Sunday, November 25, 2012

Sempena hari keputeraan, pengisytiharan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja


SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (kanan) mengaminkan doa setelah baginda merasmikan Masjid Al-Ikhsan di Batu 18, Air Hitam, Bukit Naning, Muar, semalam. - UTUSAN/Ishak Rahmad

MUAR 23 Nov. - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan merasmikan Masjid Al-Ikhsan di Batu 18, Air Hitam, Bukit Naning, dekat sini hari ini sempena hari kedua sambutan keputeraan baginda dan pengisytiharan Bandar Maharani sebagai Bandar Diraja di bandar ini.

Baginda merasmikan masjid berkenaan sebelum menunaikan solat Jumaat sambil disaksikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Abdullah Ali.

Yang turut berangkat, tiga putera baginda iaitu Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Sementara itu, Abdullah ketika ditemui berkata, masjid tersebut mula dibina pada Mac tahun lalu dan siap sepenuhnya Julai lepas dengan kos RM2.245 juta iaitu RM1.925 juta disumbangkan oleh Kerajaan Pusat manakala selebihnya ditanggung oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, Masjid Al-Ikhsan merupakan masjid kedua daripada enam masjid baru yang dibina di kawasan DUN Bukit Naning, selain di Batu 3, Batu 6, Batu 16 dan Batu 20 yang kesemuanya jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.

"Masjid Al-Ikhsan boleh memuatkan kira-kira 500 jemaah dalam satu-satu masa dan pembinaannya bagi menggantikan masjid sebelum ini yang sudah lama dan tidak mampu menampung kapasiti jemaah sekarang," katanya.

Beliau berharap penduduk setempat mengimarah dan menjaga kebersihan masjid berkenaan kerana sebelum ini tahap kebersihannya tidak memuaskan, selain tidak meletakkan peranan serta tanggungjawab menjaganya di atas bahu pihak pengurusan masjid sahaja.

Imam 1 masjid berkenaan, Sarongi Bardi dalam khutbah Jumaatnya menyeru umat Islam di kawasan tersebut supaya bersatu padu dan bersama-sama memakmurkan rumah ibadat berkenaan dengan aktiviti keagamaan dan ibadah.

"Tiada gunanya sebuah masjid yang cantik dan mahal tetapi umat Islam bercakaran sesama sendiri. Jangan ada perpecahan sesama umat Islam, kita mesti berdiri atas dasar takwa untuk sama-sama mengimarahkan masjid.

"Kebersihan juga adalah penting kerana salah satu contoh takwa. Kita mesti bersih lahir dan batin serta menjadi tanggungjawab kariah untuk mengambil berat hal-hal masjid dan membina kasih sayang di rumah ibadat ini," katanya.

Seorang jemaah, Rosli Tumiran, 42, dari Kampung Parit Karim terharu kerana Sultan Johor berkenan merasmikan masjid tersebut dan merupakan satu penghormatan serta menjadi sejarah bagi kawasan berkenaan.

Rakannya, Azam Aidil, 39, dari kampung yang sama turut gembira dan berharap masjid berkenaan akan menjadi medan mengukuh perpaduan umat Islam sedia ada dan disemarakkan dengan pelbagai kegiatan keagamaan.

Utusan
25 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment