Thursday, November 15, 2012

Tubuh jawatankuasa khas bantu mangsa banjir


MUAR 13 Nov. - Penyelaras Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan menubuhkan satu jawatankuasa khas sebagai persiapan membantu mangsa banjir dengan menyediakan makanan, minuman, pakaian, selimut dan keperluan lain apabila banjir melanda kawasan itu.

Pengerusi JPMM DUN Bentayan, Chriss Lee Ching Yong berkata, penubuhan jawatankuasa yang terdiri daripada sukarelawan itu adalah bagi memastikan bantuan dapat diberi tepat pada masanya mengikut keperluan selain tidak mengabaikan kepentingan dan kebajikan mereka.

"Penubuhan jawatankuasa ini adalah bagi membantu Pejabat Daerah Muar dalam membantu mangsa banjir supaya semua sumbangan dapat diselaraskan secara sistematik dan teratur walaupun ketika ini kawasan Bentayan belum dilanda banjir.

"Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) kawasan Bakri, dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan antaranya bomba, polis, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Majlis Perbandaran Muar," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bantuan kepada mangsa banjir kawasan Bentayan di Bangunan Sultan Abu Bakar, di sini semalam.

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah 40 wakil daripada NGO dan jabatan serta agensi kerajaan yang terbabit sebelum memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan sebagai persiapan dan pembahagian tugas awal dalam menghadapi banjir di Bentayan.

Chriss Lee yang juga Pegawai Khas Menteri Besar di DUN Bentayan berkata, sukarelawan itu akan ditempatkan di tiga pusat pemindahan banjir iaitu satu di Muar manakala dua lagi di Bakri sejurus sahaja banjir melanda.

Pihak bomba, katanya, akan menyalurkan 10,000 liter air kepada semua pusat pemindahan tersebut dan dalam kes tertentu jika masih kekurangan air, pasukan tersebut membenarkan air diambil daripada pili bomba berdekatan manakala St. John Ambulance menyediakan bantuan perubatan selain lori, bot, pacuan empat roda dan helikopter untuk membantu menyelamatkan mangsa jika berlaku kecemasan.

"Kita sudah mengenal pasti banyak kawasan yang mudah dinaiki air jika hujan lebat antaranya Taman Bakariah, Taman Temiang Jaya, Taman Orkid, Taman Jaya Bakri dan juga kawasan kampung. Semua barang bantuan akan disimpan di Pejabat JPPM DUN Bentayan dan Pejabat MCA cawangan Bukit Bakri sebelum disalur kepada mangsa banjir.

Tambahnya, mangsa banjir di kawasan tersebut yang memerlukan bantuan boleh datang di kedua-dua pejabat berkenaan atau berhubung dengan wakil DUN Bentayan melalui talian 06-9539927 (Lee Kim Heng).

Utusan
15 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment