Wednesday, November 7, 2012

Kecederaan ketua kampung dapat perhatian TPM


SAHARUDIN Md. Salleh (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Abu Bakar Esa di rumahnya di Bukit Pasir, Muar, semalam.

MUAR 5 Nov. - Nasib malang yang menimpa Ketua Kampung Parit Sarif, Abu Bakar Esa yang mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh semasa memetik buah kelapa mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Saharudin Md. Salleh.

Saharudin meluangkan masa selama 30 minit menziarahi Abu Bakar di rumahnya di Lorong Haji Esa, Bukit Pasir di sini hari ini dan menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau turut menyampaikan salam Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang bersimpati dengan kejadian yang menimpa Abu Bakar.

"Saya doakan Abu Bakar segera sembuh dan dapat kembali menjalankan tugas sebagai ketua kampung dan berharap beliau dan ahli keluarganya bersabar dengan dugaan ini dan berusaha mendapat rawatan untuk pulih," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, kejadian itu berlaku pada 22 Oktober lalu ketika dia sedang memetik kelapa di hadapan rumahnya sebelum ditimpa sebiji buah kelapa sehingga membuatkannya terduduk dan hampir pitam.

Berikutan itu, bahagian pinggangnya sakit dan merangkak pulang ke rumah untuk mendapatkan pertolongan daripada isteri serta anak-anak sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

"Saya menjalani rawatan di HPSF selama 10 hari dan terpaksa memakai alat sokongan Juweet Brace sekurang-kurangnya selama tiga bulan, yang dipasang pada badan," katanya yang terharu menerima kunjungan banyak pihak termasuk pemimpin setempat.

Abu Bakar yang reda dengan kejadian itu berharap kecederaan tersebut mampu pulih dengan segera dan mahu kembali menjalankan tugas yang diamanahkan sebagai ketua kampung.

Utusan
6 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment