Sunday, November 11, 2012

HPSF kini dilengkapi teknologi MRI



DR. Selahuddeen Abd.Aziz memotong kek sempena sambutan Hari Radiografi Sedunia peringkat Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor, semalam.


MUAR 7 Nov. - Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini muncul sebagai hospital kerajaan ketiga di negeri ini dilengkapi teknologi Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan bakal menjadi tempat rujukan bagi kes berkaitan dari daerah sekitar seperti Ledang, Segamat, Batu Pahat dan Kluang.

Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, perkhidmatan dengan sistem magnetik kekal dan arus elektrik itu dapat meningkatkan perkhidmatan kesihatan untuk penduduk Johor Utara.

"HPSF adalah satu-satunya hospital kerajaan yang mempunyai teknologi tersebut selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) yang kedua-duanya di Johor Bahru.

"Kepakaran radiologi HPSF kini bukan sahaja perkhidmatan MRI tetapi juga pemeriksaan x-ray biasa, mesin CT Scan, ultrasound (USG) dan mamografi yang penggunaannya meningkat saban tahun," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Radiografi Sedunia 2012 di Jabatan Pengimejan Dan Diagnostik (X-Ray) hospital itu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Perubatan) HPSF, Dr. Noriza Abdullah; Ketua Jabatan dan Pakar Radiologi jabatan tersebut, Dr. Laili Suriani Ab. Latip dan Ketua Unit Radiologinya, Nani Abdul Latif.

Selahuddeen berkata, statistik empat perkhidmatan tersebut meningkat sebanyak 150 kes dari Januari lalu hingga hari ini berikutan peningkatan pelbagai penyakit kronik di sini dan daerah sekitarnya.

Selahuddeen berkata, daripada empat perkhidmatan itu, penggunaan x-ray biasa adalah yang tertinggi iaitu penggunaan sebanyak 55,322 bagi tempoh itu atau peningkatan penggunaan sebanyak lapan peratus berbanding jumlah penggunaan sepanjang tahun sebanyak 59,500 pada 2011 dan 56,800 (2010).

Penggunaan mesin CT Scan pula katanya, mencatatkan penggunaan 4,722 atau peningkatan 20 peratus bagi tempoh yang sama berbanding jumlah pemeriksaan sepanjang tahun sebanyak 6,000 pada 2011 dan 4,500 (2010).

"Pemeriksaan ultrasound pula sebanyak 5,251 atau 18 peratus bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding jumlah penggunaan sepanjang tahun iaitu sebanyak 7,000 (2011) dan 6,153 (2010).

"Mamografi pula mencatatkan peningkatan dua peratus bagi tempoh sama berbanding penggunaannya sebanyak 646 (2011) dan 600 (2010)," katanya.

Utusan
8 Nov 2012


0 comments:

Post a Comment