Saturday, November 24, 2012

Sultan Johor mahu Bandar Diraja miliki identiti sendiri


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan bertitah mengisytiharkan Bandar Maharani Bandar DiRaja sambil diperhatikan oleh Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. - Foto Bernama

SULTAN IBRAHIM ISMAIL menurunkan tanda tangan pada plak sebagai tanda perasmian Bandar Maharani Bandar Diraja sambil diperhatikan Muhyiddin (dua dari kiri) dan Abdul Ghani (kiri) di Muar. Gambar Kosmo


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar (lima, kiri), Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga, kiri), Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (dua, kiri), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (empat, kiri) dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim (kiri) ketika menyaksikan perarakan kereta berhias sempena sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor di Jalan Arab, Muar, malam tadi. - Foto Bernama


MUAR - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mahu Bandar Muar memiliki identiti tersendiri setaraf dengan gelarannya sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja.
 
Baginda bertitah bandar berkenaan perlu aman damai, bersih serta bebas dari pencemaran alam sekitar terutamanya sisa buangan.
 
"Penduduk di sini hendaklah sentiasa bekerjasama dan saling bantu-membantu dengan kerajaan atau Majlis Perbandaran bagi menjaga kebersihan bandar, sungai dan alam sekitar," titah baginda pada majlis pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja, di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.
 
Berangkat sama ke majlis itu, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail, Tunku Temenggong Tunku Idris dan kerabat diraja lain.
 
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, barisan exco kerajaan negeri dan para pegawai kerajaan.

Sultan Ibrahim bertitah sebagai bandar diraja juga, kesemua bangunan lama yang bersejarah di bandar berkenaan perlu diwartakan kekal supaya menjadi ia menjadi warisan.
 
Baginda bertitah segala kesenian dan kebudayaan masyarakat setempat juga hendaklah dipamerkan kepada masyarakat supaya menjadi daya tarikan untuk orang ramai mengunjungi bandar tersebut.
 
Sultan Ibrahim dalam pada itu turut melahirkan kesyukuran dan suka cita kepada semua pihak terutamanya penduduk Muar atas pengisytiharan berkenaan.
 
Sehubungan itu, baginda turut mengingatkan seluruh penduduk Muar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama supaya sentiasa bertolak ansur, bersatu  serta hormat-menghormati antara satu sama lain bagi mengekalkan kehidupan yang sentosa.
 
Majlis pengisytiharan berkenaan turut diselitkan dengan tayangan video pengkisahan 125 tahun Bandar Maharani sebelum Sultan Johor menanam watikah pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang diletakkan di dalam kapsul masa ke tugu masa.
 
Baginda kemudian turut melepaskan peserta cabaran jet ski antarabangsa di persisiran Sungai Muar yang diadakan sempena sambutan hari keputeraan baginda dan pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja.  - Bernama

24 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment