Sunday, November 11, 2012

Mohd Fakri qari terbaik


Mohd Fakri bersama guru pembimbingnya, Mohamad menerima hadiah kemenangan sebagai qari terbaik daripada Pengarah JKM negeri, Khatijah Abdullah pada Pertandingan Tilawah Al-Quran

MUAR – Kira-kira 17 tahun lalu, sepasang suami isteri dikurniakan anak yang tidak sempurna kerana disahkan cacat penglihatan sejak dilahirkan.

Kini, pasangan terbabit, Fatin Azizah Abdullah, 40, dan suaminya, Mohd Fahmi Abdullah, 40, berbangga apabila anak lelaki tunggalnya itu mempunyai kebolehan membaca dan menghafal al-Quran dengan baik.

Malah, kelebihan itu mengangkat Mohd Fakri, 17, dari Kulaijaya sebagai johan dan qari terbaik dengan menewaskan 20 peserta lain dalam Pertandingan Tilawah al-Quran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) peringkat negeri 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar, baru-baru ini.

Dia juga dinobatkan sebagai naib johan dalam Pertandingan Tilawah al- Quran Pendidikan Khas peringkat kebangsaan di Perak pada Julai lalu.

Fatin Azizah berkata, dia gembira kerana kekurangan diri yang dimiliki Mohd Fakri bukan penghalang kepada anaknya menguasai pembacaan kitab suci al-Quran dengan baik menggunakan al-Quran Braille.

Lebih membanggakan kerana mereka sekeluarga merupakan mualaf.

“Saya adalah kaum Kadazan dari Sabah, manakala suami kaum Iban dari Sarawak, mula menganut Islam selepas berhijrah ke Johor.

“Sebagai seorang mualaf, saya tidak mempunyai asas pengetahuan al-Quran lalu menyukarkan untuk membaca al-Quran.

“Tetapi atas dasar keinginan, saya mempelajari al-Quran daripada Mohd Fakri,” katanya kepada Sinar Harian.

Fatin Azizah berkata, anaknya menunjukkan minat mendalam terhadap al-Quran ketika menuntut di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru.

“Setiap kali mendengar bacaan ayat suci al-Quran di radio dan televisyen, Mohd Fakri akan meminta orang di sekelilingnya senyap kerana dia mahu memberi tumpuan terhadap bacaan itu.

“Mohd Fakri lebih gemar menghabiskan masa lapangnya untuk mendengar dan mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran daripada kaset yang dibelinya,” katanya.

Katanya, ketika melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Indahpura, Kulai, Mohd Fakri semakin aktif memasuki pertandingan Tilawah al-Quran dan meraih banyak kemenangan.

Sementara itu bagi Mohd Fakri, dia amat gembira kerana berpeluang membaca al-Quran seperti orang lain, walaupun tidak dapat melihat tapi dapat menyentuh ayat-ayat suci tersebut.

“Saya terkejut apabila dinobatkan sebagai qari terbaik kerana kesemua peserta yang bertanding sangat hebat serta mempunyai bacaan yang baik.

“Kejayaan ini adalah untuk kedua ibu bapa kerana mereka sering memberikan sokongan kepada saya. Begitu juga guru pembimbing, Mohamad Ismail, yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai tajwid,” katanya.

Mohd Fikri yang telah empat kali khatam al-Quran berhasrat untuk menjadi qari terbaik negara.

Sinar Harian
10 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment