Monday, November 19, 2012

Hari Keputeraan Sultan Johor imbau istiadat Kesultanan Johor


MUAR - Upacara sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor ke-54 akan diadakan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor bermula dengan majlis letak kerja yang dilakukan di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
 
Setiausaha Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, upacara itu akan mengulang kembali sejarah 117 tahun lepas semasa sambutan hari keputeraan nenda baginda, Sultan Abu Bakar pada 1 Mac 1895 yang sebelum itu dikenali sebagai Hari Kerajaan, juga diadakan di bandar Muar.
 
"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan seorang yang suka menghidupkan kembali kebudayaan dan istiadat Kesultanan Johor yang telah lama.
 
"Untuk sambutan kali ini baginda lakukan dengan penuh adat istiadat Kesultanan Johor, kata Abdul Rahim dalam satu sidang media khas sempena majlis sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan majlis perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja di sini.
 
Katanya, dalam majlis letak kerja itu bendera khas dinaikkan sebagai menandakan permulaan kerja sambutan hari keputeraan diikuti dengan doa dan tembakan meriam tiga das.
 
Abdul Rahim berkata bendera itu akan diturunkan enam hari kemudian setelah selesai upacara sambutan dilakukan.
 
Menurut beliau, kali terakhir upacara itu diadakan adalah pada 1922 iaitu semasa majlis perkahwinan Tengku Temenggung Ahmad.
 
Acara kemuncak adalah pada 22 November ini di mana Sultan Johor akan berangkat dari Istana Tanjung berarak ke Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar untuk Majlis Doa Kesyukuran, Majlis Teriman, Majlis Menghadap Takzim serta majlis anugerah darjah dan pingat.
 
Upacara itu akan dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran di mana Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan mewakili Sultan Johor.
 
Abdul Rahim berkata tembakan meriam 21 das akan dilepaskan sebaik nama baginda disebut dalam bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd Tahrir Shamsudin.

Beliau berkata, keberangkatan Sultan Johor akan disambut dengan perbarisan kehormat Askar Timbalan Setia yang akan diketuai sendiri oleh anakanda baginda Tunku Abdul Rahman.
 
Ia diikuti dengan Majlis Teriman iaitu istiadat perkumpulan orang kenamaan dan kerabat diraja dan ucap tahniah kepada baginda yang akan diketuai sendiri oleh Tengku Mahkota Johor.
 
Majlis diikuti dengan ucapan tahniah oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang akan diiringi wakil pemimpin kaum Cina dan India mewakili rakyat Johor.
 
Baginda Sultan kemudian dijangka menganugerahkan gelaran kepada anakanda baginda dengan menggunakan gelaran zaman Kesultan Melayu lama seperti Laksamana.
 
Satu majlis mengadap takzim akan diadakan selepas itu dan istiadat pengurniaan pingat serta majlis jamuan teh.
 
Abdul Rahim berkata untuk majlis yang akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim itu, pihaknya mengalukan kehadiran rakyat jelata dengan berpakaian sesuai dan menyediakan 60 gerai pelbagai jenis juadah tradisi Johor.

Bernama

19 Nov 2012

Upacara, istiadat Kesultanan Johor dihidupkan semula


MAJLIS Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan menaikkan bendera diraja di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor, semalam.

MUAR 19 Nov. - Majlis Letak Kerja Pertabalan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan disambut lima hari lima malam bermula Rabu ini disempurnakan di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Upacara tersebut dimulakan dengan bacaan doa oleh Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin sebelum pembacaan perisytiharan oleh Setiausaha Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan diakhiri dengan upacara menaikkan bendera diraja dengan diiringi tiga das tembakan meriam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil; Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas dan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli.

Pada sidang akhbar di Bangunan Sultan Abu Bakar selepas majlis tersebut, Abdul Rahim berkata, Majlis Letak Kerja-kerja Pertabalan dengan menaikkan bendera diraja dilakukan sebagai simbolik bermulanya kerja-kerja sempena sambutan berkenaan.

Beliau berkata, upacara tersebut amat istimewa dalam Kesultanan Johor yang sudah tidak dipraktikkan serta tidak terdapat di negeri lain dan kali terakhir diadakan pada 1922 bagi meraikan perkahwinan salah seorang kerabat diraja Johor.

"Sejarah upacara ini dimulakan oleh Sultan Abu Bakar pada 1874 untuk meraikan kerajaan sebelum ditukar kepada hari keputeraan. Biasanya bendera akan dinaikkan tiga atau empat hari sebelum majlis berkenaan berlangsung.

"Upacara ini sangat istimewa sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada minggu ini, upacara ini dihidupkan semula selepas 90 tahun tidak dilakukan," katanya.

Beliau berkata, selain upacara itu, terdapat beberapa lagi amalan dan adat istiadat Kesultanan Johor yang akan dihidupkan semula sempena sambutan berkenaan terutama pada Majlis Tahlil dan Doa Kesyukuran, Majlis Triman, Majlis Mengadap Takzim dan Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Khamis ini.

"Antaranya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan mengurniakan gelaran yang pernah digunakan pada masa lalu, contohnya Laksamana Bentan kepada salah seorang daripada anakandanya," katanya.

Katanya, bahasa yang digunakan juga adalah bahasa istana mengikut tradisi dan istiadat Kesultanan Johor yang biasa digunakan oleh raja dan kaum kerabat sahaja, tidak boleh digunakan oleh rakyat biasa.

Menurutnya, penduduk Muar amat bertuah kerana daerah itu dipilih untuk sambutan tersebut kerana tidak pernah diraikan di daerah lain apatah lagi dalam satu majlis yang gilang-gemilang seperti yang dijadualkan kali ini.

Sambutan yang bermula Rabu ini dan berakhir Isnin depan dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga penduduk negeri lain.

Utusan
20 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment