KUALA LUMPUR: Pembinaan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat dijangka dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang ditawarkan empat institusi pengajian tinggi yang akan beroperasi secara berpusat di Pagoh, Johor.
Pembangunan hab yang mengambil masa tiga tahun itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan terlaksananya hab pendidikan itu, ia dijangka memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan.
“Sime Darby diberi tanggungjawab membangunkan Bandar Universiti Pagoh menjadikan Pagoh sebagai kawasan pembangunan bandar baru yang dilengkapi kemudahan asas dan komersial.
“Dijangka lebih 25,000 peluang pekerjaan baru wujud dengan terbinanya Bandar Universiti Pagoh ini,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian konsesi (CA) HPTP, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Sime Darby Berhad, Tun Musa Hitam, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Mohd Noor, Pengerusi Sime Darby Property Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Mohd Bakke Salleh.
Muhyiddin berkata, matlamat kerajaan adalah menjadikan pendidikan berkualiti sebagai landasan melahirkan modal insan kreatif, inovatif serta berkemahiran tinggi dan ia dapat dicapai dengan wujudnya HPTP.
“Sebagai contoh UTHM di Pagoh akan menawarkan 26 program dengan tambahan tiga program untuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan, dua program untuk Pusat Pengajian Diploma dan dua untuk Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan,” katanya.
myMetro
8 Nov 2012
0 comments:
Post a Comment