PARA penuntut UTHM beramah-mesra dengan murid SK Pintas Puding pada Program Lambaian Kasih Gamitan Sayang di Pusat Jagaan Bakti Murni, Muar, baru-baru ini.
MUAR 27 Nov. - Seramai 37 orang penuntut Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat menganjurkan Program Lambaian Kasih Gamitan Sayang, di sini baru-baru ini.
Program itu yang turut disertai 36 murid tahun enam daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pintas Puding, Parit Raja, Batu Pahat, berlangsung di Pusat Jagaan Bakti Murni Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Wanita di sini bermula pukul 7.30 pagi dan hingga 3.30 petang.
Pengarah Program berkenaan, Nor Azura Abd. Razak berkata, objektif program itu ialah menjalin hubungan dengan mereka yang kurang bernasib baik dan memupuk nilai murni dalam diri peserta agar peka dengan masyarakat sekeliling.
"Di samping itu, ia adalah salah satu aktiviti wajib bagi UTHM, program ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada bakal guru untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat setempat.
"Kami memilih tempat ini kerana mahu peserta dan penganjur menjiwai perasaan warga emas dan bagaimana kehidupan mereka di sini. Selain itu murid terbabit diajar bagaimana untuk menyayangi dan menghargai golongan emas sebagaimana menyayangi ibu bapa mereka," katanya.
Beliau berkata, antara kegiatan yang dilakukan ialah gotong royong, melukis mural dan beberapa permainan selain menjemput Pusat Kesihatan UTHM untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan latihan senaman fisioterapi percuma.
Seorang penghuni pusat penjagaan berkenaan, Siam Jaafar, 78, dari Parit Sakai di sini berkata, kesibukan anak-anak bekerja di Kajang dan Shah Alam, Selangor menjadi puncanya menetap di rumah jagaan itu.
"Oleh sebab komitmen kerja, mereka jarang pulang ke kampung untuk menemani saya memandangkan suami sudah meninggal dunia sejak 49 tahun lalu. Setelah setahun di sini saya berasa selesa kerana semua keperluan mencukupi.
"Kami diberi layanan yang baik di samping dapat berkongsi cerita dengan penghuni lain. Dengan adanya lawatan anak-anak muda daripada UTHM dan SK Pintas Puding, kegembiraan dapat dirasakan di segenap rumah jagaan ini," katanya.
Utusan
30 Nov 2012
0 comments:
Post a Comment