DR. SELAHUDDEEN Abd. Aziz (dua kiri) dan Dr. Norlina Yusoff (empat dari kanan) melancarkan sambutan Hari Anestesia Sedunia peringkat Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar, Johor, baru-baru ini.
MUAR 16 Nov. - Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini masih kekurangan pakar bius dan bercadang menambah bilangannya bagi mengelak kerja-kerja pembedahan tertangguh terutama yang melibatkan kes kecemasan dan kritikal.
Pengarahnya, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz berkata, HPSF ketika ini hanya memiliki empat pakar bius dan bilangan tersebut sangat sedikit berbanding kes pembedahan yang perlu dilakukan segera.
"Disebabkan kekurangan pakar bius, kadangkala pembedahan terpaksa dilakukan pada Sabtu. Pakar bius penting bagi memenuhi keperluan proses pembedahan, pemulihan dan penjagaan rapi.
"Justeru, kita harap dapat menambah bilangan sedia ada bagi memastikan pembedahan dapat dijalankan mengikut jadual ditetapkan," katanya ketika berucap melancarkan sambutan Hari Anestesia Sedunia Peringkat HPSF 2012 di sini kelmarin.
Beliau berkata, pembiusan kini tidak lagi terbatas di bilik pembedahan sahaja tetapi juga digunakan bagi keperluan pelbagai penyakit dan untuk itu keperluan pakar tersebut amat mendesak.
Dalam pada itu, beliau berkata, HPSF merancang menganjurkan lebih banyak program kesedaran tentang penyakit berbahaya selain berkenaan barah, anestesia dan derma organ.
Katanya, program seperti itu akan memberi pendedahan dan pemahaman tentang penyakit yang boleh membawa maut dan seterusnya melakukan pencegahan atau pemeriksaan awal.
"Sebarang program tersebut mestilah melibatkan seberapa ramai orang yang boleh. Kita mahu masyarakat di daerah ini tahu dan sedar akan kepentingan penjagaan kesihatan.
"Begitu juga dengan keperluan pakar bius yang sangat penting dalam bidang perubatan. Kita mahu orang ramai tahu tentang pentingnya pakar bius semasa pembedahan dilakukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Anestesia HPSF, Dr. Norlina Yusoff berkata, pakar bius sangat penting bagi HPSF dan sebab itu pihaknya setiap tahun meraikan Hari Anestesia Sedunia untuk melahirkan kesedaran dalam kalangan kakitangan dan orang awam tentang kepentingannya.
Utusan
17 Nov2012
0 comments:
Post a Comment