Wednesday, June 5, 2013

32 pain darah dikumpul

Sahadan melihat pegawai dan anggota polis yang menderma darah.

MUAR – Kemeriahan sambutan Hari Polis ke-206 yang diraikan pada 25 Mac setiap tahun bagi peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar diteruskan dengan Kempen Menderma Darah, semalam.

Pemangku Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, program selama lima jam bermula sekitar jam lapan pagi itu berjaya menarik seramai 32 pegawai dan anggota untuk menderma darah.

Menurutnya, sejumlah 32 pain darah dikumpulkan melalui program tahunan itu dan bakal diteruskan pada masa akan datang.
“Program berkenaan mendapat kerjasama dengan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan darah ini bagi menampung bekalan di Pusat Darah Negara yang sering kekurangan darah.

“Kita sentiasa menggalakkan anggota untuk menderma darah kerana manfaatnya menjamin kesihatan pada tahap memuaskan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Sahadan berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada 32 pegawai dan anggota yang menjayakan program itu.

Katanya, diharapkan program sama pada penganjuran akan datang mampu menarik lebih ramai penyertaan.

Beliau berkata, selain menjadi agenda kebajikan demi kepentingan golongan yang memerlukan darah, ia juga amat baik untuk kesihatan penderma.

“Setiap pegawai dan anggota perlu tampil lebih cergas agar dapat melaksanakan tugas tanpa halangan fizikal.

“Untuk program akan datang, mungkin kita akan mempelawa orang ramai yang berminat untuk turut sama menderma darah bersama pihak polis,” katanya.

Sahadan berkata, program itu juga mampu mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat yang berperanan penting dalam menyalurkan maklumat kepada polis.

Sinar Harian
5 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment