MUAR 8 Nov. - Pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen di daerah Muar dan Ledang boleh mendapatkan borang pendaftaran Sumbangan ATM Tidak Berpencen 1Malaysia (AVTV1M-01) secara percuma sejak Khamis lalu bagi membolehkan mereka mendapat insentif RM1,000.
Borang permohonan insentif tersebut boleh didapati mulai pukul 9 pagi hingga 3 petang di Pejabat Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Muar di Jalan Sulaiman di sini, dan permohonan akan ditutup pada 30 November ini.
Pengerusi PBTM Muar, Shamsuddin Rais berkata, pesara tidak berpencen itu hanya perlu membawa salinan kad pengenalan, buku pengakuan perkhidmatan (BAT D86/92) dan sijil berhenti pasukan sukarela (BAT B84) serta Arahan Dokumen Persaraan.
"Selain itu, mereka juga perlu membawa salinan buku akaun bank iaitu di muka surat terakhir dan salinan kad bekas tentera jika ada.
'Saya ingin mengingatkan bekas ATM tidak berpencen supaya jangan terpedaya dengan dakwaan pihak lain yang menawarkan khidmat mendapatkan borang itu namun mengenakan bayaran," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Menurut Shamsuddin, bekas ATM juga dinasihatkan tidak mendapatkan borang itu daripada pihak ketiga sebaliknya terus ke pejabat PBTM Muar.
Bagi daerah lain, katanya, mereka boleh mendapatkan borang tersebut di pejabat PBTM terdekat.
Dalam pada itu, tambah beliau, bagi bekas ATM yang belum berdaftar menjadi ahli, mereka layak mendapatkan borang tersebut kerana sumbangan RM1,000 dijanjikan kerajaan kepada semua bekas tentera tidak berpencen sama ada menjadi ahli PBTM atau tidak.
Menurutnya, borang yang sudah dilengkapkan pesara akan diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM akhir bulan ini dan setakat ini, kira-kira 290 borang permohonan sudah diambil pesara tentera.
Beliau berkata, jumlah itu masih sedikit berbanding kira-kira 3,000 ahli yang berdaftar dan 1,300 daripadanya adalah pesara tentera tidak berpencen.
"Saya menyarankan ahli menguar- uarkan kepada rakan yang tidak mengetahui agar tidak tercicir membuat permohonan.
"Insentif ini adalah janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 baru-baru ini iaitu insentif RM1,000 akan diberikan kepada 224,000 pesara tentera tidak berpencen," katanya.
Utusan
9 Nov 2012
0 comments:
Post a Comment