Bangunan jam antara mercu tanda bandar Muar.
MUAR 14 Nov. - Tinggal seminggu sahaja lagi bandar ini akan menyambut Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan pelbagai acara akan diadakan selama lima hari lima malam bermula 22 November ini.
Program gilang-gemilang sepanjang sambutan itu dengan penyertaan setiap lapisan rakyat akan 'menghidupkan' bandar ini yang mempunyai bangunan-bangunan lama dengan senibina unik dan klasik berdiri megah sejak 1902 di samping bangunan barunya.
Ketika ini, persiapan dan persediaan di peringkat akhir giat dijalankan untuk menyambut dua hari bersejarah tersebut yang julung kalinya diadakan di daerah ini sekali gus menyaksikan bandar Muar bakal berubah wajah.
Kerja-kerja penurapan jalan dan mengecat bangunan-bangunan utama khususnya di Jalan Bakri/Lenga/Bukit Kepong, Jalan Arab/Sulaiman/Pagoh/Panchor, Jalan Maharani/Yahya/Salleh, Jalan Ali/Sisi/Tanjung Agas/Jalan Bentayan/Bukit Pasir, Jalan Abdullah/Majidi/Haji Abu/Parit Jawa dan Jalan Meriam/Sayang sudah hampir siap.
Utusan
15 Nov 2012
Jalan ditutup sempena Hari Keputeraan Sultan Johor
MUAR 14 Nov. - Orang ramai diminta mengikuti arahan papan tanda yang diletakkan untuk memasuki bandar ini kerana beberapa jalan utama akan ditutup secara berperingkat sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor serta pengisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja bermula 20 November ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, acara sambutan selama lima hari lima malam itu akan membabitkan beberapa kawasan di sekitar bandar Muar dan jalan-jalan utama akan ditutup.
"Antara jalan terbabit ialah Jalan Sulaiman, Jalan Ibrahim, Jalan Ali, Jalan Arab, bulatan Bakri yang ditutup untuk raptai pada pukul 2 petang 19 November dan ditutup sekali lagi pada pukul 8 malam 20 November.
"Pada 21 November pula, Jalan Petri hingga persimpangan Jalan Muhamadiyah juga akan ditutup namun semuanya bergantung pada waktu keberangkatan Sultan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan 15 Nov 2012
0 comments:
Post a Comment