Tuesday, June 4, 2013

Lelaki cuba buat kecoh di bank ditahan

MUAR – Tindakan pantas anggota polis menahan dua lelaki berjaya menghalang sesuatu yang buruk berlaku dalam kekecohan di sebuah bank di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis daerah, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, kekecohan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari itu dipercayai berpunca apabila salah seorang daripadanya yang berusia 37 tahun naik berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM di bank tersebut.

Menurutnya, kakitangan bank berkenaan yang khuatir akan kemungkinan perkara buruk berlaku mengarahkan suspek keluar daripada premis tersebut.

“Tetapi suspek bertindak mengambil sebatang besi yang disimpan dalam kereta miliknya yang diletakkan di luar bangunan itu.

“Suspek kemudiannya kembali semula dan meracau-racau di luar bank dengan butir percakapan yang kurang jelas sambil mengayun-ayunkan besi yang dipegangnya itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sebaik sahaja melihat kereta peronda polis menghampiri bank tersebut, suspek bertindak melarikan diri  menaiki kereta itu bersama adiknya yang berusia 36 tahun menuju ke Jalan Haji  Abu, di sini.

Sahadan berkata, pasukan peronda terpaksa mengejar kenderaan suspek sejauh 100 meter sehingga mereka berjaya diberkas.

“Mereka  dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar untuk siasatan dan berdasarkan ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu.

“Suspek berusia 37 tahun mempunyai rekod jenayah lampau iaitu dikehendaki kerana kes dadah,” katanya.

Sinar Harian  4 Jun 2013

0 comments:

Post a Comment