Wednesday, November 7, 2012

Wajah baharu Muar hampir siap


SEKUMPULAN kakitangan SWM melakukan kerja-kerja pembersihan ketika mengikuti program gotong royong perdana Jalan Abu, Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 2 Nov. - Persediaan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja yang akan diraikan selama lima hari lima malam di bandar ini bermula 22 November ini telah siap 90 peratus.

Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam berkata, antara aspek utama yang diberi tumpuan adalah menaik taraf infrastruktur dan kemudahan asas di bandar ini bagi memastikan sambutan itu meriah dan berjalan lancar.

"Dari segi infrastruktur sudah 95 peratus siap, contohnya jalan-jalan sudah dinaik taraf, Dewan Jubli Intan dan mercu tanda di Bulatan Sulaiman juga hampir siap selain bangunan di bandar Muar banyak yang sudah dicat.

"Begitu juga urusan pengurusan majlis, jamuan dan sebagainya boleh dikatakan sudah 90 peratus siap," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dewan Undangan Negeri Bentayan, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi JPMM DUN Bentayan, Chriss Lee Ching Yong; Pengurus Besar Kumpulan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM), Adnan Ibrahim dan Pegawai Komunikasi Korporat SWM, Choo Chiau Seng.

Abdul Rahman berharap, penduduk Muar memberi kerjasama dengan menjaga kebersihan bagi menjayakan sambutan tersebut yang julung-julung kalinya diadakan di sini dan menjemput mereka menghadiri pelbagai acara yang diadakan sepanjang lima hari itu.

Sementara itu, Ching Yong yang juga Pegawai Khas Menteri Besar berkata, program gotong-royong perdana sempena sambutan itu yang dimulakan semalam di Jalan Yahya-Jalan Daud, Jalan Haji Abu dan Jalan Bentayan akan diteruskan hingga 20 November ini.

Beliau berkata, aktiviti itu melibatkan banyak pihak termasuk Pejabat Daerah Muar, Balai Bomba dan Penyelamat, Pejabat Pertanian daerah, SWM, Dewan Perniagaan Cina dan Persatuan Penjaja Jalan Ali dan Bentayan.

Beliau meminta orang ramai memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan program tersebut supaya dapat dilakukan mengikut masa yang ditetapkan bagi memastikan bandar ini bersih dan bebas daripada sampah sarap.

Selain itu, Chiau Seng meminta orang ramai supaya mengikat bungkusan sampah sebelum membuangnya ke dalam tong yang disediakan dan bukan mencampakkannya ke longkang kerana tindakan itu boleh mengakibatkan banjir kilat.

Utusan
3 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment