Monday, November 19, 2012

Lelaki tidur dengan 3 wanita dicekup


MUAR 17 Nov. - Seorang lelaki ditahan ketika tidur bersama tiga wanita di ruang tamu rumah kakak angkatnya dalam serbuan Pejabat Agama Islam daerah di Jalan Salleh di sini malam semalam.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu memberi alasan hanya menumpang tidur di rumah kakak angkatnya.

Ketika serbuan, dia yang tidak bekerja didapati tidur bersama tiga wanita yang juga berusia dalam lingkungan 20-an di ruang tamu manakala seorang lagi berada dalam bilik rumah sewa berkenaan.

Pemeriksaan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan dan menetap di situ sejak enam bulan lalu.

Operasi bersepadu sempena Maal Hijrah bermula kira-kira pukul 11 malam itu menyasarkan hotel, pusat hiburan dan rumah dikenal pasti di sekitar daerah ini bagi membendung kegiatan maksiat yang turut disertai pelbagai jabatan seperti polis, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Muar (MPM), imigresen serta kastam.

Dalam operasi itu, empat pasangan turut ditahan kerana didapati berkhalwat di hotel manakala tiga lagi pasangan disaman kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Selain itu, empat wanita dipercayai warga Thailand turut ditahan kerana dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran di Jalan Stadium di sini.

Penolong Pegawai Daerah Muar, Hanis Musalman Salehan berkata, operasi bersepadu itu melibatkan 65 kakitangan daripada pelbagai jabatan yang dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Beliau berkata, setiap jabatan berkenaan mengambil tindakan di bawah bidang kuasa masing-masing untuk menahan mereka yang melakukan kesalahan dengan Pejabat Daerah bertindak sebagai koordinator.

"Operasi sebegini kita adakan antara dua hingga tiga kali setahun membabitkan pelbagai jabatan untuk mencegah kegiatan maksiat serta perkara negatif lain," katanya.

Utusan
18 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment