudah menerima keahlian kira-kira 24,000 anggota dan akan cuba memenuhi sasaran ditetapkan pusat iaitu minimum 17,000 lagi anggota pada tahun depan.

"Boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang JPAM atau mengisi borang di mana-mana pejabat cawangan dan kelayakan minimum ialah berusia 18 tahun ke atas, sekurang-kurangnya Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta sihat tubuh badan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Latihan Pemantapan Anggota Sukarela Tugas Pejabat dan Tugas Operasi Siri 3, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahrudin Md. Salleh dan Pegawai Bersekutu JPAM, Abdullah Awang.

Seramai 170 anggota menamatkan tiga siri latihan tahun ini yang diadakan bermula November lalu.

Ghazali berkata, mereka yang layak akan ditapis dan dikehendaki menjalani latihan asas selama 16 jam dan kebiasaannya JPAM akan mengambil kira-kira 10 peratus daripada jumlah yang mendaftar untuk diberikan latihan bergantung kepada keperluan.

Kata beliau, pihaknya tidak menetapkan sebarang jumlah bagi mereka yang mahu mendaftar dan keperluan untuk memanggil anggota berkenaan adalah berdasarkan aktiviti atau operasi dilakukan pihaknya dari semasa ke semasa.

Menurutnya, keperluan untuk menggunakan sukarelawan adalah sekitar 1,000 anggota pada satu-satu masa iaitu 100 orang bagi setiap satu daerah di negeri itu.

"Kita juga memiliki anggota yang bertugas sepenuh masa serta sambilan yang dibayar gaji hari bergantung kepada tugasan.

"Semua yang mendaftar sebagai anggota layak menjadi sukarelawan dalam tempoh dua tahun dan selepas itu mereka perlu mengisi borang sekali lagi untuk memperbaharui keanggotaan," katanya.

Beliau berkata, kini pihaknya menerima sambutan yang sangat baik daripada golongan belia berusia bawah 40 tahun untuk menjadi sukarelawan dengan 85 hingga 90 peratus keahlian adalah daripada golongan itu.

Katanya, pihaknya masih menerima keahlian daripada golongan lebih berusia iaitu maksimum 60 tahun.

Utusan
20 Dis 2012

Statistik PMR 2012 Muar merosot


MUAR 20 Dis. - Keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 bagi daerah ini merosot sedikit apabila bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang hanya berjumlah 456 berbanding 526 pada tahun lalu.

Pegawai Pelajaran daerah, Ahmad Othman memberitahu, seramai 456 daripada 6,434 calon PMR daerah ini yang memperoleh keputusan cemerlang, 114 pelajar mendapat 9A, 314 pelajar lagi memperoleh 8A dan selebihnya 7A.

Beliau berkata, bilangan pelajar cemerlang menurun berbanding 526 daripada 6649 calon yang menduduki PMR tahun lalu.

''Walaupun begitu, lima mata pelajaran mencatatkan peningkatan peratusan kelulusan iaitu Bahasa Melayu meningkat 95 peratus berbanding 94.5 peratus tahun lalu.

"Matematik meningkat daripada 93.8 peratus tahun lalu kepada 94.7 peratus tahun ini manakala Sejarah meningkat sebanyak 0.6 menjadi 95.6 peratus tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Pelajaran Daerah, di sini semalam.

Utusan
21 Dis 2012

Beri nelayan gaji bulanan


RAZALI Ibrahim menyerahkan insentif kepada seorang nelayan di Kampung Sri Menanti, Parit Jawa, Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 20 Dis. - Pihak yang bertanggungjawab terhadap kebajikan nelayan diminta memikirkan langkah terbaik seperti memberikan mereka gaji bulanan atau mingguan bagi meningkatkan taraf hidup golongan terbabit yang sentiasa dikaitkan dengan kemiskinan.

Cadangan itu kata Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim mampu menjadikan nelayan lebih bertanggungjawab dalam menjaga akaun atau kedudukan kewangan mereka seterusnya mengurangkan masalah 'tidak cukup duit' yang sering dialami golongan berkenaan kerana menerima gaji hari.

"Kebanyakan nelayan hanya pandai tangkap ikan tetapi menghadapi masalah dalam menguruskan pendapatan mereka. Kerana itu kita perlu cari kaedah lain supaya mereka dapat menyimpan.

Utusan
21 Dis 2012

Thursday, December 20, 2012

Hidup susah jadi pendorong


MUAR 19 Dis. - Kesusahan hidup mendorong seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad di sini memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2012 yang diumumkan hari ini.

Riyadh Hussein, 15, dari Taman Perdana Bakri, dekat sini, keadaan itu menjadikannya tabah dan cekal apatah lagi selepas kematian ayahnya lebih 10 tahun lalu membuatkannya berazam untuk cemerlang dalam pelajaran.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Riyadh berkata, selain memberikan tumpuan yang penuh terhadap pembelajaran dalam kelas, dia akan terus merujuk kepada guru jika ada subjek atau pengajaran yang kurang faham.

“Saya juga mengamalkan makanan tambahan seperti kismis dan kurma kerana khasiatnya dapat membantu untuk menguatkan daya ingatan. Menjelang peperiksaan, saya juga mengamalkan solat hajat agar dimudahkan ketika menjawab soalan dalam dewan peperiksaan," katanya ketika ditemui di sekolah tersebut di sini hari ini.

Utusan 20 Dis 2012

Wednesday, December 19, 2012

CP Muar bantu turunkan kadar jenayah


Suhaimi Sulaiman (kiri) menerima cenderamata sambil diperhati Gan Chai Leong (tengah) pada Majlis Pelancaran Kepolisan Komuniti Muar di Bandar

MUAR 18 Dis. - Penubuhan Kepolisan Komuniti (CP) Muar dalam kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar akan membantu mengurangkan lagi kadar jenayah di daerah ini yang kini mencatatkan penurunan 9.21 peratus bagi tempoh Januari lalu hingga semalam.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah IPD Muar, Asisten Supritendan Suhaimi Sulaiman berkata, dengan adanya penyertaan masyarakat yang bekerjasama dengan polis mewujudkan komuniti selamat, jenayah kekerasan dan harta benda akan dapat diminimumkan lagi.

“Kadar jenayah di Muar sekarang ini berada pada tahap yang baik apatah lagi pada tahun lalu Muar adalah IPD paling tinggi penurunan kadar jenayahnya di negara ini. Bukan itu sahaja, kita juga adalah tertinggi kadar penyelesaian kes di mahkamah.

“Namun, kita belum selesa dengan keadaan ini, jadi dengan wujudnya Kepolisian Komuniti Muar diharap membantu kami membanteras dan mengurangkan jenayah," katanya pada Majlis Pelancaran Kepolisan Komuniti Muar di Bandar Pesta, di sini malam tadi.

Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Johor bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Chris Lee Ching Yong, Yang Dipertua Persatuan CP Selangor, Kuan Chee Heng, Pengerusi CP Nusajaya, Yap Teck Tak, Pengerusi CP Muar, Gan Chai Leong dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Datuk Dr. Lau Keen Lee.

Suhaimi kemudian mempelawa orang ramai menyertai komuniti tersebut yang dianggap sebagai salah satu strategi polis mendekatkan orang ramai dalam membantu mengawal jenayah selain menjadi mata dan telinga pihak berkuasa itu.

Sementara itu, Chee Heng berkata, peranan mereka dalam menyalurkan maklumat mengenai aktiviti yang meragukan di kawasan masing-masing amat penting, sekali gus akan mewujudkan kesedaran masyarakat untuk bersama-sama polis mencegah jenayah.

Beliau yang juga Ketua Biro Aduan Awam MCA Puchong dan Exco Yayasan Pengaman Malaysia berkata, mereka dapat membantu menghalang jenayah-jenayah kecil di kawasan kampung atau perumahan daripada berlaku dan meminta anggota CP Muar supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan dengan penjenayah.

Utusan 19 Dis 2012

Tuesday, December 18, 2012

'Balik Aishah, kami bimbang'


Mohd. Zam Jamak menunjukkan gambar anak gadisnya, Siti Aishah yang dilaporkan hilang dan dirayu pulang dalam satu sidang media di sini hari ini. - UTUSAN/ZULHISHAM ISAHAK

MUAR – “Aishah tidak tunjukkan  perlakuan yang mencurigakan. Dia juga tidak meninggalkan apa-apa pesan dan menghilang begitu sahaja.

"Kami amat bimbang jika sesuatu terjadi kepadanya."

Itu luahan seorang bapa dari daerah Ledang  yang buntu memikirkan keselamatan anak perempuannya yang menghilangkan diri sejak keluar dari rumah, Selasa lalu.

Mohd Zam Jamak, 55, berkata, anak perempuannya, Siti Aishah, 19, keluar dari rumah didiami ibu dan datuknya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru sebelum terus menghilangkan diri.

“Dia (Aishah) keluar sekitar jam 8 pagi untuk membeli kad prabayar di kedai berhampiran pada Selasa lalu, sebelum menghilangkan diri.

Kehilangannya hanya disedari oleh kakaknya yang mahu menghantar anak untuk dijaga oleh Aishah.

“Keluarga menunggu Aishah pulang sehingga petang, tetapi dia tetap tidak pulang dan laporan polis terus dibuat di Balai Polis Tampoi,” katanya, semalam.

Mohd Zam melahirkan rasa bimbang terhadap keselamatan anak perempuannya yang keluar hanya membawa dokumen pengenalan diri .

“Kami cuba menghubungi telefon bimbit Aishah, tetapi gagal. Usaha mencari di rumah rakan-rakannya juga menemui jalan buntu.

Kehilangan Aishah amat merisaukan ibunya, Siti Azura Buan, 39, dan datuknya yang kini sedang sakit serta amat merinduinya.

“Ini kerana hubungan dia bersama datuknya sangat rapat. Jadi apabila dia hilang, telah memberi kesan kepada kesihatan datuknya,” katanya.

Menurut Mohd Zam, dia turut dimaklumkan tiada sebarang kejadian perselisihan faham berlaku sebelum Aishah menghilangkan diri.

“Saya merayu kepada Aishah supaya segera pulang ke pangkuan keluarga kerana datuknya amat merinduinya,” katanya.

Beliau turut memohon jasa baik orang ramai yang mengenali atau menemui Siti Aishah supaya menghubunginya di talian 017-3792541 atau melaporkan kepada balai polis berhampiran.

Sinar Harian
18 Dis 2012

Bandar Maharani Bandar Diraja


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diiringi Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan rakyat jelata semasa baginda hadir untuk merasmikan Masjid Al-Ikhsan dan solat Jumaat sempena sambutan hari keputeraan baginda di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 16 Dis. - Sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November lalu berlangsung dalam penuh warna-warni dan gilang-gemilang.

Lebih 20 acara atau program berlangsung yang melibatkan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung di sepanjang sambutan itu termasuk dari luar daerah ini dan tidak ketinggalan pelancong asing.

Majlis keraian tersebut adalah sesuatu yang sangat istimewa kerana pertama kali seumpamanya diadakan di negara ini dan lebih bermakna apabila tradisi, upacara serta adat istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula dalam beberapa majlis utama.

Malah, bertambah bermakna apabila bonda Sultan Johor, Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; isterinya, Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; puteri dan puteranya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar turut berangkat ke majlis-majlis utama.

Ketaatan, kesetiaan dan kecintaan kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ditunjukkan sejak hari pertama lagi apabila ribuan rakyat membanjiri bandar ini seawal pukul 7.30 pagi untuk menyaksi baginda melakukan pemeriksaan barisan kehormat dan tabik hormat diraja di Jalan Arab.

Kemudian berlangsungnya Majlis Pengurniaan Bintang Kebesaran Serta Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim yang buat pertama kalinya diadakan di luar Istana Besar di Johor Bahru sejak 125 tahun lalu.

Meskipun tertutup tetapi majlis itu boleh disaksikan secara langsung melalui skrin besar yang disediakan Majlis Perbandaran Muar (MPM) di empat lokasi strategik di bandar ini iaitu di pekarangan dewan tersebut, Uptown Muar di Jalan Sisi, Padang Nyiru (Jalan Maharani) dan pekarangan Stesen Bas Bentayan (Jalan Bentayan).

Selain majlis itu, turut berlangsung dalam dewan tersebut Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Triman dan Mengadap Takzim serta Majlis Santapan Diraja, sementara sempena hari keputeraan baginda yang ke-54 itu, sebanyak 404 individu dikurniakan darjah dan pingat kebesaran.

Pada sebelah petangnya pula diadakan majlis jamuan teh di Stadium Sultan Ibrahim dengan kehadiran kira-kira 15,000 rakyat jelata serta turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; isterinya, Prof. Dr. Datin Paduka Jamilah Ariffin; isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil.

Keesokannya pula selepas merasmikan Masjid Al-Ikhsan di Batu 18, Air Hitam, Sultan Ibrahim dan kerabatnya berangkat menyaksikan perarakan 25 kereta berhias pada sebelah malamnya yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Abdul Ghani dan isterinya.

Perarakan pada hari kedua itu disertai jabatan dan agensi kerajaan termasuk dewan-dewan perniagaan di sini yang tampil dengan identiti, rekaan dan konsep tersendiri mengikut kreativiti masing-masing.

Antara yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Johor, Majlis Perbandaran Johor Bahru (MBJB), Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Johor, Persada Johor, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara, Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Gabungan Persatuan-persatuan Tiong Hwa Muar, Dewan Perniagaan Cina Muar dan Jabatan Pertanian negeri.

Kira-kira 20,000 pengunjung berdiri di kiri dan kanan laluan sepanjang empat kilometer di Jalan Arab itu, selain diselang-seli dengan persembahan 11 kumpulan kebudayaan yang mewakili pelbagai kaum dan sebelum itu pertunjukan daripada lebih 120 motosikal berkuasa tinggi.

Hari ketiga menyaksikan detik penting apabila bandar Muar yang kaya dengan sejarah diisytihar sebagai Bandar Diraja oleh Sultan Ibrahim di Dataran Tanjung Emas dan dalam titahnya baginda sekali lagi mengingatkan penduduk Muar supaya menjaga kebersihan.

Baginda selepas itu menanam kotak watikah perisytiharan di Tugu Masa, disusuli dengan perasmian Pertandingan Jet Ski Antarabangsa 2012 selama tiga hari di pesisiran Sungai Muar yang melibatkan 50 peserta dengan 15 daripadanya dari Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand serta Jepun bagi merebut hadiah keseluruhan RM60,000 termasuk trofi.

Turut diadakan pada hari sama di sebelah siang ialah pertandingan bola sepak dan bola jaring di Stadium Sultan Ibrahim serta pertandingan futsal di Pusat Rakan Muda, manakala malamnya diadakan persembahan kebudayaan dan konsert di stadium itu.

Sementara itu, pada hari keempat, baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit menyaksikan himpunan 130 kereta mewah supercars seperti Ferrari, Porsche, Lamborgini, Bentley dan Lotus yang didatangkan dari seluruh negara di tempat letak kereta bersebelahan Menara Jam Tanjung Emas.

Pada masa sama diadakan pertandingan bola sepak, futsal, bola jaring dan larian keputeraan di stadium dan dataran tersebut sebelum acara 55 bot berhias berlangsung pada sebelah malam di tepi Sungai Muar bermula dari Tanjung Emas.

Kemuncak acara pada malam itu ialah apabila Sultan Ibrahim berkenan menyaksikan perarakan bot tersebut dari atas Jambatan Sultan Ismail yang ditutup khas selama 14 jam pada hari itu sempena sambutan akhir pada malam berkenaan.

Turut diadakan serentak adalah pertunjukan bunga api yang dilepaskan dari Tanjung Emas, sekali gus memberikan pemandangan meriah dari jambatan tersebut.

Keadaan di jambatan itu teramat sesak kerana buat pertama kalinya selepas 45 tahun dirasmikan Almarhum Sultan Ismail Sultan Ibrahim, laluan itu ditutup untuk lalu lintas dan orang ramai bersantai sambil melihat pemandangan dalam suasana bermandikan cahaya sambil menyaksikan acara sedia ada, selain melawat ke lebih 50 gerai yang disediakan.

Dianggarkan lebih 50,000 pengunjung membanjiri bandar Muar pada malam itu untuk semua acara yang disediakan termasuk persembahan kebudayaan dan konsert di stadium tersebut.

Sambutan di peringkat negeri itu melabuhkan tirai dengan penuh nostalgik pada hari kelima melalui dua program iaitu Demonstrasi Sukan Teras Johor dan derma darah yang kedua-duanya berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Hari Keputeraan Sultan Johor akan terus disambut di lapan buah daerah lain bagi memberikan peluang kepada rakyat Johor di luar daerah ini meraikannya iaitu Johor Bahru, Batu Pahat, Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Ledang dan Kulaijaya.

Utusan
17 Dis 2012

Bahu jalan diliputi semak


LENCONGAN di simpang tiga yang terletak di permulaan Jalan Tangkak-Muar di Segamat dibiarkan semak-samun sehingga menyukarkan pandangan dari arah depan.

Saudara pengarang,

Sejak pusat beli-belah One Segamat dibuka di bandar Segamat 15 Disember tahun lalu, pangkal Jalan Muar-Tangkak iaitu kira-kira 80 meter dari lampu isyarat di Jalan Genuang, selalu sibuk dan sesak terutama pada hujung minggu.

Ini kerana terdapat simpang tiga di pangkal jalan itu yang menghubungkan pusat beli-belah tersebut, Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Segamat, Arked Mara Segamat dan laluan ke daerah Ledang dan Muar selain direntangi dengan landasan kereta api di pertengahannya.

Bagi mengatasi masalah kesesakan dan jalan ditutup setiap kali kereta api melintas, terdapat satu lencongan yang memintas jalan utama itu bagi mereka yang datang dari pusat bandar tersebut atau dari Ledang dan Muar.

Utusan
18 Dis 2012

58 SRS Muar terima 178 basikal


RAZALI Ibrahim (depan kiri) dan Shahadan Jaafar (depan kanan) sedia memulakan kayuhan pada Program Penyampaian Basikal Ronda dan Walkie Talkie Kepada SRS Parlimen Muar di Kampung Sri Menanti, Muar, malam semalam.

MUAR 17 Dis. - Sebanyak 178 buah basikal dengan nilai keseluruhan lebih RM200,000 disumbangkan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim kepada 58 Skim Rondaan Sukarela (SRS) seluruh daerah ini bagi menjalankan aktiviti rondaan dan pengawasan di kawasan masing-masing.

Penyerahan itu membabitkan tiga basikal untuk setiap SRS dan mereka juga dilengkapi walkie talkie, baju putih yang seragam, ves keselamatan, serta lampu suluh bagi memudahkan aktiviti pengawasan dan rondaan mencegah jenayah di kawasan masing-masing.

Razali berkata, sumbangan berkenaan sebagai mengiktiraf peranan SRS menjaga keselamatan penduduk dan dengan adanya basikal itu mereka boleh melakukan rondaan dengan lebih mudah.

Utusan
18 Dis 2012

Denggi meningkat 30 kes


MUAR 17 Dis. - Bilangan kes demam denggi di negeri ini meningkat sebanyak 30 kes pada tahun ini dengan sebanyak 1,527 kes direkodkan berbanding 1,497 kes tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr. Robia Kosai berkata, peningkatan itu bagaimanapun tidak menunjukkan denggi kini berada di tahap membimbangkan kerana keadaan masih terkawal.

"Bagaimanapun pada minggu ke-49 iaitu pada 1 hingga 8 Disember lalu, demam denggi menunjukkan peningkatan sebanyak dua peratus iaitu 26 kes.

"Ini berikutan keadaan cuaca akibat hujan serta keadaan menjadi lembap yang memudahkan nyamuk aedes membiak," katanya pada sidang akhbar selepas Program Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Parlimen Muar di Pantai Kampung Sri Menanti di sini hari ini.

Utusan
18 Dis 2012

Balai Raya Parit Bakar berubah wajah



BALAI Raya Parit Bakar di Muar berwajah baru selepas dibersihkan daripada semak, tumbuhan liar, pokok merimbun dan pekarangannya yang ditutupi daun kering sebelum ini.

Saudara pengarang,

TERIMA kasih diucapkan kepada pihak pengurusan Balai Raya Parit Bakar di Parit Bakar Tengah, Muar kerana prihatin dengan keadaan tempat awam itu yang sebelum ini terbiar dan tidak lagi digunakan penduduk setempat sejak 2008.

Sejak cerita dan gambar mengenai balai raya itu yang keadaannya amat menyedihkan disiarkan dalam ruangan Suara Rakyat Johor pada 13 November lalu, usaha memeliharanya sudah pun dilakukan baru-baru ini.

Jika sebelum ini balai raya itu ditumbuhi semak di bahagian depannya hingga menyakitkan mata memandang selain bahagian dalamnya kotor, berhabuk dan bersepah-sepah dengan sampah, keadaannya kini sudah mula berubah wajah.

ANAK JATI PARIT BAKAR TENGAH,

Muar

Utusan
18 Dis 2012

Saturday, December 15, 2012

Mohon rumah lebih selesa


Hasnah melihat struktur rumahnya yang uzur dan reput dimakan anai-anai.

MUAR – Seorang warga emas dari Kampung Parit Karim 1, Batu 18 Air Hitam, di sini, meluahkan keinginan memiliki sebuah rumah baru kerana kediaman yang didiaminya kian uzur dimamah usia.

Hasnah Abu Bakar, 61, berkata, struktur rumah yang didiaminya bersama dua anak angkat berusia 16 dan 27 tahun sejak suami tercinta meninggal dunia pada tahun 2009 itu tidak stabil dan hampir keseluruhannya di makan anai-anai.

"Rumah ini dibina arwah suami semasa kami baru mendirikan rumah tangga, namun 10 tahun kebelakangan ini, keadaan rumah makin uzur dan banyak kerosakan terutamanya di bahagian bumbung.

“Setiap kali hujan lebat, mak cik terpaksa menongkat bumbung rumah menggunakan kayu untuk mengelakkan diterbangkan angin yang bertiup kencang.

“Hanya bumbung di bahagian hadapan rumah sahaja sempat diganti baru oleh arwah suami pada 2008,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Hasnah berkata, dia tidak mampu untuk menggantikan bumbung pada bahagian belakang rumahnya yang mengalami kebocoran teruk.

“Setiap kali hujan, ruang dapur ini dipenuhi dengan susunan besen dan baldi untuk menadah air hujan di bahagian bumbung yang bocor.

“Kadang-kadang ruang dapur ini seperti ‘kolam’ kerana besen dan baldi itu tidak dapat menampung kuantiti jumlah air hujan yang memasuki rumah apabila hujan lebat,” katanya.

Menurutnya, mengenang keadaan rumah yang serba kekurangan, dia acap kali menitiskan air mata kerana terlalu sedih memikirkan nasib dihadapinya itu.

“Pada usia sebegini, saya begitu teringin untuk mendiami dan memiliki rumah yang lebih selesa bagi menghabiskan sisa usia emas.

“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai wang simpanan untuk membaiki sendiri rumah ini sehingga menyebabkan saya terpaksa bertahan tinggal dalam keadaan serba kekurangan,” katanya.

Hasnah berkata, dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 yang diterimanya sejak bulan Disember tahun lalu, dia menggunakan wang itu untuk menyara kehidupan seharian.

Beliau berkata, sebelum ini dia ada mengemukakan permohonan mendapatkan bantuan rumah baru di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dua tahun lalu, tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas.

“Walaupun sudah menunggu dua tahun, namun saya tidak pernah berputus asa dan menaruh harapan agar berpeluang mendapat bantuan rumah baru PPRT,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Bakri, Datuk Mazlan Sabari berkata, pihaknya akan menyemak semula permohonan dibuat Hasnah seterusnya mengambil tindakan segera untuk membantunya mendapatkan sebuah kediaman yang lebih selesa.

Sinar Harian
15 Dis 2012

Wang kertas RM10 asli disangka palsu


Zulfaharudin menunjukkan wang kertas RM10 asli yang disangka palsu

MUAR – Seorang mekanik dari Kampung Parit Bugis, terkejut apabila menerima wang kertas RM10 yang kelihatan palsu, tetapi sebenarnya asli.

Pemiliknya, Zulfaharudin Tulus, 30, berkata, dia yang menerima wang itu daripada majikannya semasa menerima gaji awal bulan ini mengakui pada mulanya tidak sedar sekeping not RM10 itu mempunyai kelainan tersendiri.

Menurutnya, dia menyedari kelainan itu ketika menyusun wang tersebut sebelum dimasukkan ke dalam dompet untuk membeli barang di kedai berhampiran.

“Bahagian depan duit ini mempunyai gambar Yang di-Pertuan Agong yang tidak jelas selain tidak punya tandatangan gabenor. Malah perkataan Bank Negara Malaysia dan warnanya juga sangat pudar.

"Bagaimanapun, ia mempunyai jalur keselamatan apabila dilihat di bawah cahaya lampu atau matahari selain mempunyai nombor siri QN3868229. Peliknya bahagian belakang wang ini tidak mempunyai sebarang kecacatan dan kelihatan seperti wang baru,” katanya.

Zulfaharudin berkata, bagi memastikan not RM10 itu bukan wang palsu, dia merujuk ke beberapa bank di sekitar bandar ini dan hasil proses imbasan dan semakan nombor sirinya membuktikan wang berkenaan adalah asli.

“Buat masa ini saya belum bercadang untuk menyerahkan wang itu kepada Bank Negara dan berhasrat menyimpannya untuk kenangan.

“Kepada yang berminat menjadikan ia barangan koleksi boleh berhubung dengan saya,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Kampung Batu 20, Sengkang, di Ledang, heboh selepas lebih tiga peniaga kedai makan mengakui ditipu dengan wang kertas RM100 yang kelihatan asli, tetapi palsu.

Sinar Harian
15 Dis 2012

Friday, December 14, 2012

Tiga juara hari keputeraan


ABDUL Rahman Mohamed Dewam (depan, enam dari kanan) bersama para pemenang Pertandingan Kereta Berhias dan Pertandingan Bot Berhias sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada majlis penyampaian hadiah di Muar, Johor, malam kelmarin.

MUAR 13 Dis. - Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Amanah Rakyat (Mara) Johor masing-masing muncul johan dalam tiga pertandingan utama sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di bandar ini hujung bulan lalu.

MPJBT muncul johan Pertandingan Kereta Berhias, manakala Pejabat Daerah Johor Bahru dan Mara Johor masing-masing mengungguli Pertandingan Bot Berhias Besar serta Pertandingan Bot Berhias Kecil sempena sambutan berkenaan.

Dengan kemenangan itu, ketiga-tiga agensi itu membawa pulang RM3,500 dan piala.

Tempat kedua Pertandingan Kereta Berhias milik Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan ketiga Jabatan Kerja Raya, manakala tempat kedua Pertandingan Bot Berhias Besar dimenangi Pasukan Polis Marin Muar, namun tiada yang layak memenangi tempat ketiga), manakala tempat kedua Pertandingan Bot Berhias Kecil adalah Yayasan Pelajaran Negeri Johor dan ketiga, Pejabat Daerah Segamat.

Pemenang tempat kedua setiap pertandingan menerima RM2,500 dan piala, manakala tempat ketiga meraih RM1,500 dan piala.

Hadiah disampaikan Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam dalam Majlis Jamuan Makan Malam dan Penyampaian Hadiah di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar di sini malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha MPJBT, Farizal Ismail berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua minggu membuat persiapan bagi menghadapi pertandingan itu yang menerapkan konsep Bandar Dalam Taman.

Utusan
14 Dis 2012

Wednesday, December 12, 2012

Projek lampu jalan TNB siap 99.7 peratus


SHAHRUDDIN Md. Salleh (tengah) dan Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin (tiga dari kiri) bersama beberapa penduduk kampung ketika Majlis Pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa 6 Negeri Johor di Kampung Sari Baru dekat Pagoh, Muar, semalam.

PAGOH 11 Dis. - Projek Lampu Jalan Kampung (LJK) fasa keenam yang sedang dilaksanakan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) di seluruh negeri ini sebanyak 10,503 unit dengan kos lebih RM1 juta itu kini sudah siap 99.7 peratus.

Pengurus Besar TNB Johor, Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin berkata, tinggal 30 unit LJK lagi sedang di pasang di Pulau Aur, Mersing yang dijadual siap dua minggu lagi dan sebelum ini kerja-kerja pemasangan terhalang kerana laut bergelora dan musim tengkujuh.

"TNB jadualkan sebelum akhir tahun ini fasa keenam yang diluluskan senarai pemasangannya pada 1 Ogos 2012 akan siap sepenuhnya. Daripada jumlah 10,503 unit itu, Muar adalah daerah yang paling tinggi mendapat projek LJK iaitu 2,796 unit.

Utusan
12 Dis 2012

Polis marin dakwa miliki syiling Sepanyol 217 tahun


Ahmad Safari menunjukkan duit syiling Sepanyol berusia 217 tahun. - Foto Shahrul M Zain

Muar: Seorang anggota Pasukan Polis Marin di sini, mendakwa memiliki sekeping syiling lama Sepanyol berusia 217 tahun yang disimpannya sejak 21 tahun lalu.

Koperal Ahmad Safari Mohamad Jabar, 46, mendakwa syiling berkenaan dihadiahkan ibunya, Jamaliah Din, 66, yang mengetahui minatnya mengumpul syiling dan disimpan dengan baik bersama lebih 320 koleksinya sejak berusia 18 tahun.

Katanya, pada syiling berkenaan tertulis perkataan Carolus IIII, 1795, Dei Gratia, Hispan Et Ind, Rex dan beliau sendiri tidak mengetahui berapakah nilai syiling terbabit dan sejarah di sebaliknya.

“Saya lihat dalam akhbar, ramai yang mendakwa memiliki syiling lama, kerana itu saya tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai syiling berkenaan kerana ia dikeluarkan sekitar 1700,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ahmad Safari yang turut memiliki koleksi wang kertas lama, berkata beliau tidak berhasrat menjual syiling berkenaan kerana amat menyayanginya.

Syiling ditemui ibu 

Katanya, syiling terbabit ditemui ibunya sebelum diserahkan kepadanya untuk disimpan tetapi beliau tidak mempunyai banyak maklumat mengenainya.

Beliau yang pernah bekerja sebagai Pembantu Stesen bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia sekitar awal 1980-an, berkata pekerjaannya membolehkan beliau berjumpa dengan ramai orang asing yang memiliki duit syiling negara mereka.

“Saya akan membantu mereka mengangkat barang dan apabila hendak memberi upah saya meminta wang syiling negara mereka. Saya masih menyimpan syiling Itali bernilai 500 lira dikeluarkan pada 1985.

“Ketika bertugas di Sabah selama lebih 12 tahun, setiap kali saya menaiki pesawat atau terjumpa dengan pelancong asing, saya akan berkomunikasi dengan mereka dan menunjukkan koleksi yang saya ada. Ramai antara mereka yang berminat dan menghadiahkan syiling negara mereka kepada saya,” katanya.

Antara koleksi paling disayangi Ahmad Safari ialah wang kertas RM10 yang memiliki no siri PP9191919 iaitu wang gajinya yang dibayar secara tunai ketika bekerja di sebuah kilang membuat benang di Pulau Pinang pada 1985 serta syiling keluaran khas serta ganjil.

“Jika ada pihak yang berminat boleh menghubungi saya di talian 012-612 0276,” katanya.

Berita Harian
12 Dis 2012

Monday, December 10, 2012

'Tak menyesal berhenti kerja'


Zainorin menunjukkan sebahagian bingkai hiasan yang terdapat di kedainya.

MUAR – Tindakan nekad seorang juruteknik mekanikal menerajui bidang perusahaan bingkai hiasan ternyata bukan satu keputusan yang silap, apabila produk dihasilkannya mendapat sambutan penduduk daerah ini.

Zainorin Abd Rahaman, 47, berkata, biarpun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang itu, dia menjadi pengusaha Bumiputera yang mampu bertahan selama 15 tahun dalam perniagaan dimonopoli kaum lain.

Dia tidak menyesal mengambil keputusan berhenti kerja meskipun pendapatan bulanannya agak lumayan ketika itu.

Jujurnya, semasa menjadi juruteknik, dia merasakan ada kekurangan lalu mendorongnya menceburi bidang lebih mencabar.

“Selain menumpukan bingkai hiasan, saya juga membuat cenderahati dan piala.

Sepanjang mengusahakan perniagaan, dia mempunyai pengalaman berharga apabila diamanahkan membuat bingkai hiasan untuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Tambahnya, dia juga memiliki koleksi bingkai hiasan mengandungi gambar lama Sultan Johor terdahulu.

Beliau tidak menafikan ada kalanya pelanggan beranggapan harga ditawarkan terlalu tinggi berikutan kedudukan kedainya yang terletak di tengah bandar.

“Mereka perlu datang dulu dan pasti akan terkejut kerana harga bingkai gambar di sini serendah RM10 dan boleh tawar menawar,” katanya.

Zainorin sentiasa berpegang kepada prinsip mementingkan kepuasan pelanggan.

Sinar Harian
10 Dis 2012

Sunday, December 9, 2012

11,000 liter diesel dirampas

Nordin (kiri) memeriksa tangki minyak yang mengandungi 11,000 liter minyak diesel seludup yang dirampas, semalam.

MUAR – Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan minyak subsidi diesel hasil serbuan ke sebuah gudang di kawasan Perindustrian Parit Bakar, Parit Jawa dekat sini, semalam.

Pegawai Pemerintahnya, Asisten Superintenden Nordin Osman berkata, dalam serbuan jam 10 pagi itu menjumpai sebuah tangki minyak yang mengandungi 9,000 liter minyak diesel.

Turut ditemui, sebuah lori yang diubahsuai dengan muatan minyak lebih kurang 2,000 liter dengan nilai keseluruhan dianggar RM22,000.

“Lori tersebut turut dirampas menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM50,000.

“Ini adalah nilai rampasan terbesar untuk dua tahun kebelakangan ini dan kita berjaya mematahkan empat kes yang sama pada tahun ini,” katanya dalam sidang media di Pengkalan Pasukan Polis Marin di sini, semalam.

Beliau berkata, Unit Risikan Pasukan Polis Marin telah membuat intipan selama seminggu terhadap lori terbabit yang membeli minyak subsidi dari stesen-stesen minyak sekitar bandar ini.

“Selesai mengisi minyak dalam lori, lori terbabit akan pergi ke stesen minyak lain untuk mengisi minyak bagi memenuhkan tangki yang diubah suai di belakang lori.

“Minyak ini dipercayai dijual kepada pengusaha industri dengan harga yang lebih rendah dengan tujuan untuk mengaut lebih banyak keuntungan,” katanya.

Nordin berkata, dua lelaki berusia 40an dipercayai penjaga gudang itu melarikan diri melalui pintu belakang, sebaik sahaja menyedari kehadiran unit risikan di gudang itu.

“Setengah jam kemudian, kita menahan seorang lagi lelaki berusia 57 tahun dan mengaku menyewa gudang ini untuk menyimpan minyak subsidi diesel," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Sinar Harian
9 Dis 2012

Dua lelaki miliki pistol ditahan

Sahadan (tengah) menunjukkan pistol jenis Colt yang ditemui ketika serbuan tersebut.

MUAR – Sepasukan anggota polis Jabatan Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Junid, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Sahadan Jaafar berkata, penangkapan ke atas suspek berusia 28 dan 32 tahun itu, dipercayai bersangkutan dengan kes pengedaran dadah.

Menurutnya, ketika serbuan kira-kira jam 1 pagi itu tidak menjumpai bahan terlarang tersebut, sebaliknya menjumpai sepucuk pistol jenis Colt tanpa peluru yang disimpan di bawah katil di bilik belakang rumah berkenaan.

“Walaupun pistol tiruan tetapi ia mempunyai fungsi senjata api sebenar kerana pelurunya boleh membunuh.

“Kita tidak menolak kemungkinan senjata api ini digunakan suspek untuk melakukan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pada mulanya suspek tidak mengaku senjata itu miliknya, tetapi mengatakan ia milik bapa saudaranya.

“Senjata api ini akan dihantar ke makmal forensik untuk menjalani ujian balistik.

“Kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu. Lelaki berusia 28 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah, manakala lelaki berusia 32 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan peras ugut,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan sehingga esok dan disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dipenjara satu tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian
9 Dis 2012

'Tetamu' tidak diundang


Monyet ini menceroboh masuk stor pasar raya melalui lubang yang terdapat pada bumbung.

MUAR - Sebuah pasar raya di sini bertukar kecoh apabila menerima kunjungan 'tetamu' tidak diundang iaitu sekumpulan monyet yang  menceroboh masuk ke dalam stor simpanan barangan pasar raya itu, petang kelmarin.

Sekumpulan haiwan itu bertindak menggeledah barangan dan memakan bekalan makanan yang disimpan menyebabkan keadaan stor berselerak.

Kehadiran kira-kira 20 ekor monyet itu disedari dua pekerja stor pasar raya berkenaan, pada jam 1 petang ketika waktu rehat.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, ketika melintasi stor dia berasa pelik setelah mendapati terdapat beberapa  barangan bertaburan di atas lantai dan pada mulanya mengesyaki barang terjatuh.

“Apabila membuat pemeriksaan di bahagian lain, saya semakin hairan kerana bahagian tersebut juga berselerak, bahkan lebih teruk.

“Saya tidak berpuas hati lalu buat pemeriksaan di bahagian belakang stor dan terkejut mendapati hampir 20 ekor monyet sedang menggeledah barang-barang dan sebahagiannya sedang makan makanan dalam kotak,” katanya.

Katanya, cubaan menghalau monyet terbabit gagal, sehingga terpaksa mendapatkan khidmat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) daerah untuk bantuan.

“Sebagai langkah keselamatan, kita menutup semua pintu-pintu stor bagi mengelakkan haiwan ini lari ke bahagian beli-belah.

Kejadian ini adalah pertama kali berlaku di pasar raya itu dan dipercayai monyet tersebut masuk melalui lubang pada bumbung bangunan.

Sementara itu, jurucakap Perhilitan daerah ketika dihubungi berkata, monyet-monyet itu dipercayai dari Taman Rekreasi Tanjung Ketapang yang kelaparan menyebabkan haiwan berkenaan berkeliaran sehingga menceroboh masuk stor sebuah pasar raya  di tengah bandar ini.

“Kita tidak dapat menghalau monyet-monyet ini berikutan keadaan stor yang terlalu padat dengan barang-barang.

“Sebagai langkah pencegahan, Perhilitan memasang dua perangkap dalam stor untuk menangkap haiwan ini dan akan dihantar ke habitatnya di Tanjung Ketapang,” katanya.

Sinar Harian
9 Dis 2012

Saturday, December 8, 2012

1,272 usahawan IKS terima TEKUN RM10.4 juta


SAIPOLBAHRI Suib (kiri) menyerahkan cek pinjaman TEKUN kepada salah seorang penerima sambil diperhatikan oleh Kamaruzaman Subari di Bakri, Muar semalam.

MUAR 7 Dis. - Sebanyak RM10.4 juta disalurkan pihak Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) kepada 1,271 pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di Parlimen Bakri sejak Januari 2001 hingga awal bulan ini.

Pengurus TEKUN Parlimen Bakri, Kamaruzaman Subari berkata, pada tahun ini sahaja seramai 200 usahawan IKS telah menerima dana berjumlah RM2.09 juta, sekali gus melepasi sasaran peminjam iaitu seramai 120 orang.

"Peningkatan bilangan peminjam TEKUN bukan hanya berlaku di Parlimen Bakri, tetapi di seluruh negara berikutan peningkatan peruntukan yang disediakan kerajaan untuk membantu golongan usahawan dalam bidang IKS.

Utusan 8 Dis 2012

Friday, December 7, 2012

Remaja 13 tahun mengedar dadah


Shahadan menunjukkan dadah yang dirampas selepas menahan tiga lelaki di sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk, Selasa lalu.

MUAR - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara tiga yang ditahan kerana terbabit dalam kegiatan sindiket pengedaran dadah kecil-kecilan yang didalangi lelaki berusia 38 dan 53 tahun, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Shahadan Jaafar berkata, kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menyerbu sebuah rumah di Kampung Kelantan, Parit Perupuk di sini, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,000 dijumpai dalam serbuan tersebut.

“Antara dadah yang dirampas ialah syabu seberat 4.4 gram (gm), heroin (20.9 gm) dan sebiji pil ectasy.  Bahan terlarang ini dipercayai boleh menampung keperluan 900 penagih.

“Remaja yang berasal dari Kajang, Selangor itu, sudah tidak bersekolah dan   didapati baru enam bulan terjebak dalam kegiatan ini selepas berkenalan dengan kedua-dua suspek,” katanya pada sidang media di IPD Muar di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika serbuan, kesemua suspek sedang leka membungkus dadah dalam bilik rumah berkenaan dan dipercayai untuk edaran sekitar daerah ini juga daerah berhampiran.

Kata Shahadan lagi, remaja terbabit termasuk dua lagi suspek yang berasal dari kampung berkenaan juga didapati positif dadah jenis heroin.

“Suspek berusia 53 tahun memiliki empat rekod jenayah lampau berkaitan dadah sejak 1991, manakala suspek berusia 38 tahun pula mempunyai lima rekod jenayah lampau juga berkaitan penyalahgunaan dadah.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 28 Disember ini untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat saki baki ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Sinar Harian
7 Dis 2012

Lebih 100 kanak-kanak sertai Program Berkhatan Peringkat HPSF


SELAHUDDEEN Abd. Aziz menyembur air ke arah sekumpulan kanak-kanak yang menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, semalam.

MUAR 5 Dis. - Lebih 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai Peringkat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini yang diadakan selama enam hari bermula hari ini.

Peserta terdiri daripada anak- anak kakitangan HPSF dan penduduk di daerah ini yang dikhatankan di dewan bedah kecil bermula pagi ini hingga Jumaat ini sebelum disambung Rabu hingga Jumaat depan.

Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan diberi tanggungjawab melakukan tugas itu.

"Program berkhatan beramai-ramai ini juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial HPSF terhadap masyarakat setempat di daerah Muar. Selain itu, ia memberi motivasi dan semangat kepada peserta kerana diraikan dalam satu majlis khas.

"Diharap program sosial seperti ini dapat dikekal dan diteruskan pada masa akan datang. Nilai tradisi ini perlu dipelihara dan menjadi budaya berkekalan," katanya semasa merasmikan program itu di Dewan Saujana HPSF, di sini.

Menurutnya, program tahunan tersebut bertujuan melahir dan memberi kesedaran kepada peserta tentang aspek kebersihan fizikal serta peka dengan tuntutan agama Islam selain membentuk keperibadian mulia.

Beliau berkata, bilangan peserta kian meningkat saban tahun dan selari dengan perkembangan itu Jabatan Pembedahan HPSF menganjurkan kursus-kursus peningkatan teknik berkhatan bagi menambah serta meningkatkan kemahiran pegawainya.

Katanya, sejak 2007 jabatan tersebut telah menerima sebanyak 336 kes berkhatan.

Selepas perasmian program, seramai 25 kanak-kanak yang terlibat dalam program hari ini diarak dengan bunga manggar diiringi paluan kompang di pekarangan HPSF sebelum disembur dengan air oleh sebuah jentera bomba.

Utusan 6 Dis 2012

Monday, December 3, 2012

Muar kini Bandar Diraja


Bandar Muar disinari cahaya bunga api sempena penutupan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Johor 

Sultan Ibrahim diiringi Raja Zarith Sofiah berkenan memotong kek ulang tahun keputeraannya pada Jamuan Teh Bersama Rakyat di Stadium Sultan Ibrahim. 

Baginda tuanku merasmikan Masjid Al-Ikhsan Air Hitam. 

Sultan Ibrahim menanam kota watikah perisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja.

BANDAR MAHARANI yang satu ketika dahulu sinonim dengan Muar, kini dikenali Bandar Diraja selepas pengisytiharan rasmi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25 November lalu, bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda.

Pengisytiharan berkenaan sekaligus mengubah gelaran Bandar Maharani yang diberikan Maharaja Abu Bakar sejak 1884 dan detik bersejarah itu ternyata memberikan kebanggaan kepada lebih 300,000 rakyat di daerah ini.

Mercu tanda serlah identiti

Identiti Bandar Diraja itu diserlahkan lagi dengan pembinaan mercu tanda di Bulatan Sulaiman, di sini, dengan kos lebih RM1 juta dan mula dibina kira-kira dua bulan lalu.

Monumen berkenaan yang terletak di tengah bandar Muar ternyata mempunyai identiti tersendiri iaitu dengan empat gading gajah gergasi di setiap sudut dan mahkota di bahagian atasnya.

Binaan yang begitu signifikan itu mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri termasuklah laluan pejalan kaki, air pancur, landskap bandar Muar dan lampu neon sekaligus mengindahkan serta mencantikkan lagi daerah ini pada waktu malam.

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam bermula 21 November lalu, dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik sekaligus melakar sejarah kerana julung kali diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berkenan berangkat, Tuanku Raja Zarith Sofiah; bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; puteri dan putera baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan 

Dimulakan dengan tahlil dan doa kesyukuran di Masjid Sultan Ibrahim pada 21 November lalu, sebagai pembuka tirai sambutan diikuti program pada hari kedua diserikan lagi dengan acara utama iaitu majlis doa kesyukuran; Majlis Teriman, Majlis Mengadap serta Majlis Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Lebih meriah, istiadat diraja itu ditayangkan kepada umum menerusi empat layar skrin gergasi yang dipasang di beberapa lokasi terpilih dan seramai 404 individu tersenarai menerima pingat di mana puteri Sultan Johor, Tunku Aminah mendahului senarai penerima.

Pada sebelah petang pula, berlangsungnya jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim.

Dianggarkan lebih 25,000 penduduk daerah ini hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan seterusnya bertemu serta beramah mesra secara dekat bersama Sultan Johor sebelum forum perdana di Masjid Sultan Ibrahim menyusul pada sebelah malam.

Sultan rasmi masjid baru 

Menjelang hari ketiga, baginda tuanku berkenan untuk merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam, dekat sini, yang bernilai RM2.2 juta seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama rakyat.

Acara pada sebelah malam menjadi penuh bermakna apabila baginda Tuanku berangkat tiba ke upacara perarakan kereta berhias sebanyak  25 buah diikuti lebih 120 motosikal berkuasa tinggi di Jalan Arab sejauh empat kilometer.

Hari keempat catat sejarah 

Sementara hari keempat pula, mencatatkan sejarah tersendiri buat daerah Muar apabila secara rasminya Bandar Maharani diisytiharkan sebagai Bandar Diraja dalam upacara penuh istiadat diraja berlangsung di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan baginda tuanku menandatangani plak Bandar Maharani Bandar Diraja dan menanam kota watikah pengisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik majlis.

Hari kelima melabuhkan tirai Sambutan selama lima hari lima malam itu akhirnya melabuhkan tirai pada 25 November lalu dengan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail.

Difahamkan, buat julung kalinya dalam sejarah di daerah ini, jambatan itu ditutup kepada semua kenderaan selama 12 jam bagi membolehkan rakyat menyaksikan acara bersejarah ini di situ.

Acara gilang gemilang itu berjaya menarik kedatangan hampir 100,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah juga rakyat negeri berhampiran. Bermula dengan gelaran baru sebagai Bandar Diraja, Sultan Ibrahim meminta supaya bandar Muar mempunyai identitinya sendiri bersesuaian dengan gelaran itu.

Malah, baginda Tuanku mahu bandar itu terus kekal dalam suasana aman damai, indah, sejahtera, bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan serta pencemaran alam sekitar selain bangunan lamanya dikekalkan.

Sinar Harian
2 Dis 2012

Friday, November 30, 2012

Bendera Diraja Johor diturunkan


UPACARA menurunkan Bendera Diraja Johor dilakukan setelah berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, semalam.

MUAR 27 Nov. - Bendera Diraja Johor diturunkan secara rasmi hari ini sempena berakhirnya sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam di bandar ini yang berakhir semalam.

Upacara penurunan bendera disempurnakan oleh Pegawai Daerah, Abdul Rahman Mohamed Dewam di Dataran Tanjung Emas pada pukul 10.35 pagi ini dan sejurus itu bacaan doa disempurnakan Kadi Daerah, Dzulkafle Mohamed.

Yang turut hadir Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas.

Bendera itu yang dinaikkan Isnin lalu adalah simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan dan merupakan upacara dan adat istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan.

Sementara itu, Abdul Rahman melahirkan kesyukuran kerana sambutan berlangsung dengan lancar dan lebih menggembirakan apabila mendapat pujian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang amat berkenan dengan semua acara.

"Tuanku sangat suka dengan acara yang berlangsung terutama di atas Jambatan Sultan Ismail iaitu persembahan bot berhias dan pertunjukan bunga api. Baginda mengatakan sambutan hari keputeraannya kali ini paling menarik dan meriah pernah diadakan dalam hidupnya.

"Pujian tuanku tentang sambutan tersebut menandakan kejayaan banyak pihak terutamanya jawatankuasa yang bertungkus lumus bekerja membuat persiapan sambutan lebih sebulan lalu," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada pihak media cetak dan elektronik yang memberikan kerjasama dan liputan meluas sepanjang program tersebut yang julung kalinya diadakan di daerah ini.

Tentang cadangan Sultan Ibrahim untuk menjadikan program di atas jambatan sebagai acara tahunan daerah ini, Abdul Rahman berkata, Pejabat Daerah sangat mengalu-alukan dan berbesar hati menerimanya.

"Ini satu penghormatan kepada daerah ini khususnya kepada rakyat selepas diisytiharkan sebagai Bandar Diraja secara rasminya oleh tuanku pada Sabtu lalu," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nasir mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang berlangsungnya sambutan tersebut.

"Daripada segi laluan tidak dinafikan berlakunya kesesakan. Kita tidak dapat menjamin kelicinan laluan 100 peratus kerana terlalu banyak kenderaan pada masa itu tetapi kerjasama mereka memudahkan semua urusan," katanya.

Utusan
29 Nov 2012

Penuntut UTHM, murid SK Pintas jayakan projek amal


PARA penuntut UTHM beramah-mesra dengan murid SK Pintas Puding pada Program Lambaian Kasih Gamitan Sayang di Pusat Jagaan Bakti Murni, Muar, baru-baru ini.

MUAR 27 Nov. - Seramai 37 orang penuntut Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat menganjurkan Program Lambaian Kasih Gamitan Sayang, di sini baru-baru ini.

Program itu yang turut disertai 36 murid tahun enam daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Puding, Parit Raja, Batu Pahat, berlangsung di Pusat Jagaan Bakti Murni Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Wanita di sini bermula pukul 7.30 pagi dan hingga 3.30 petang.

Pengarah Program berkenaan, Nor Azura Abd. Razak berkata, objektif program itu ialah menjalin hubungan dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memupuk nilai murni dalam diri peserta agar peka dengan masyarakat sekeliling.

"Di samping itu, ia adalah salah satu aktiviti wajib bagi UTHM, program ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada bakal guru untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

"Kami memilih tempat ini kerana mahu peserta dan penganjur menjiwai perasaan warga emas dan bagaimana kehidupan mereka di sini. Selain itu murid terbabit diajar bagaimana untuk menyayangi dan menghargai golongan emas sebagaimana menyayangi ibu bapa mereka," katanya.

Beliau berkata, antara kegiatan yang dilakukan ialah gotong royong, melukis mural dan beberapa permainan selain menjemput Pusat Kesihatan UTHM untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan latihan senaman fisioterapi percuma.

Seorang penghuni pusat penjagaan berkenaan, Siam Jaafar, 78, dari Parit Sakai di sini berkata, kesibukan anak-anak bekerja di Kajang dan Shah Alam, Selangor menjadi puncanya menetap di rumah jagaan itu.

"Oleh sebab komitmen kerja, mereka jarang pulang ke kampung untuk menemani saya memandangkan suami sudah meninggal dunia sejak 49 tahun lalu. Setelah setahun di sini saya berasa selesa kerana semua keperluan mencukupi.

"Kami diberi layanan yang baik di samping dapat berkongsi cerita dengan penghuni lain. Dengan adanya lawatan anak-anak muda daripada UTHM dan SK Pintas Puding, kegembiraan dapat dirasakan di segenap rumah jagaan ini," katanya.

Utusan
30 Nov 2012