Sebahagian orang ramai memakai penutup mulut dan hidung ketika keluar membeli barang keperluan di pasar tani dalam keadaan berjerebu teruk di Muar, semalam.
MUAR 23 Jun - Lebih 300,000 penduduk di daerah ini melahirkan kebimbangan dan mula cemas dengan perkembangan jerebu sehingga kawasan itu diisytiharkan darurat jerebu hari ini.
Mereka risau keadaan berkenaan akan berterusan, sekali gus merencatkan rutin harian dan menjejaskan sumber pendapatan terutama yang menjalankan perniagaan.
Seorang peniaga kedai makanan di Stesen Bas Bentayan, Hazizah Harun, 40, berkata, sejak jerebu melanda di bandar tersebut seminggu lalu, dia berdepan dengan pelbagai kesulitan selain bilangan pelanggan berkurangan.
"Saya sebenarnya sudah hampir berputus asa untuk berniaga lagi sebab keadaan jerebu makin teruk dan sememangnya mengganggu operasi harian saya. Lampu di kedai makan terpaksa dipasang pada waktu siang kerana keadaan jerebu mengakibatkan keadaan mendung.
"Setiap satu jam terpaksa membersihkan habuk di merata tempat dan saya bimbang keadaan ini akan menjejaskan kesihatan pelanggan. Kepenatan juga berganda kerana terpaksa mengelap meja dan kerusi berkali-kali akibat habuk yang berterbangan," katanya.
Seorang lagi peniaga, Hishammudin Mahad, 43, mengakui dia baru membuka semula kedainya selepas dua hari ditutup akibat jerebu selain pelanggan berkurangan kerana orang ramai tidak keluar rumah.
Sehubungan itu dia meminta kerajaan segera melakukan sesuatu bagi memastikan keadaan pulih seperti biasa.
Bagi Asrini Kanaison, 20, dari Taman Pagoh Jaya dekat sini yang demam sejak seminggu lalu dan masih tidak pulih berkata, matanya kerap berair, bibir pecah dan selalu sesak nafas sehingga adakalanya susah mahu tidur pada waktu malam.
Penuntut Kolej Cybernatics itu memberitahu, kulitnya juga terasa gatal dan mula diserang sakit tekak dan pening kepala.
Lain pula ceritanya dengan pelajar Sekolah Menengah Sains Muar, Muhammad Khairil Hafizuddin, 16, hasratnya untuk kembali ke asrama tidak kesampaian apabila dia bersama rakan-rakannya diminta pulang ke rumah serta-merta.
"Saya terkejut apabila cikgu mengarahkan kami pulang kerana keadaan jerebu semakin bahaya dan terpaksalah saya pulang ke rumah di Johor Bahru dengan menaiki bas," katanya.
Utusan
24 Jun 2013
0 comments:
Post a Comment