Saturday, November 24, 2012

Ghani: Ekonomi Johor tumbuh pada kadar 6 peratus tahun ini


MUAR - Ekonomi Negeri Johor terus tumbuh kukuh pada kadar enam peratus tahun ini didorong aktiviti pelaburan dalam sektor perkilangan sebanyak RM3 billion, sehingga Ogos lepas.
 
Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman berkata keadaan diperkukuhkan dengan aktiviti pelaburan di Iskandar Malaysia berjumlah RM99 bilion sejak ditubuhkan enam tahun lalu, dengan RM42 bilion telah pun dibelanjakan.
 
"Kegiatan ini telah mewujudkan lebih 460,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun di mana 385,000 daripadanya diwujudkan di Iskandar Malaysia untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
 
"Kini, ekonomi Johor dilebarkan dan diperkukuhkan lagi dengan penumpuan pelaburan industri minyak, gas dan petrokimia di Tenggara Johor, Pengerang dan di Barat Daya Johor iaitu di Tanjung Bin dengan lebih 120,000 peluang pekerjaan diwujudkan dalam sektor baru ini," katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Hari Keputeraan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Turut berangkat di majlis tersebut isteri Sultan Johor Raja Zarith Sofiah, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kerabat dan pembesar negeri.
 
Abdul Ghani berkata, kawasan Desaru pula kini menjadi tumpuan pelaburan dalam bidang pelancongan yang melibatkan pembiayaan sebanyak RM3 bilion.
 
Sementara kawasan Bandar raya Johor Baharu pula menjadi tumpuan pelaburan yang membawa kepada pembangunan baru di sepanjang Tanjung Puteri dan pesisirannya.
 
"Kesemua kegiatan ekonomi itu yang mencakupi pelbagai bidang cetusan daripada pelaburan giat berlaku di sebelah Timur dan Barat Johor, dari Tenggara hingga Barat Daya menjanjikan pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk membawa kemakmuran yang dapat dikecapi oleh rakyat Johor," katanya.
 
Di samping memajukan ekonomi, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha membawa pembangunan yang seimbang dan adil demi memastikan kesejahteraan hidup rakyat. - Bernama

22 Nov 2012

0 comments:

Post a Comment