Saturday, November 24, 2012

Bas persiaran terbabas


MUAR – Perhentian Bas Bentayan, dekat sini kecoh apabila sebuah bas persiaran terbabas lalu merempuh sebatang tiang pada bangunan tersebut yang menempatkan sebuah kedai menjual surat khabar, semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.25 pagi itu, menyebabkan penumpang yang sedang menunggu bas dalam perhentian tersebut bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Pemilik kedai, Hamidah Ahmad Tajudin, 22, berkata, ketika kejadian dia sedang sibuk melayan pelanggan di kaunter pembayaran.

Menurutnya, tiba-tiba dia melihat sebuah bas persiaran yang baru bertukar pemandu bergerak menghala ke kedainya.

“Saya sangka bas tersebut akan berhenti di hadapan kedai, tetapi telah merempuh tiang perhentian bas berdekatan kedai.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan pelanggan yang berada dalam kedai terkejut dan lari menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya, akibat rempuhan itu pintu kedainya tidak boleh ditutup dan bimbang untuk meninggalkan kedai pada waktu malam.

Hamidah berkata, lazimnya pada waktu sedemikian, ibu dan abangnya akan turut sama berada di kedai. Tetapi katanya, semasa kejadian ibu dan abangnya pulang ke rumah untuk menghantar barang.

“Mujur ada tiang, jika tidak pasti bas ini sudah merempuh kedai dan perkara buruk menimpa saya,” katanya.

Sinar Harian
24 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment