Saturday, November 24, 2012

MB Johor: Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja amat wajar


MUAR - Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman hari ini berkata pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja hari ini amat wajar selaras dengan sejarah bandar itu yang unik selain hubungan yang akrab antara istana Johor dan Muar.
 
Berucap pada majlis pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja, Abdul Ghani berkata sejak zaman silam lagi, Muar dikenali sebagai negeri yang 'berdikari', mempunyai sistem politik dan pentadbiran yang mantap, sumber ekonomi yang kukuh serta memiliki sistem sosial yang tersusun.
 
"Ketika itu, Muar sudah mempunyai jalan kereta api dari bandar ke Parit Jawa selain jalan raya yang baik yang menghubungkan antara satu tempat ke satu tempat.
 
"Penanaman gambir dan lada hitam sebagai sumber ekonomi yang kukuh dan pendidikan anak-anak Muar termasuk pendidikan agama menyebabkan lahirnya ramai pemimpin, intelektual, budayawan, alim ulamak dan golongan pendidik yang berwibawa," katanya pada majlis pengisytiharan yang disempurnakan Sultan Johor Sultan Ibrahim, di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
 
Abdul Ghani berkata hubungan yang akrab antara istana Johor dan Muar mula dilihat sejak zaman pemerintahan Maharaja Abu Bakar sehingga baginda pernah mengadakan sambutan hari keputeraan secara besar-besaran di Muar pada 21 Februari 1895 dan bersemayam di Muar selama 10 hari.

Beliau berkata, ketika itu juga ramai kerabat diraja Johor dilantik berkhidmat sebagai pegawai tadbir untuk memajukan Muar dan banyak nama tempat, bangunan dan jalan di Muar diletakkan nama kerabat diraja Johor ekoran banyak jasa yang disumbangkan mereka.
 
Katanya, tidak banyak bandar di dunia seperti Muar yang terletak di tepi kuala sungai yang mempunyai persekitaran tenang dan nyaman serta sungai yang berliku dari hulu ke hilir.
 
"Oleh hal yang demikian, adalah wajar sekali setelah 125 tahun Bandar Maharani mendapat namanya, bandar bersejarah ini diisytihar sebagai bandar diraja dengan nama Bandar Maharani Bandar Diraja," katanya.
 
Abdul Ghani berkata beliau yakin seluruh rakyat Johor terutamanya penduduk Muar akan mendapat pelbagai manfaat daripada pembangunan sekeliling termasuk pelancongan, pembuatan dan perhotelan. - Bernama

24 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment