Wednesday, November 21, 2012

Hari Keputeraan Sultan Johor, anggota polis ditambah


Jalan Arab antara lokasi yang akan menempatkan ramai anggota polis sepanjang berlangsungnya Hari Keputeraan Sultan Johor.

MUAR – Bilangan anggota polis bertugas akan ditambah khusus sempena Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja pada 21 hingga 25 November ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, langkah tersebut bagi memastikan majlis berjalan lancar sekaligus memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam terkawal.

“Kita bersedia dan sudah kenal pasti segala bentuk ancaman dan anggota polis akan diletakkan di semua jalan terutamanya yang akan dilalui Sultan Johor. Ini bagi menentukan keselamatan tuanku dan juga orang ramai.

“Anggota polis akan berada di semua tapak majlis dan tempat penginapan untuk kawal keselamatan di jalan-jalan utama bagi mengawal aliran trafik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Letak Kerja Pertabalan sempena sambutan berkenaan di Bangunan Sultan Abu Bakar, di sini, kelmarin.

Mohamad Nasir berkata, pihaknya juga akan meningkatkan langkah-langkah untuk mencegah kegiatan jenayah sebelum dan semasa sambutan tersebut berlangsung bagi memastikan situasi terkawal dan tidak ada kejadian tidak diingini berlaku.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan jumlah anggota polis yang akan terlibat sepanjang berlangsungnya acara gilang gemilang itu.

“Kita juga mendapat bantuan anggota polis dari luar daerah yang ditugaskan sempena sambutan ini dan memberi jaminan akan sentiasa membuat pemeriksaan rapi termasuk bersiap sedia jika berhadapan dengan kes-kes luar jangkaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Zulkiflee Abbas berkata, pada Majlis Pengurniaan Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Khamis ini, tiga skrin gergasi akan dipasang di bandar ini untuk memberi peluang penduduk menyaksikan upacara itu secara langsung.

Katanya, antara lokasi tersebut yang dikira strategik dan menjadi tumpuan awam ialah di pekarangan Stesen Bas Bentayan, di Laman Maharani, Padang Niru dan di kawasan perniagaan Uptown Muar.

Sambutan yang diadakan selama lima hari lima malam bermula Rabu ini dijangka menarik kira-kira 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga penduduk negeri lain.

Sinar Harian
21 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment