Monday, November 5, 2012

15 kediaman terjejas akibat banjir


Abdul Rahman dan isterinya, Poniah Mohamad membersihkan rumah mereka yang dinaiki air.

MUAR - Hujan lebat kira-kira satu jam di Kampung Jalan Masjid, Sungai Raya, Sungai Terap di sini, petang kelmarin, mengakibatkan kira-kira 15 rumah dinaiki air setinggi hampir 0.3 meter.

Seorang penduduk, Abdul Rahman Ismail, 51, berkata, setakat ini, rumahnya sudah dinaiki air sebanyak lima kali sejak awal tahun ini.

Menurutnya, setiap kali hujan lebat, dia bimbang apabila memikirkan risiko rumahnya akan dinaiki air.

“Apabila rumah dimasuki air, saya dan keluarga terpaksa bergotong-royong membersihkan kediaman.

“Saya sudah lali dengan keadaan ini dan ada kalanya terpaksa mengejutkan anak yang sedang tidur untuk membantu membersihkan rumah jika dimasuki air pada tengah malam,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Hanipah Husin, 42, berkata, banyak buku sekolah anaknya rosak kerana terendam dalam air apabila tidak menyedari kejadian itu terutamanya pada tengah malam.

“Saya terpaksa memecahkan jalan untuk membuat saliran bagi membolehkan air banjir yang melimpah dalam kawasan rumah mengalir ke kawasan lain.

“Jika tidak, air banjir akan lambat surut sehingga mengambil masa selama tiga hari,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu mengharapkan agar sistem perparitan kampung berkenaan dapat diselenggara setiap tahun untuk mengatasi masalah tersebut berulang.

Sementara itu, Ketua Kampung, Kampung Jalan Masjid, Sungai Raya, Sungai Terap, Abu Bakar Bashar berkata, pihaknya sudah menghubungi pihak berkenaan untuk menyelenggarakan perparitan tersumbat pada masa terdekat.

Sinar Harian
5 Nov 2012

15 rumah dilanda banjir kilat


WAKIL Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab. Aziz Kaprawi (dua dari kanan) meredah air untuk melihat keadaan mangsa banjir di Kampung Solok Wan Moh di Batu Pahat, semalam.

MUAR 4 Nov. - Hujan lebat selama beberapa jam telah mengakibatkan kira-kira 15 buah rumah di Kampung Jalan Masjid, Sungai Raya, Sungai Terap di sini dilanda banjir kilat semalam.

Menurut penduduk, rumah mereka dinaiki air sedalam 0.3 meter dan musibah itu merupakan antara yang terburuk pada tahun ini selepas kejadian serupa dua minggu lalu.

Seorang mangsa, Abdul Rahman Ismail, 51, mendakwa, banjir kilat itu berpunca daripada masalah sistem perparitan yang tidak diselenggara sejak 2008 sehingga menyebabkan air melimpah masuk ke rumah penduduk.

"Setakat ini, rumah saya telah dinaiki air sebanyak lima kali sejak awal tahun. Setiap kali hujan lebat, kami sekeluarga bimbang memikirkan risiko rumah yang dinaiki air.

"Apabila rumah dimasuki air, saya dan keluarga terpaksa bergotong-royong membersihkan air banjir selama lebih tiga jam. Saya sudah lali dengan keadaan ini dan adakalanya terpaksa mengejutkan anak-anak yang sedang tidur untuk membantu membersihkan rumah jika dimasuki air banjir pada waktu tengah malam," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Hanipah Husin, 42, berkata, banyak buku sekolah anaknya rosak kerana terendam di dalam air banjir apabila kejadian tersebut berlaku pada waktu tengah malam.

Dia terpaksa memecahkan simen penghadang banjir di pintu masuk rumah bagi membolehkan air yang masuk dalam rumah mengalir keluar.

"Jika tidak berbuat demikian, air banjir akan lambat surut sehingga mengambil masa selama tiga hari," katanya yang berharap kerja-kerja mendalam serta membersihkan parit dilakukan segera kerana daerah ini mula dilanda musim tengkujuh.

Bapa kepada tiga orang anak itu mengharapkan sistem perparitan kampung berkenaan dapat diselenggara setiap tahun oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah tersebut yang sudah berlarutan sekian lama.

Utusan
5 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment