Monday, November 19, 2012

Sindiket proses dadah tumpas


MOHAMAD Nasir Ramli (kanan) menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pertama, Sungai Abong, Muar, Johor, kelmarin. - MINGGUAN/ISHAK RAHMAD

MUAR 17 Nov. - Polis menumpaskan satu sindiket memproses dadah serta merampas pelbagai jenis bahan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM52,688 di sebuah rumah di Taman Pertama, Sungai Abong, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, antara dadah yang dirampas dalam serbuan kira-kira pukul 6.30 petang pada 8 November lalu adalah syabu, ketamin, heroin, Eramin 5, ganja dan serbuk pil ekstasi.

"Kesemua dadah ini boleh dibekalkan kepada 2,448 penagih. Dalam serbuan ini polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 28 hingga 32 tahun dan suspek yang berusia 28 tahun memiliki rekod jenayah lampau.

"Ketiga-tiga suspek didapati positif dadah dan perintah tahanan reman ke atas mereka yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga Khamis depan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD), di sini semalam.

Mohamad Nasir memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam satu lagi kes, beliau berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun di sebuah pasar di pekan Pagoh pukul 10.20 malam tadi kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal di daerah ini dan sekitarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggangnya dilaporkan hilang pada Isnin lalu di kawasan Bukit Pasir.

"Suspek kemudian mengaku mencuri tiga buah motosikal iaitu dua di daerah Muar manakala sebuah lagi di Tenang, Labis. Hasil saringan juga mendapati suspek positif dadah," katanya.

Utusan
18 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment