REMPAH MAK SITI

Manufacturers of malaysia curry powder, herbs and spices, chilli powder suppliers, soup powder, flavour enhancer, tradisional soup, tumeric, recipe.

Kabus di Muar

Gambar diambil pada 11 Sep 2010

Mee Bandung Muar

Resipi boleh didapati di sini http://anjungweb.com/artikel-utama/resepi-mee-bandung-muar/

Clock Tower Muar

Pic Courtesy Of http://dululainsekaranglain.com/informasi/kampungku-bandar-maharani-muar

Saturday, July 31, 2010

Rumah dipenuhi habuk

JALAN ISMAIL – Penduduk di Lorong Ja’afar Jalan Ismail, di sini naik berang apabila kehidupan mereka terganggu sejak kewujudan sebuah kilang yang dipercayai beroperasi secara haram.

Mereka mendakwa kilang tersebut menjalankan kerja-kerja membina bot fiber itu mengakibatkan gangguan bunyi, pencemaran habuk dan mengancam keselamatan penduduk.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kilang itu terletak kira-kira 20 meter dari pintu utama penduduk itu beroperasi sejak Mac lalu.

Salah seorang penduduk, Helmi Sharir Mohamad, 24, berkata, secara keseluruhannya keharmonian penduduk-penduduk di sini terjejas sejak kewujudan kilang itu.

Menurutnya, sebelum pembinaan kilang itu pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh penduduk bertujuan menghalang kewujudan kilang itu tetapi gagal.

“Kilang haram ini terus beroperasi sehingga ke hari ini dan masih tidak menunjukkan sebarang petanda kilang itu akan menghentikan operasinya.

“Namun, lebih menghairankan ia dibina atas tanah salah seorang penduduk di sini dan ia menggambarkan ada pihak yang setuju dengan operasi kilang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia meminta supaya kilang itu ditutup atau dipindahkan ke kawasan lain kerana kedudukannya terlalu hampir dengan kediaman penduduk.

“Kilang membuat bot fiber ini sering mengeluarkan habuk dan debu yang sangat merbahaya terhadap kesihatan penduduk.

“Habuk kilang ini menyebabkan adik saya menghidapi penyakit gatal-gatal pada kulit dan kini sedang mendapatkan rawatan pakar kulit di klinik swasta berhampiran, ”katanya.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila dinding rumah dan syiling rumahnya mulai retak kerana lori-lori seberat tujuh tan telah menggunakan jalan berdekatan kediaman penduduk sebagai laluan utamanya.

“Sikap tidak bertanggungjawab dan ambil mudah pemilik kilang itu benar-benar menyusahkan penduduk yang terpaksa menanggung kerugian bagi membaiki rumah yang rosak.

“Kami ada menyuruh pemilik kilang supaya membina jalan sendiri, tetapi mereka masih berdegil dengan terus menggunakan jalan yang dibina oleh penduduk, ”katanya.

Seorang lagi penduduk, Azrul Abd Hamid, 28, berkata, dia sudah tidak tahan untuk terus berhadapan dengan masalah seperti itu.

Menurutnya, kilang itu juga tidak dilengkapi dengan sistem perparitan yang sistematik menyebabkan beberapa kawasan di sini menjadi becak berpunca daripada kilang tersebut.

“Kami meminta pemilik kilang supaya membina sistem perparitan tetapi permintaan ini tidak diendahkan.

“Penduduk di sini terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan membina saliran untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Katanya, kilang tersebut juga tidak dilengkapi dengan sistem pengadang bunyi dan habuk.

Azrul berkata, penduduk juga merungut kerana jalan di rumahnya itu sentiasa sibuk dengan kenderaan pekerja-pekerja kilang itu sehingga lewat malam.

“Mereka berasa bimbang dengan keselamatan keluarga kerana kebanyakan pekerja ini tidak dikenali.

“Kami telah membuat aduan kepada pihak terbabit untuk meminta membantu, namun sehingga kini masih lagi tidak mendapat sebarang perkembangan yang positif, ”katanya.

Peniaga, Saadiah Salim, 57, berkata, dia yang sama sekali tidak setuju dengan kewujudan kilang itu mendakwa kilang tersebut hanya menyusahkan penduduk di sini.

“Pemilik kilang perlu mempunyai rasa prihatin dengan kesengsaraan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk akibat daripada perbuatan tidak bertanggungjawabnya,” katanya

Katanya, pelanggan yang berkunjung ke kedainya juga merungut kerana meja dan kerusi sentiasa dipenuhi dengan habuk.

“Bukan itu sahaja, rumah saya juga sentiasa berhabuk, malahan turut mengalami masalah gatal-gatal kulit yang dipercayai berpunca daripada operasi kilang ini.

Pada masa yang sama, mereka meminta jasa baik supaya pihak berkenaan supaya turun padang untuk melihat kesengsaraan yang terpaksa penduduk tanggung akibat daripada kilang tersebut.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Muhamad Fuad Radzuan berkata, siasatan lanjut akan dijalankan berhubung aduan tersebut.

“Pihaknya akan berjumpa dengan penduduk untuk melihat keadaan sebenar kilang ini demi kesejahteraan penduduk di kawasan ini,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian semalam.

Sinar Harian
31 Jul 2010

Parit tersumbat

PARIT KEROMA – Penduduk di Parit Besar Jalan Haji Kosai, di sini memohon keprihatinan pihak berwajib supaya dapat melaksanakan kerja menyelenggarakan parit di kampung itu dengan segera.

Ini disebabkan keadaan parit itu dipenuhi dengan lalang dan kelihatan seperti kawasan sawah sekali gus memerlukan perhatian sewajarnya, malah penduduk mendakwa tiada kerja membersihkan kawasan itu sejak setahun lalu.

Keadaan parit yang dipenuhi dengan lalang itu juga menyebabkan sistem saliran gagal berfungsi terutamanya ketika musim hujan dan menjadi punca banjir kilat berlaku di kampung terbabit.

Salah seorang penduduk, Efwardi Muskandar, 30, berkata, sehingga kini dia membuat aduan sebanyak tiga kali, namun aduan itu seperti tidak diendahkan pihak bertanggungjawab.

Menurutnya, kebanyakan penduduk di sini sudah tidak sanggup lagi menanggung kerosakan dan kekotoran akibat rumah dinaiki air setiap kali banjir kilat berlaku.

“Dalam kejadian banjir yang melanda di kampung ini baru-baru ini, air yang memasuki rumah saya mengambil masa sehingga dua minggu untuk surut.

“Penderitaan berganda apabila air banjir ini mengeluarkan bau busuk yang meloyakan dan memberi ketidakselesaan kepada kami,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Erwan Muskandar, 32, berkata, dia tidak mengerti punca parit itu terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan yang sewajarnya.

Menurutnya, air pada parit itu juga masih tidak surut sejak kejadian banjir baru-baru ini.

“Dengan kewujudan lalang itu menyebabkan kawasan kampung ini kerap kali banjir kerana tidak dapat menampung lebihan air ketika hujan lebat lebih-lebih lagi ketika air pasang di Sungai Muar.

“Saya bimbang masalah banjir akan menjadi lebih teruk jika parit ini tidak diselenggarakan dengan segera,” katanya.

Erwan berkata, keadaan parit yang dipenuhi lalang itu boleh mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya pada waktu malam kerana keliru untuk membezakan di antara jalan ataupun parit.

“Saya memohon jasa baik kepada pihak berkenaan supaya mengambil berat dengan permasalahan ini demi kesejahteraan penduduk di kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua kampung berkenaan, Asan@Hassan Uyop@Ayop berkata, pihaknya akan menyiasat permasalahan itu.

“Saya akan cuba menyelesaikan permasalahan ini dengan memanjangkan kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan yang selanjutnya,” katanya.

Sinar Harian
30 Jul 2010

Thursday, July 29, 2010

Nyaris maut

BATU PAHAT: Dua warga emas nyaris maut dan dua beranak cedera ringan apabila bas henti-henti dipercayai dipandu dalam keadaan mengantuk, merempuh 10 kenderaan bermula Pekan Baru Parit Yusof, Muar hingga ke Pekan Semerah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, pemandu bas dalam perjalanan ke pekan Batu Pahat dari Muar, dipercayai mengantuk sebelum merempuh kereta dan van di Pekan Baru Parit Yusop, Muar.

Bagaimanapun, bas berkenaan yang tiada penumpang tidak berhenti di situ, sebaliknya meneruskan perjalanan dalam keadaan laju dan melulu sebelum merempuh lapan lagi kenderaan lain di Pekan Semerah kira-kira dua kilometer dari tapak kejadian pertama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, apabila tiba di lokasi kejadian, bas berkenaan melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) sebelum merempuh konkrit pembahagi jalan dan memasuki laluan kanan (bertentangan).

“Bas berkenaan yang masih bergerak merempuh dua kereta, satu lori dan satu motosikal sebelum melanggar penghadang jalan dan memasuki jalan ke arah Batu Pahat semula,” katanya.


Bas ‘mengamuk’

BATU PAHAT: “Bila dengar dentuman kuat, saya ingatkan ada orang letupkan bom. Tiba-tiba sebuah van tanpa penumpang meluru masuk ke dalam kedai,” kata peniaga Loh See Sern, 75, menceritakan detik cemas kemalangan membabitkan 10 kenderaan dirempuh bas henti-henti di pekan Semerah dan Parit Yusop, Muar, pagi semalam.

Bas yang hilang kawalan itu merempuh van di luar kedai Loh menyebabkan kenderaan itu bergerak masuk ke dalam premis menjual ubat itu ketika mangsa asyik mengadun ubat-ubatan.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, bas tidak berpenumpang dari Muar dalam perjalanan ke bandar Batu Pahat apabila pemandunya dipercayai hilang kawalan dan merempuh pelbagai kenderaan membabitkan kereta, van, kenderaan pelbagai guna (MPV), lori dan motosikal di dua lokasi berasingan.

Loh berkata, dia sempat menyelamatkan diri dengan berlari ke bahagian tengah kedai sebaik van dirempuh itu meluru memasuki premisnya hingga merosakkan pintu dan meja.

“Mujur cucu saya masih di sekolah, jika tidak mungkin mereka dirempuh van berkenaan. Akibat rempuhan itu, saya kerugian RM60,000 kerana kedai tidak boleh dibuka beberapa hari,” katanya.

Anaknya, Loh King Long, 35, berkata, dia juga terdengar bunyi kuat dan melihat van merempuh pintu sebelum berhenti dalam kedai.

“Saya yang berada di bahagian tengah kedai tergamam apabila melihat van tiba-tiba memasuki kedai. Nasib baik, ayah sempat melarikan diri sebelum saya memeluk untuk menenangkannya,” katanya.

Pemilik kedai runcit, Oh Koon Yin, 55, berkata, ketika kejadian dia baru bergerak beberapa langkah ke dalam kedai untuk mengambil kain bagi mengelap barangan yang diletak di kaki lima.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya nampak sebuah kereta Proton Iswara dan Proton Wira berada di kaki lima kedai.

“Terdetik di hati, saya bernasib baik kerana tergerak untuk mengambil kain. Jika tidak, saya mungkin maut dalam kejadian ini,” katanya.

myMetro
29 Jul 2010

Skim Infaq mudahkan bayar zakat pendapatan

JALAN PETRIE – Menyedari kewajipan membayar zakat pendapatan kepada umat Islam, Skim Infaq iaitu pembayaran melalui potongan gaji telah diperkenalkan bagi memudahkan mereka membayar zakat tersebut.

Kadi Daerah Muar, Dzulkifli Mohamed berkata, melalui pembayaran zakat itu dapat memperkasa dan menaikkan syiar Islam.

Menurutnya, melalui kutipan zakat itu akan membolehkan pejabat agama di daerah masing-masing memberi suntikan bagi membantu golongan fakir miskin.

“Amil institusi ini terdiri daripada kalangan guru dan penjawat awam.

“Pada Majlis Penyampaian Insentif Amil Institusi ini Majlis Agama Islam Negeri Johor menerima cek bernilai RM486,944.56 hasil kutipan zakat pendapatan daripada Pejabat Pelajaran Daerah Muar dan Ledang bagi bulan Jun hingga Disember 2009,” katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan juga sebagai satu promosi atau galakan kepada guru dan kakitangan sekolah untuk membayar zakat melalui potongan gaji.

“Dengan adanya skim ini, dapat mendorong dan menarik lebih ramai kakitangan daripada sektor swasta untuk membuat pemotongan zakat pendapatan.

“Jika boleh kami mahu setiap masyarakat mempunyai semangat membayar zakat pendapatan ini sebagai mana mereka membayar zakat fitrah setiap tahun,” katanya.

Pada majlis berkenaan turut diadakan penyampaian bantuan sekolah bagi daerah Muar dan Ledang sebanyak RM30,434 untuk diberikan kepada pelajar terdiri daripada golongan fakir dan miskin selain bantuan Bakti Siswa kepada tujuh pelajar tingkatan empat yang dikenal pasti adalah daripada golongan miskin.

“Bantuan ini diberikan sebanyak RM600 setahun dan mereka menerimanya selama dua tahun,” katanya.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Muar yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Sinar Harian
29 Jul 2010

Wednesday, July 28, 2010

Lega gangguan monyet berakhir

PANCHOR – Penduduk di sekitar kawasan Panchor kini boleh menarik nafas lega apabila masalah gangguan monyet liar yang menghantui mereka sejak dua tahun lalu ‘diselesaikan’ melalui Operasi Basmi Musuh Tanaman, baru-baru ini.

Kira-kira 100 monyet liar berjaya ditembak selepas sekian lama bermaharajalela di kawasan kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa kehidupan mereka terganggu sejak kehadiran monyet liar itu kira-kira dua tahun lalu dan semakin serius sejak kebelakangan itu.

Melihat fenomena permasalahan tersebut mendorong Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Jawa (Mukim Jorak) mengadakan operasi itu.

Difahamkan operasi tersebut dikendalikan oleh Jawatankuasa Pelancaran Operasi Kawalan Hidupan Liar Jabatan Perhilitan Negeri Johor bersama Anggota Skuad Penembak (Rela) Daerah Muar.

Ketua Kampung berkenaan, Aladdin Amat berkata, operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira 2 petang itu melibatkan 25 anggota skuad penembak Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Menurutnya, operasi tersebut dilakukan secara berkumpulan di kawasan yang kerap diganggu monyet liar.

“Monyet liar itu dikenal pasti datang daripada sawah terbiar seluas 40 hektar di hujung kampung ini.

“Pada peringkat awal, bilangan monyet liar ini tidak banyak tetapi lama kelamaan bilangan ini semakin bertambah sehingga meresahkan penduduk, ”katanya.

Beliau berkata, penduduk dan petani sering merungut apabila banyak tanaman mereka yang rosak akibat perbuatan monyet itu.

“Pendapatan mereka turut terjejas apabila banyak tanam yang musnah akibat angkara monyet liar.

“Malahan penduduk juga terpaksa sentiasa menutup tingkap rumah kerana monyet ini akan memasuki rumah dan menggeladah barang-barang, ”katanya.

Menurutnya, penduduk di sini tidak tahan lagi untuk terus berhadapan dengan permasalahan itu apabila monyet-monyet berkenaan bertindak lebih agresif dan mula mengganggu kanak-kanak.

“Operasi ini terpaksa dilakukan memandangkan permasalahan ini sudah menjadi semakin serius dan untuk mengelakkan insiden lebih buruk daripada berlaku, ”katanya.

Salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad berkata, kehidupan penduduk di sini mulai tidak aman dan tenteram sejak kehadiran monyet liar itu.

Menurutnya, berikutan kehadiran monyet liar terlalu banyak menjadikan manusia takut kepada monyet dan bukannya monyet yang takut kepada manusia.

“Kadang-kadang monyet-monyet ini bergaduh semasa sendiri mencetuskan bunyi bising yang kuat.

“Anak saya juga takut untuk bermain di luar rumah kerana pernah dikejar oleh monyet-monyet ini,” katanya.

Beliau berharap dengan terlaksananya operasi itu, masalah tersebut akan berakhir dan penduduk di sini dapat kembali hidup dalam keadaan aman dan selamat.

Sinar Harian
28 Jul 2010

Tuesday, July 27, 2010

Bahu jalan runtuh akibat banjir

PAGOH – Keselamatan kira-kira 250 penduduk di Kampung Sebasu, di sini terancam apabila terpaksa memperjudikan nyawa setiap hari menggunakan jalan yang rosak akibat bahu jalan runtuh.

Penduduk mendakwa, masalah jalan itu terjadi kira-kira dua tahun lalu dan sejak setahun kebelakangan ini, keadaannya menjadi semakin serius.

Salah seorang penduduk yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pagoh, Isa Karim, 40, berkata, berikutan kampung itu sering mengalami masalah banjir, satu mekanisme mengurangkan banjir dilakukan dengan membina benteng air.

Menurutnya, namun disebabkan tekanan air yang terlalu kuat menghakis tebing jalan itu dan akhirnya berlakunya runtuhan pada bahu jalan kampung itu.

“Pada peringkat permulaan, kerosakan yang berlaku tidak begitu serius tetapi apabila kampung ini terlalu kerap dilanda banjir, maka kerosakan menjadi lebih serius.

“Jika terus dibiarkan tanpa sebarang tindakan proaktif, tidak mustahil masalah ini akan bertambah serius dan kemungkinan keseluruhan permukaan jalan ini akan runtuh,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Katanya, jalan itu menjadi tumpuan penduduk kerana menjadi penghubung dari kampung berkenaan ke kampung Bukit Sedenak.

“Malah, turut menjadi laluan kepada kenderaan seperti lori bagi pekebun getah dan kelapa sawit yang kebanyakannya mempunyai kebun.

“Bukan itu sahaja, kami lebih bimbangkan dengan keselamatan pelajar terutamanya yang berbasikal,” katanya.

Katanya, ini kerana kemalangan boleh berlaku jika mereka gagal mengawal diri apabila berselisih dengan kenderaan yang besar ketika melalui jalan yang rosak itu.

Seorang penduduk, Suradi Beju, 65, berkata, penduduk di sini sudah hilang sabar dengan keadaan jalan yang rosak itu.

Menurutnya, penduduk tidak faham apabila permasalahan itu seperti tidak mendapat perhatian sedangkan jalan berkenaan menjadi laluan semua orang.

“Adakah jika sudah berlaku kemalangan, baru hendak mengambil tindakan?

“Walaupun setakat ini tidak pernah berlaku sebarang kemalangan, tetapi ia memerlukan perhatian segera kerana risiko bahaya di jalan ini sangat tinggi,” katanya.

Suradi berkata, dia sendiri takut apabila menggunakan jalan itu lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana keadaannya gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan.

“Kami menggesa pihak yang berkenaan supaya dapat turun padang dan melihat permasalahan ini sekali gus diharapkan jalan ini dapat dibaikpulih dengan kadar segera mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (Adun) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Salleh berkata, pihaknya memanjangkan permasalahan berkenaan kepada Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) daerah Muar untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, masalah itu juga mendapat perhatian daripada JPS dan kini mengkaji struktur tanah kampung terbabit.

“Pada masa yang sama, JPS juga sedang menunggu peruntukan dan kerja baik pulih akan dilakukan dengan segera apabila mendapat peruntukan ini.

“Bagaimanapun, kekerapan lori berat menggunakan jalan ini juga turut dikenal pasti menjadi faktor jalan ini rosak,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sinar Harian
27 Jul 2010

Surau terbiar tanpa aktiviti kerohanian

Saudara Pengarang,

BOLEH dikatakan setiap taman perumahan mempunyai surau.

Namun tidak semua surau aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kerohanian sehingga ada yang kelihatan seakan-akan 'terbiar'.

Sepatutnya surau yang didirikan diimarah dengan solat dan laungan azan.

Tetapi 'malang' nasib surau di Lorong Haji Sulaiman, Muar, yang semakin usang kerana sekian lama tidak digunakan.

Lebih mengecewakan, surau tersebut tidak lagi digunakan dan menjadi semakin uzur.

Justeru, siapakah yang bertanggungjawab ke atas surau berkenaan? Ke manakah perginya ahli-ahli jawatankuasa surau yang dilantik sebelum ini?

Sepatutnya mereka merupakan orang yang bertanggungjawab menjaga dan mengurus surau berkenaan serta berusaha menarik penduduk setempat untuk mengimarahkannya.

Sekiranya memang surau itu tidak digunakan lagi, lebih baik ia dirobohkan sahaja.

Tidakkah penduduk setempat berdosa jika surau itu dibiarkan terus kosong dan usang?

Jadi, fikirkanlah bersama demi agama Islam yang suci ini.

AZAHAREEN AZMEEN
Muar

Utusan
27 Jul 2010

Monday, July 26, 2010

Padah ceroboh hutan

MUAR - Hasil maklumat awam, Penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Johor Utara berjaya mematahkan kegiatan curi balak dalam satu serbuan kawasan hutan di pinggir Sungai Muar berhampiran Kampung Semasih, Panchor di sini, pada 22 Julai lalu.

Operasi bermula jam 5 petang yang diketuai Renjer Hutan Kanan, Yaakob Salleh dengan kerjasama Pegawai Renjer Hutan Muar/Lenga itu telah berjaya menahan lima suspek dikenal pasti warga Indonesia.

Difahamkan, ketika serbuan, kesemua suspek kelihatan sedang sibuk mengumpul kayu balak pendek dan kayu jaras yang dicuri dan sudah siap dipotong sebelum dijual.

Sebanyak 18 kayu balak pendek berukuran 4.83 meter padu dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM121.89 serta 27 kayu jaras dengan anggaran nilai cukai berjumlah RM10.73 telah disita dan nilai pasaran dianggarkan sebanyak RM1,000.

Pegawai Hutan Daerah Johor Utara (Muar, Ledang, Segamat), Khairuddin Perdan berkata, kegiatan menceroboh kawasan hutan tersebut merupakan kali yang ketiga yang mana sebelum ini beberapa kali usaha penangkapan suspek gagal.

“Ketika tangkapan, kesemua suspek juga gagal mengemukakan dokumen yang membenarkan kegiatan untuk memindahkan hasil hutan ini.

“Mereka ditahan sebagaimana yang di peruntukkan dalam Seksyen 88(1) Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985 (Pindaan) 1993 (APN 1984),” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Khairuddin berkata, suspek juga ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti mengambil apa-apa hasil hutan tanpa kebenaran di bawah Seksyen 15, APN 1984.

“Suspek menjalankan kegiatan menebang dan membawa keluar kayu balak dipercayai secara tradisional dengan menggunakan kuda-kuda bertujuan untuk mengelakkan bunyi jentera berat didengar dan diketahui masyarakat setempat.

“Bagaimanapun, kesemua suspek telah dijamin oleh majikannya yang merupakan rakyat tempatan dan diarahkan menghadirkan diri ke Pejabat Hutan Daerah Johor Utara, Jalan Awang, Segamat pada 23 Julai lalu untuk keterangan lanjut,” katanya.

Katanya, kelima-lima suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 15 dan Seksyen 84 APN 1984.

“Kes ini akan dirujuk ke Pengarah Perhutanan Negeri Johor untuk siasatan bagi memutuskan hukuman yang bakal dijatuhkan sama ada dikenakan kompaun dan ganti rugi ataupun didakwa di mahkamah.

“Melihat senario ini, suka saya menasihatkan kepada orang awam supaya segera memberi maklumat jika mengetahui berlaku kegiatan pencerobohan hutan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, ini sebagai mekanisme terbaik bagi membolehkan pihaknya membanteras kegiatan tersebut dengan lebih awal bagi mengelakkan daripada lebih banyak kayu balak ditebang sesuka hati.

Sinar Harian
26 Jul 2010

10,000 produk Marigold laris

MUAR: Pelbagai aktiviti yang dirancang Marigold (M) Sdn Bhd termasuk pertandingan mewarna dan pertandingan teh tarik berjaya melariskan lebih 10,000 produknya di Karnival Gegaria Harian Metro 2010, di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam.

Pengurus Marigold Cawangan Muar, Tan Siew San berkata, walaupun tiada potongan harga diberikan kepada pengunjung pihaknya berjaya mempromosikan lebih enam produk utama syarikat termasuk Vitagen, susu berkrim dan minuman yogurt.

“Acara diadakan pihak kami pada sebelah pagi sebagai aktiviti permulaan karnival iaitu pertandingan mewarna dan teh tarik menarik penyertaan ramai pengunjung.

“Tarikan itu digunakan sepenuhnya Marigold mempromosi serta menjual barangan keluaran syarikat dan ia dilihat berkesan kerana pengunjung tidak jemu membeli pelbagai produk,” katanya.

Menurut Tan, walaupun tiada potongan diberikan namun Marigold tetap menghargai pelanggan dengan memberikan hadiah seperti bekas makanan dan pelapik tetikus secara percuma dengan setiap belian RM4 ke atas.

Tan berkata, sambutan menggalakkan membuatkan Marigold pasti akan mengikuti setiap penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro pada masa akan datang.

myMetro
26 Jul 2010

Pengalaman menarik

MUAR: Selain berhibur dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjung Emas di sini, pengunjung turut dilayan mesra dengan keramahan gadis penyeri Gegaria yang sedia menyambut di setiap gerai unit Harian Metro dan penaja.

Sukarelawan Harian Metro, Siti Huda Bajrai Shikh Abd Razak, 19, menyifatkan pembabitannya satu pengalaman menarik apabila berpeluang bermesra dengan kanak-kanak yang ramai ke Gerai My Metro Kids.

“Saya sanggup datang dari Segamat dan menggunakan cuti hujung minggu untuk berkhidmat sebagai sukarelawan di karnival yang meriah ini,” kata pelajar tahun dua jurusan Pentadbiran dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat.

Gadis Modenas, Siti Hajar Azizul Khairiri, 19, berkata dia teruja dengan tugas sebagai gadis penyeri Gegaria kerana dapat membina keyakinan diri selain seronok melihat telatah orang ramai.

“Walaupun tugas ini hanyalah sambilan saja saya seronok melayan kerenah orang ramai yang berpusu-pusu mengunjungi gerai Modenas dan gerai unit Harian Metro,” katanya.

Seorang lagi sukarelawan, Azanin Hanani Abdullah, 21, berkata pengalaman sebagai gadis penyeri begitu menyeronokkan kerana ada saja pengunjung yang mahu bergambar bersama dengannya.

“Pengalaman dua hari bekerja sebagai gadis penyeri tidak mungkin dilupakan dan jika diberi peluang turut serta lagi selepas ini saya pasti tidak akan menolak pelawaan Harian Metro,” katanya.

myMetro
26 Jul 2010

Econsave taja hamper, air mineral

MUAR: Sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjung Emas di sini, pasar raya Econsave sudi menaja beberapa barangan termasuk hamper dan air mineral.

Antara barangan yang disumbang Econsave ialah 10 hamper bernilai RM500 dan 30 karton air mineral berjenama pasar raya berkenaan.

Pengurus Bahagian Barangan Makanan Econsave, Mohd Ibrahim Jantan berkata, tajaan diberikan itu sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran karnival yang julung kali diadakan di daerah itu.

“Kami memang teruja dengan penganjuran karnival di sini dan sebagai tanda sokongan sejumlah barangan sagu hati dan kegunaan kakitangan diserahkan bagi melicinkan lagi suasana majlis yang berlangsung selama dua hari itu.

“Melalui tajaan kecil ini, Econsave berharap hubungan yang sedia terjalin dengan Harian Metro akan bertambah erat lagi selepas ini,” katanya selepas menyerahkan tajaan kepada Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zurani Abdullah di sini, baru-baru ini.

myMetro
26 Jul 2010

Kembali ke Johor

MUAR: Sambutan hebat daripada rakyat negeri ini dan Melaka membakar semangat warga Harian Metro kembali lagi ke Johor dalam siri jelajah Karnival Gegaria Harian Metro 2010.

Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar berkata, beliau bukan saja berpuas hati dengan penganjuran karnival kali ini, malah teruja sambutan hebat pengunjung khususnya warga Muar.

“Karnival kali ini lebih meriah berbanding tempat lain. Kita datang lagi ke Johor,” katanya ketika diminta mengulas karnival ketiga diadakan selepas Batu Pahat dan Taiping pada 2009 dan awal tahun ini.

Beliau mengucapkan terima kasih di atas sokongan warga Johor dan Melaka, kerajaan negeri, syarikat penaja, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan serta peniaga menjayakan penganjuran Karnival Gegaria Harian Metro 2010 kali ini.

Mustapa diiringi Timbalannya, Abdul Ghafar Ismail; Pengarang Eksekutif (Pengeluaran), Ahmad @ Salim Bachok; Pengarang Eksekutif (Rencana), Johari Mohamad dan ketua unit yang mengambil peluang beramah mesra dengan peminat akhbar Bahasa Malaysia nombor satu negara sepanjang penganjuran karnival selama dua hari berakhir semalam itu.

myMetro
26 Jul 2010

25,000 saksi konsert kemuncak

MUAR: Konsert Gegaria yang menjadi acara kemuncak Karnival Gegaria Harian Metro 2010 ternyata memberi kepuasan kepada lebih 25,000 pengunjung pelbagai peringkat usia di Dataran Tanjung Emas di sini, malam tadi.

Penampilan barisan artis tempatan dengan gaya persembahan tersendiri memukau penonton yang hadir seawal jam 8 malam.

Persembahan pembukaan kumpulan pelawak yang mencipta nama melalui rancangan Raja Lawak, Ketampi dengan penampilan khas DJ Slumber menjadi pemanas pentas sebelum konsert bermula.

Penonton disajikan persembahan kebudayaan oleh penari zapin Majlis Perbandaran Muar (MPM), kumpulan Zapin Bunga Hati dengan tarian tradisional masyarakat Johor.

Kemunculan Raja Azura sebagai pengacara pada malam itu, menghangatkan lagi konsert dengan celotehnya mencuit hati penonton sebelum artis solo dan berkumpulan muncul seperti Sofaz, Azharina, Lufya Af 6, Farahdiya, Izwan Pilus, Sarah Raisuddin sebelum penutup persembahan disempurnakan kumpulan rock Kristal.

Persembahan malam itu juga diserikan dengan kemunculan istimewa pelakon utama filem ... Dalam Botol iaitu Arja Lee dan Wan Raja.

Sementara itu, hari terakhir karnival dipenuhi dengan pelbagai acara di semua gerai unit Harian Metro dan penaja.

Gerai Arena memaparkan kehebatan aksi berani penunggang team SCK Harian Metro Honda didatangkan khas, selain memberi peluang peminat cub prix bersua muka dengan hero litar seperti Affendi Rosli, Norizman Ismail dan Suhardi Ali Rahmat.

Di Gerai Variasi dan Hati, konvoi motosikal Kelab RD memeriahkan pameran motosikal berkuasa tinggi serta ubah suai Muar Bikes dan Biker Muar. Malah, di gerai itu peminat Harian Metro berpeluang menyaksikan terbitan pertama akhbar Harian Metro dilancarkan 19 tahun lalu hingga tahun ini.

Di Gerai Harian Metro/Metro Ahad pula, pengunjung berpeluang membeli akhbar Metro Ahad selain Berita Minggu dan New Sunday Times. Selain itu, bagi penggemar barangan jenama Harian Metro pula pelbagai barangan eksklusif turut dijual untuk dijadikan cenderamata untuk dibawa pulang.

Tidak ketinggalan pelbagai program sampingan diadakan gerai penaja seperti Celcom yang melakukan pelbagai persembahan serta promosi jualan manakala Modenas menampilkan pertunjukan motosikal, selain menyambut ketibaan konvoi pemilik Kriss dan Jaguh dari ibu kota semata-mata untuk memeriahkan karnival ini.

Gerai Rap terus menjadi tumpuan pengunjung sejak hari pertama lagi apabila keletah Ketampi terus mencuit hati.

myMetro
26 Jul 2010

Sunday, July 25, 2010

Hadiah tanpa henti

MUAR: Gerai jualan Celcom menawarkan pelbagai hadiah menarik selama 12 jam tanpa henti kepada pengunjung di sekitar tapak Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjung Emas yang mula dibuka semalam.

Naib Presiden Wilayah Selatan Celcom Axiata Berhad, Azlan Ismail berkata, 20 pengunjung pertama yang singgah ke tapak jualan dan membuat transaksi bernilai RM10 ke atas layak membawa pulang hadiah misteri menarik.

myMetro
25 Jul 2010

Lebih meriah

MUAR: Hari pertama Karnival Gegaria Harian Metro 2010 diserikan dengan pelbagai acara menarik, terutama segmen Pencarian Gadis Metro dan demonstrasi pencegahan jenayah Polis Diraja Malaysia yang mencuri perhatian pengunjung yang datang dari segenap daerah ini dan kawasan sekitar.

Khusus buat kanak-kanak, Gerai My Metro Kids membuka acara dengan Pertandingan Mewarna Bersama Marigold bagi kategori tujuh hingga sembilan tahun seawal jam lapan pagi.

Pelbagai gelagat kanak-kanak boleh dilihat mewarnai suasana pertandingan itu, tidak kurang ibu bapa yang menemani mereka bagi memberi sokongan.

Seorang bapa, Rizal Ithnin, 37, berkata karnival anjuran Harian Metro ini wajar diadakan setiap tahun di dataran ini dan anaknya berusia tujuh tahun yang baru pandai membaca setiap hari memujuknya supaya dibawa ke tapak karnival.

“Kesan promosi melalui akhbar Harian Metro membuatkan anak saya tidak sabar-sabar hendak menyertai pertandingan mewarna dan ia jelas membuktikan Karnival Gegaria Harian Metro 2010 dinanti penduduk setempat,” katanya.

myMetro
25 Jul 2010

Saturday, July 24, 2010

Dijangka tarik 150,000 pengunjung

MUAR: Tapak Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas di sini, semalam menerima kunjungan Setiausaha Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamaluddin A Hamid sebagai tanda sokongan jitu dari pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Lawatan diadakan pada sebelah petang itu bertujuan melihat sendiri kemeriahan karnival anjuran akhbar nombor satu negara yang bakal dimulakan dengan Majlis Diskusi Addin pada sebelah malamnya.

Jamaluddin juga sempat mengingatkan peniaga di tapak gerai industri kecil sederhana (IKS) disediakan penganjur supaya mementingkan kebersihan termasuklah membuang sampah di tempat disediakan MPM.

Ketika ditanya berkaitan kemeriahan yang sudah mula dirasai, beliau berpendapat karnival yang diadakan di daerah ini mampu menarik lebih 150,000 pengunjung dalam masa dua hari dianjurkan.

“Lebih ramai pengunjung maka lebih publisiti kepada daerah ini dan ia secara tidak langsung menarik minat pelancong pada masa akan datang.

“Kami juga turut mengalu-alukan Harian Metro dalam menganjurkan acara seperti ini pada masa akan datang,” katanya, semalam.

Ketika lawatan, beliau sempat melawat lebih 40 tapak gerai IKS yang disediakan selain meninjau beberapa lokasi tapak penaja utama termasuk Celcom.

Sementara itu, pendaftaran untuk beberapa kejohanan yang bakal diadakan sepanjang dua hari karnival masih lagi dibuka kepada orang ramai.

Ini termasuklah kejohanan futsal, bola jaring, Metro Idol dan Gadis Metro yang akan tamat pendaftarannya pada hari ini jam 5.30 petang.

Orang ramai yang ingin menyerahkan borang permohonan termasuk melakukan pembayaran boleh menghubungi urusetia kejohanan di talian 017-2088964 untuk maklumat lanjut.

myMetro
24 Jul 2010

Kisah Tanggang buka tirai

MUAR: Lontaran suara dan aura Ustaz Zawawi Yusoh yang menceritakan semula kisah Tanggang dalam konteks moden menarik orang ramai sehinggakan mereka sanggup berdiri mendengar Diskusi Addin yang membuka tirai Karnival Gegaria Harian Metro 2010 di Dataran Tanjong Emas, di sini, malam tadi.

Zawawi yang memulakan diskusi menceritakan ‘Tanggang Zaman Dulu’ disumpah menjadi batu tetapi ‘Tanggang Zaman Sekarang’ adalah mereka yang berhati batu sehingga sanggup memukul ayah dan ibu. “Apa sudah jadi dengan kita sekarang ini tuan-tuan dan puan-puan? Mangapakah perlu kita menjadi seperti Tanggang,” begitulah kupasan awal yang lebih condong kepada persoalan yang dilemparkan Zawawi kepada hadirin. Terdahulu, ustaz Zamanuddin Jusoh yang juga pengantara memberitahu perbincangan keagamaan dalam Diskusi Addin kali ini adalah berkisarkan kisah Si Tanggang Moden.

Selain itu, Zamanuddin yang juga pegawai agama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bahawa penganjur turut menjemput ustazah Asni Abu Mansor untuk mengupas tajuk berkenaan.

Sementara itu, orang ramai bertali-arus ke pentas Diskusi Addin untuk mendengar kupasan kisah Tanggang walaupun perbincangan berkenaan bermula agak lewat daripada yang dijadualkan.

Bagaimanapun, mereka tidak bosan selepas Zawawi memulakan kupasan selain ada juga yang berkesempatan singgah di beberapa gerai yang terletak dalam laluan ke pentas Diskusi Addin.

Selain perbincangan agama, majlis murni itu turut diserikan dengan persembahan menarik termasuk persembahan kebudayaan dan nasyid daripada kakitangan Majlis Perbandaran Muar (MPM).

Dalam pada itu, sepanjang dua hari karnival berlangsung, orang ramai akan dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk konsert daripada artis terkenal tanah air seperti Kumpulan Kristal dan Kumpulan Sixth Sense.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk pelbagai peringkat usia turut boleh disertai orang ramai termasuk bola jaring, Metro Idol dan Gadis Metro.

myMetro
24 Jul 2010

Friday, July 23, 2010

Program amali ibadat haji

SEKUMPULAN pelajar melakukan ‘tawaf’ pada Program Amali Haji untuk para pelajar tingkatan empat dan lima di perkarangan SMK (Agama) Maahad di Muar, Johor, baru-baru ini.

MUAR 22 Julai – Seolah-olah menyaksikan sendiri bagaimana ibadah haji dilakukan, pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar menunjukkan kesungguhan menjayakan Program Amali Haji di sekolah berkenaan di sini baru-baru ini.

Dengan berpandukan kepada setiap Rukun Haji, seramai 310 pelajar yang lengkap berpakaian ihram itu menerima pendedahan terbaik untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Biarpun ia merupakan pelengkap kepada sukatan pelajaran di sekolah, program setengah hari yang bermula dari pukul 3.30 petang itu telah memupuk semangat dan cita-cita para pelajar dari tingkatan empat dan lima berkenaan untuk menunaikan ibadah haji pada usia yang muda.

Menerusi takbir yang berkumandang serta penghayatan mendalam bagi setiap pelaksanaan rukun dan wajib haji, pelajar-pelajar di sekolah agama itu telah berjaya menghidupkan suasana sebagaimana ibadah haji dilaksanakan di Mekah.

Menurut Guru Kanan SMKA Maahad Muar yang juga Pengurus Projek Penganjuran Amali Haji, Rubiah Omar, setiap pelajar telah diberikan persiapan selama sebulan untuk mendalami dan memahami setiap aspek dalam mengerjakan haji.

“Kami bukan setakat mengajar teorinya sahaja namun ia dilengkapkan dengan pengajaran secara praktikal supaya setiap pelajar mengetahui amalan yang perlu dilakukan.

“Dalam amali ini, pelajar-pelajar yang terdiri daripada lelaki dan perempuan dikehendaki untuk melakukan haji Qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah serentak,” katanya.

Dalam tinjauan pada program amali berkenaan, setiap aspek dalam menunaikan ibadah haji benar-benar diwujudkan di pekarangan sekolah tersebut daripada wukuf di padang Arafah, melontar batu di tiga jamrah, tawaf di replika Kaabah serta lapangan untuk Saie.

Program itu juga turut memberi suntikan realiti dengan khemah-khemah untuk jemaah haji turut didirikan dan terdapat juga ahli jemaah yang memainkan peranan sebagai orang kurang upaya serta perlu ditolak dengan kerusi roda.

Menceritakan secara lebih lanjut, guru Kelas Kemahiran al-Quran, Mohamad Sani Taib berkata, Program Amali Haji di sekolah berkenaan mula diadakan pada tahun 2007 sebelum ia dijadikan acara dwi tahunan pada 2008.

“Pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima ini dibahagikan kepada 10 kumpulan mengikut kelas masing-masing dan mereka diadili untuk pertandingan kumpulan jemaah haji terbaik.

“Dengan inisiatif sendiri, pelajar-pelajar mencari kain ihram dan kita juga dapat melihat kreativiti mereka dengan adanya paparan orang sakit,” katanya yang turut tertarik melihat sebilangan pelajar mengenakan cermin mata hitam semasa program amali tersebut.

Katanya, setiap kumpulan akan mendapat bimbingan dari guru kelas masing-masing dan pertandingan itu akan diadili oleh barisan guru yang pernah mengerjakan haji dan umrah di Mekah.

“Selepas menunaikan sesuatu rukun, setiap kumpulan akan diberikan soalan untuk markah dan mereka turut diawasi oleh guru-guru yang ditetapkan,” katanya.

Jelasnya, perkara yang dinilai dalam pertandingan berkenaan adalah pelaksanaan Rukun dan Wajib Haji, amalan-amalan sunat, akhlak, disiplin, kreativiti dan keseragaman kumpulan.

“Adalah menjadi matlamat dalam penganjuran program ini untuk menjadikan amali haji sesuatu pengalaman baru yang menyeronokkan dalam suasana pembelajaran di luar bilik darjah serta menerapkan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar,” katanya.

Utusan
22 Jul 2010


Amali haji sentiasa dinanti-nanti oleh pelajar

MUAR 22 Julai - Program Amali Haji yang menjadi acara dwitahunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar sememangnya program yang cukup dinanti-nantikan oleh para pelajar sekolah berkenaan.

Biarpun memerlukan pelbagai inisiatif sendiri termasuk mencari kain ihram, pelajar-pelajar tersebut sanggup melakukan pelbagai rujukan sendiri bagi menjayakan lagi program pembelajaran di luar bilik darjah itu.

Menurut Ketua Pelajar sekolah berkenaan, Ahmad Ibrahim Zakaria, 17, program tersebut hanya membabitkan pelajar-pelajar tingkatan lima serta empat dan mereka menerima bimbingan daripada guru kelas masing-masing.

"Kira-kira seminggu yang lepas, kami telah diberi taklimat khas dan perlu melengkapkan diri dengan semua keperluan untuk menunaikan fardu haji.

"Tidak hanya dengan pengajaran berbentuk teori, latihan dalam bentuk praktikal ini telah membangkitkan rasa insaf dan penghayatan yang mendalam," katanya di sini baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pelajar-pelajar turut diberikan kebebasan dari segi kreativiti dan peluang itu membolehkan pelbagai perkara yang sinonim dengan ibadah haji dapat ditonjolkan.

Sementara itu, bagi seorang lagi pelajar, Balqis Muhamad Kasim, 17, program amali yang diadakan di sekolahnya itu mengimbau pengalamannya mengerjakan haji di Mekah tahun lalu.

"Saya telah menunaikan haji bersama keluarga pada tahun lepas dan berharap pengalaman yang ada dapat membantu rakan-rakan untuk lebih memahami cara-cara mengerjakan haji," katanya.

Beliau gembira dapat menjayakan program amali berkenaan kerana setiap aspek dalam ibadah haji telah didedahkan iaitu daripada perkara wajib hingga sunat kepada para pelajar.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, Siti Maryam Mohd. Hanapi, 17, memberitahu, usaha para pelajar dalam merealisasikan program itu tidak akan berjaya mencapai matlamatnya tanpa bimbingan para guru.

"Dari segi amalan dan bacaan, banyak perkara yang para guru telah ajar sehingga ia membantu kami memahami keadaan yang sebenar semasa ibadah haji diadakan.

"Dengan pemahaman ini, secara tidak langsung ia dapat membantu kami dalam peperiksaan bagi subjek Pendidikan Syariah Islamiah," katanya.

Utusan
22 Jul 2010

Turut promosi Muar

MUAR: “Utamakan kebersihan,” itulah nasihat utama Setiausaha Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jamuluddin A Hamid sempena Karnival Gegaria Harian Metro yang bakal berlangsung di Dataran Tanjung Emas bermula hari ini.

Kehadiran karnival anjuran akhbar bahasa Malaysia nombor satu negara ini juga dinanti MPM yang menyifatkan ia bertepatan dengan waktunya dalam usaha meningkatkan promosi daerah Muar sebagai destinasi pelancongan unik.

Bagaimanapun, pada masa sama beliau turut mengingatkan pengunjung yang menghadiri ke karnival itu supaya menitikberatkan soal kebersihan terutama berkaitan sampah-sarap.

“Pada Sabtu lalu, ‘Kempen Muar daerahku bersih idamanku’ dilancarkan bertujuan mendidik masyarakat setempat supaya membersih dan mengindahkan kawasan tempat tinggal masing-masing.

“Karnival ini akan menjadi contoh dan ukuran terhadap keberkesanan kempen dilancarkan itu selain berhibur secara tidak langsung akan menjaga kebersihan sekitar tapak karnival diadakan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Jamaluddin, karnival itu nanti dijangka dapat menarik minat lebih 100,000 pengunjung dari dalam daerah mahupun luar kawasan terutama Batu Pahat dan Melaka.

“Kami harap karnival ini akan memberikan kesan yang positif terhadap jumlah kehadiran pelancongan ke Muar pada masa akan datang.

“Ia kena pada waktunya kerana sempena tahun melawat Johor, Muar turut menjadi destinasi pelancongan wajib dikunjungi,” katanya.

Mengulas Muar sebagai destinasi pelancongan unik, beliau berkata, daerah ini terkenal dengan pelbagai makanan yang unik seperti asam pedas, mi bandung dan mi rebus.

Katanya, lebih 10 makanan tradisi masyarakat tempatan akan dijadikan hidangan penarik minat pengunjung selain beberapa tempat yang menarik untuk dikunjungi termasuk Dataran Tanjung Emas, Tanjung Ketapang dan Sabak Awor.

myMetro
23 Jul 2010

Murid terjun bangunan

MUAR: Bagaikan aksi dalam filem, seorang kanak-kanak hiperaktif berusia 10 tahun melakukan lagak ngeri apabila terjun dari tingkat satu bangunan sekolahnya di Jalan Abdullah di sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, murid tahun empat itu bernasib baik apabila dia jatuh di atas bumbung dan hanya mengalami calar pada anggota badan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, murid terbabit baru saja dihantar kedua-dua ibu bapanya dan difahamkan, tiada guru mahupun murid lain di sekitar kawasan itu.

Walaupun terdapat dua pengawal keselamatan, kanak-kanak itu gagal dikawal lantaran terlampau aktif dan tidak reti duduk diam.

Menurut sumber, kanak-kanak terbabit mengalami sindrom hiperaktif sejak lahir, malah pergerakan yang terlampau cergas itu membuatkan dia sukar dikawal sesiapa pun termasuk guru dan ibu bapanya sendiri.

Katanya, tidak sampai lima minit ibu bapanya menghantar murid itu, dia berlari-lari seperti sedang bermain dengan rakan sedarjah.

“Namun, kelibat murid berkenaan terus hilang sebelum pengawal yang bertugas bertindak mencarinya di sekeliling bangunan sekolah terbabit.

“Apa yang disedari selepas itu, murid tahun empat berkenaan sudah bersedia untuk terjun dari tingkat satu bangunan tiga tingkat berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, pengawal keselamatan yang menyedari tindakan murid itu kemudian cuba memujuknya tapi gagal apabila mangsa terus terjun dari tingkat satu bangunan sekolah itu.

“Mujurlah atap asbestos menghalang murid itu daripada terus jatuh ke atas jalan. Namun, dia seakan-akan tidak puas hati dengan aksinya itu dan kemudian mahu cuba terjun daripada atap itu.

“Nasib baik tindakannya itu berjaya dihalang seorang lagi pengawal keselamatan sekolah yang berada berhampiran tempat murid itu terjun,” katanya.

Difahamkan, murid itu tidak cedera dan dibawa ke sebuah klinik berhampiran.

myMetro
23 Jul 2010

60 nelayan minta lesen pukat tunda

SUNGAI BALANG – Kira-kira 60 ahli Persatuan Nelayan Sungai Balang di sini, meminta lesen pukat tunda kerana aktiviti dan hasil tangkapan mereka terjejas teruk berikutan kehadiran bot pukat tunda haram sejak 30 tahun lalu.

Sehingga kini terdapat hampir 42 bot pukat tunda yang semakin bermaharajalela menceroboh Perairan Muar di Selat Melaka.

Permintaan itu kerana para nelayan sudah hilang sabar dan berasa tidak adil kerana kebanyakan nelayan pukat tunda menjalankan penangkapan ikan di kawasan kurang daripada lima batu nautika di tepi pantai.

Pengerusi Nelayan Sungai Balang, Md Jais Adnan, 46, berkata, dengan adanya lesen itu nelayan di sini tidak perlu berhadapan dengan masalah kekurangan hasil tangkapan serta boleh bersaing dengan nelayan pukat tunda haram yang lain.

Menurutnya, apa yang dikesalkan ialah lesen nelayan pukat tunda haram itu merupakan lesen hak milik individu, justeru itu, mereka juga mahukan lesen tersebut.

Md Jais berkata, mereka sangat aktif dalam menjalankan aktiviti penangkapan bermula sekitar jam 7 petang hingga 11 malam.

“Kebanyakan nelayan sering membuat pemantauan terutamanya pada waktu malam dan mengenal pasti nelayan pukat tunda dari Parit Botak, Batu Pahat sangat aktif melakukan pencerobohan ini,” katanya.

Salah seorang nelayan, Musa Zuki, 40, berkata, semenjak pencerobohan itu pendapatan semua nelayan merosot sehingga 50 peratus.

Menurutnya, kehadiran nelayan pukat tunda bukan hanya memusnahkan ekosistem hidupan laut dan pembiakan ikan kerana memukat ikan sekali gus ketika penangkapan dibuat, malahan juga menyebabkan ikan-ikan lari ke negara jiran.

“Kegiatan pencerobohan berlaku pada waktu malam, apabila nelayan keluar pada awal pagi, banyak ikan telah habis dan ada kalanya nelayan pulang dengan tangan kosong,” katanya.

Musa berkata, nelayan pukat tunda haram telah melanggar syarat lesen, sepatutnya mereka menjalankan aktiviti penangkapan pada jarak lebih dari 12 batu nautika daripada pantai.

“Banyak aduan telah dilakukan, namun lebih menghairankan, apabila pihak berkenaan hendak melakukan operasi, nelayan pukat tunda berada di tengah laut dan seolah-olah tidak melakukan sebarang kesalahan,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Omar Atan, 53, berkata, sejak menjadi nelayan 43 tahun lalu, dia melihat masalah itu seakan-akan tiada penyelesaiannya.

“Saya jangka keadaan menjadi semakin teruk jika aktiviti nelayan pukat tunda ini tidak dihentikan segera,” katanya.

Katanya lagi, dia meminta pihak kerajaan supaya membuat kawalan di kawasan perairan Muar dan menghadkan jumlah bot tunda yang menangkap ikan di sekitar pesisiran laut.

“Turut menjadi persoalan kami ialah mengapa pihak kerajaan tidak melakukan pelaksanaan sebagai mana yang dilakukan negara jiran yang mengharamkan lesen pukat tunda ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Marin Daerah Muar, Asisten Superintendan Abd Lajis Tahir berkata, masalah pencerobohan pukat tunda itu sudah lama berlarutan dan pihaknya akan membuat siasatan segera.

Menurutnya, pemeriksaan dan kawalan di kawasan perairan Muar di Selat Melaka turut dilakukan bagi memantau pergerakan bot nelayan tunda itu.

“Diminta persatuan nelayan membuat aduan segera supaya kegiatan pencerobohan ini dapat dikawal dengan cepat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sinar Harian
23 Jul 2010

Thursday, July 22, 2010

Suri rumah tarik balik saman terhadap KPN

KUALA LUMPUR 22 Julai — Seorang suri rumah dari Muar, Johor menarik balik saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kerana menghina mahkamah selepas dia dibebaskan dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik Batu Gajah kerana didakwa terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah.

Peguam Datuk N. Sivananthan yang bertindak bagi pihak pemohon, Lim Mui Cheng, 42, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anak guamnya telah dibebaskan pada 16 Julai.

Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md Said, yang hadir bagi pihak Musa, memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mui Cheng dibebaskan bukan disebabkan oleh tindakan samannya terhadap Musa.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri telah pun menandatangani surat pembebasan Mui Cheng namun dia masih tertakluk kepada siasatan selanjutnya.

Hakim Datuk Ghazali Cha membenarkan permohonan untuk menarik balik saman itu.

Pada 2 Julai, Ghazali membenarkan Mui Cheng mengambil tindakan saman kerana menghina mahkamah terhadap Musa setelah polis menahannya semula walaupun dibebaskan oleh mahkamah pada Mei tahun ini.

Pada 25 Mei, Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak membenarkan permohonan writ habeas corpus Mui Cheng atas alasan penahanannya tidak mengikut peraturan dan memerintahkan supaya dia dibawa ke mahkamah pada 27 Mei untuk dibebaskan.

Bagaimanapun, dia ditahan semula selepas melangkah keluar dari mahkamah.

Mui Cheng ditahan bersama-sama suaminya, anak lelaki, dan teman wanitanya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mawar, Muar pada 27 April.

Suri rumah itu ditahan di balai polis Johor Jaya mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) manakala yang lain dibebaskan dalam masa dua hari selepas serbuan itu. - Bernama

22 Jul 2010

Bahang kian terasa

MUAR: Kemeriahan Karnival Gegaria Harian Metro yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini di Dataran Tanjung Emas semakin dirasai apabila kontraktor dilantik penganjur mula memasang kelengkapan diperlukan.

Antara kelengkapan didirikan termasuk lebih 40 khemah Industri Kecil Sederhana (IKS) yang bakal menempatkan peniaga dan usahawan tempatan serta penaja karnival berkenaan.

Malah, bandar Muar juga akan berubah wajah bermula esok (hari ini) apabila sebanyak 150 kain rentang sempena karnival itu mula dipasang sebagai sebahagian cara mempromosi karnival selama dua hari berkenaan.

Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zurani Abdullah berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima lebih 30 tempahan daripada peniaga dan usahawan tempatan yang bersedia memasarkan produk masing-masing.

“Bermula esok (hari ini) kain rentang sempena mempromosi karnival akan mula digantung di tiang elektrik bandar daerah ini.

“Ia bertujuan merancakkan lagi suasana kemeriahan karnival selain menarik minat pengunjung,” katanya.

Peniaga, Abdullah Ridzuan, 33, berkata dia tidak sabar memasarkan produknya kepada orang ramai yang berkunjung ke karnival itu. Abdullah juga mengakui dia peniaga tetap dan sering mengikuti Karnival Gegaria Harian Metro di beberapa lokasi sebelum ini termasuk di Taiping, Perak dan Batu Pahat pada tahun lalu.

“Percaya atau tidak sebelum ini saya mampu mengaut keuntungan lebih RM10,000 sepanjang dua hari berniaga di karnival ini,” kata pengusaha butik dari Melaka itu.

Seorang lagi peniaga, Fatimah Sulaiman, 35, berkata dia sanggup datang dari Perlis semata-mata ingin merebut peluang berniaga di sekitar tapak karnival diadakan.

Selain itu, ada gerai yang turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma untuk pengunjung.

Orang ramai berminat membuat tempahan tapak gerai boleh menghubungi urus setia karnival di talian 03-20567105 atau 017-6290198 untuk keterangan lanjut.

myMetro
22 Jul 2010

2 beradik hilang

LEDANG: Seorang ibu merayu dua anak perempuannya yang melarikan diri sejak pagi Ahad lalu kembali ke pangkuan keluarga kerana risaukan keselamatan mereka.

Intan Paimin, 37, berkata, dia pulang ke rumahnya di Taman Cempaka, Bukit Gambir untuk menghantar makanan tengah hari, namun terkejut mendapati kedua-dua anaknya tiada di rumah.

Siti Nabila Mohd Najib, 13, dan Siti Shazaemalina, 10, yang ditinggal berdua ketika dia keluar bekerja di pasar raya berhampiran tidak mempunyai masalah keluarga atau perselisihan faham.

Intan menghubungi suaminya, Mohd Najib Md Amin, 37, dan adiknya, Mohd Sairan Paimin, 34, bagi menjejaki kedua-dua beradik itu di rumah saudara atau rakan sekolahnya.

Menurutnya, sebelum ini anak-anaknya tidak pernah keluar rumah tanpa pengetahuannya dan dia cuba menghubungi mereka melalui telefon bimbit namun tidak berjawab.

Mohd Sairan pula berkata, rakannya ada ternampak Nabila dan adiknya menaiki bas ekspres di pekan Bukit Gambir menghala ke Johor Bahru dan menurut penjual tiket di kaunter bas berkenaan seorang remaja lelaki membelikan dua keping tiket untuk dewasa dan kanak-kanak.

Dia berharap Nabila dan Emalina pulang ke pangkuan keluarga kerana ibu bapanya bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas diri mereka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan mereka diminta menghubungi talian 012-3995803 (Mohd Najib) dan 017-6349654 (Mohd Sairan) atau memaklumkan balai polis berhampiran.

myMetro
20 Jul 2010

Pelajar lari ditegur ayah

LEDANG: Gara-gara gagal mendapat keputusan baik dalam ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Parit Bunga, Ledang, bertindak melarikan diri dari rumahnya di Kampung Kesang, Khamis lalu.

Difahamkan, Nooraini Mariam Abdullah (gambar), 15, sebelum itu ditegur ayahnya kerana keputusan percubaan PMR diterimanya mengecewakan dan terus gagal dikesan.

Pada hari kejadian, Nooraini dihantar abangnya, Mohd Azli, 30, ke sekolah kira-kira pada jam 6.30 pagi tetapi tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang menyebabkan keluarganya bimbang.

Ibunya, Aminah Komeng, 58, berkata, keluarganya mengesan Nooraini di sekolah dan kawasan sekitar termasuk menemui rakan sekolahnya, namun gagal menemui gadis berkenaan.

“Nooraini anak bongsu daripada 12 beradik tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga atau rakan sekolah. “Bapanya pernah menegurnya kerana pencapaian pelajaran dia agak lemah berdasarkan keputusan percubaan PMR kurang memberangsangkan,” katanya.

Menurut Aminah, teguran itu bukan sebagai amaran atau tanda marah sebaliknya nasihat kepada Nooraini meningkatkan lagi usaha mencapai kejayaan akademik demi masa depannya sendiri.

Bagaimanapun, Aminah berkata Nooraini mungkin terasa dengan teguran itu lantas mengambil keputusan meninggalkan kediaman.

“Dia tidak membawa pakaian lain sebaliknya hanya berpakaian sekolah pada hari kejadian. Kami tidak tahu sama ada dia memang ada rancangan meninggalkan rumah atau ada pihak cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.

“Kami berharap Nooraini segera kembali ke pangkuan keluarga dan biarlah yang keruh itu dibuang jauh-jauh. Kami tidak marah dengannya dan sanggup memaafkan tindakannya,” katanya.

Mohd Azli kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Polis Sungai Mati di sini, Jumaat lalu.

Nooraini yang mempunyai ketinggian kira-kira 1.5 meter, bertubuh kurus serta berpakaian sekolah ketika kali terakhir dilihat hanya membawa kad pengenalan bernombor 950730-01-6178.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nooraini diminta menghubungi talian 013-6799694 (Azrol) dan 014-7209807 (Ina) atau balai polis berhampiran.

myMetro
19 Jul 2010

Curi komponen mesin

TANGKAK - Polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang berjaya menumpaskan kumpulan curi komponen besi mesin di sebuah kilang industri barangan berasaskan getah di kawasan perindustrian Tanjung Agas dalam tempoh 24 jam, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Harun Idris berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang telah membuat tangkapan dan serbuan ke atas empat orang lelaki di Sekitar Tanjung Agas dan Sungai Mati kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri komponen besi di sebuah kilang.

“Daripada tangkapan, polis berjaya merampas 11 unit komponen motor elektrik besar, 15 unit komponen motor elektrik kecil, sebuah besi acuan (mold), dua unit ’neumetic shaft’, dua unit penyambung besi paip dan dua unit gear box.

“Jumlah kerugian yang ditanggung pihak kilang terbabit daripada kecurian tersebut dianggarkan sebanyak RM800,000,” katanya pada sidang media di IPD Ledang, di sini semalam.

Beliau berkata, kesemua barang tersebut telah disahkan hilang pada 16 Julai lalu, namun tidak sampai tempoh 24 jam, polis berjaya mengesan seterusnya memberkas suspek yang disyaki.

“Keempat-empat suspek yang berumur di antara 33 tahun dan 55 tahun direman selama empat hari bermula 18 Julai lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Hasil daripada siasatan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Sinar Harian
21 Jul 2010

Kempen 10,000 langkah sehari bermula

TANJUNG EMAS – Kempen 10,000 langkah sehari telah dilancarkan dalam usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan masyarakat ke arah amalan gaya hidup aktif dengan melakukan aktiviti fizikal versi mudah iaitu berjalan kaki.

Seramai 1,000 peserta telah mengambil bahagian dalam kempen tersebut yang telah diadakan di Tanjung Emas, baru-baru ini.

Peserta kempen terbabit melibatkan semua kategori masyarakat di daerah Muar iaitu ketua jabatan, guru, pelajar, kakitangan pejabat kesihatan dan ketua kampung.

Pegawai Daerah Muar, Mislan Karmani berkata, kempen itu diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Johor yang telah dilancarkan pada 2008.

Menurutnya, kesinambungan daripada kempen itu telah diteruskan ke peringkat daerah Muar yang mana kempen itu diadaptasikan dari Kerajaan Queensland Australia apabila melihat ramai masyarakat di daerah itu menghadapi masalah kesihatan.

“Dengan adanya kempen ini dapat mendidik masyarakat di daerah Muar untuk mengamalkan gaya hidup aktif yang mudah, murah dan selamat dengan berjalan kaki sekurang-kurangnya 10,000 langkan sehari kerana ia dapat mengurangkan 500 kalori sehari.

“Secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah kesihatan seperti berat badan berlebihan, sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi,” katanya di sini.

Beliau berkata, pembangunan dan kemajuan negara boleh terjejas jika mempunyai ramai masyarakat yang tidak sihat.

“Diharapkan menerusi kempen ini masyarakat dapat mengubah cara hidup yang lebih aktif dan sihat,” katanya.

Sinar Harian
21 Jul 2010

Monday, July 19, 2010

Penambahbaikan bangunan MCA beri manfaat

PARIT YUSOF – Berikutan daripada penambahbaikan yang telah dilakukan pada bangunan MCA cawangan Parit Yusof, Muar, diharapkan ia semakin aktif dalam menganjurkan pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada belia di sini.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, beliau tidak mahu bangunan itu terbiar tanpa sebarang penganjuran aktiviti yang berfaedah selepas dibaiki.

Menurutnya, aktiviti yang sedia ada perlu dipelbagaikan terutama untuk aktiviti sukan dan beliau melihat bangunan itu sesuai untuk sukan ping pong.

“Peruntukan lalu sebanyak RM 10,000 dilihat masih belum mencukupi kerana masih banyak keperluan yang perlu dibaiki dan diganti baru.

“Keuzuran pada bangunan ini sangat teruk dan wajar diberikan perhatian segera bagi menjamin keselamatan pengguna,” katanya ketika mengadakan lawatan di bangunan tersebut, baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk menambah peruntukan sebanyak RM 10,000 untuk melengkapkan kekurangan pada bangunan tersebut.

“Diharapkan dengan pertambahan peruntukan ini dapat memberi keselesaan kepada masyarakat sekitar untuk berkumpul mengadakan pelbagai aktiviti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Parit Yusof, Boo Swee Kee berkata, beliau sangat gembira melihat perubahan yang berlaku pada bangunan itu.

Menurutnya, bangunan yang berusia lebih 40 tahun itu telah mengalami banyak kerosakan terutama pada bahagian bumbung yang bocor ketika hujan.

“Keadaan ini sangat menyusahkan kerana bangunan ini merupakan satu-satunya tempat masyarakat di sini mengadakan pelbagai aktiviti terutama melibatkan mesyuarat MCA.

“Kami juga berharap supaya lebih banyak kemudahan disediakan dan gelanggang futsal juga dapat dinaik taraf dengan sebaiknya,” katanya.

Sinar Harian
19 Jul 2010

Lelaki pecah masuk rumah berjaya perdaya jiran

MUAR: Seorang penjenayah berusia 20-an yang memecah masuk sebuah rumah memberi alasan mahu membeli durian untuk melepaskan dirinya selepas bertembung jiran mangsa dalam kejadian di Pekan Panchor di sini, awal pagi semalam.

Malah, alasan penjenayah terbabit dipercayai jiran berkenaan dan lelaki terbabit berjaya melarikan diri sebaik saja selesai menyamun rumah dihuni sepasang suami isteri yang tiada di rumah ketika itu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa kerugian wang tunai RM5,000 termasuk mata wang Thailand dan China.

Mangsa, Kow Kim Cheng, 73, berkata, ketika kejadian dia dan isteri tiada di rumah kerana pergi ke pekan berhampiran untuk bersarapan.

“Sebaik saja pulang ke rumah kira-kira sejam selepas itu, saya terkejut kerana pintu belakang terbuka sedangkan ia tertutup rapat sebelum kami keluar.

“Mengesyaki sesuatu berlaku, kami masuk ke dalam dan terkejut mendapati dua bilik depan bersepah seakan diselongkar,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurut Kow, walaupun kerugian ribuan ringgit dia bersyukur kerana barangan kemas milik isterinya tidak terusik termasuk sebentuk cincin berlian dianggarkan bernilai RM5,000.

Kow turut hairan kerana penjenayah terbabit memasuki rumahnya itu melalui pintu belakang dan menggunakan pintu depan untuk melarikan diri.

“Tindakannya itu disedari jiran, malah dia sempat bertanya apa tujuan penjenayah itu memasuki rumah.

“Penjenayah dengan selamba menjawab yang dia masuk ke rumah untuk membeli durian, malah akan datang semula selepas itu dengan membawa kenderaan kerana durian dibeli dalam kuantiti besar,” katanya.

Alasan itu membolehkan penjenayah terbabit melarikan diri dan jiran Kow menyesal kerana tidak menahan lelaki terbabit.

Isteri Kow, Tey Siew Luan, 70, pula bersyukur kerana kejadian berlaku ketika dia tiada di rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit, malah sepasukan anggota sudah dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

“Polis sudah melancarkan gerakan memburu penjenayah terbabit dan dia mungkin pernah terbabit kes pecah rumah sebelum ini.

myMetro
19 Jul 2010

Sunday, July 18, 2010

Gegaria hangat

MUAR: Kehangatan Karnival Gegaria Harian Metro di Dataran Tanjung Emas, di sini, pada 24 dan 25 Julai ini semakin dirasai dan orang ramai yang ditemui teruja dengannya.

Pelukis tempatan, Keh Siong Huat, 53, berkata karnival itu bakal menjadi platform kepada peniaga dan usahawan kecil untuk memasarkan produk mereka kerana ia pasti menarik perhatian ramai pengunjung.

“Karnival Gegaria Harian Metro bukan saja memberi manfaat kepada penganjur, malah peniaga. Pasti ramai yang berkunjung, seterusnya meningkatkan lagi pendapatan peniaga.

“Kami harap pada masa depan penganjurannya dilanjutkan lagi kerana walaupun belum berlangsung, sambutan diberi menunjukkan karnival ini ada tanda ‘meletup’,” katanya di sini, semalam.

Bagi Fauziah Abdul Malik, 45, program yang dianjurkan dilihat seimbang kerana selain berhibur dengan persembahan artis tempatan, ia turut menganjurkan program bercorak keagamaan.

“Karnival berkenaan dilihat seimbang kerana selain persembahan berkonsep hiburan, orang ramai turut dipersembahkan dengan program bercorak agama seperti Majlis Diskusi Addin,” katanya.

Selain itu, kehadiran artis tempatan yang akan membuat persembahan pada hari karnival turut mendapat reaksi baik orang ramai.

Pekerja swasta, Muhammad Helmi Khalid, 22, berkata dia teruja dengan kehadiran artis tempatan yang akan membuat persembahan pada karnival itu.

“Saya tidak sabar mahu bertemu artis pujaan yang akan membuat persembahan,” katanya.

“Bukan mudah untuk bertemu mereka secara langsung dan saya tidak akan melepaskan peluang ini,” katanya.

myMetro
18 Jul 2010

Saturday, July 17, 2010

Parit bertakung penuh sampah

TAMAN FAJAR 2 - Keadaan sistem perparitan yang tidak sempurna di Taman Fajar 2, Bakri, di sini menimbulkan keresahan kepada sebahagian besar penduduk di kawasan itu.

Penduduk mendakwa, masalah air bertakung di parit berkenaan disebabkan pembinaan parit konkrit berbentuk U yang menghalang kelancaran aliran air menjadikan keadaan lebih buruk apabila terdapat segelintir penduduk dan peniaga berhampiran yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di dalam parit itu.

Penduduk yang hanya dikenali Teo, 60, berkata, keadaan parit yang sentiasa mengandungi air bertakung itu berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Menurutnya, sebelum ini keadaan perparitan di sini sangat teruk dan dipenuhi dengan sampah kerana kerja pembersihan parit jarang dilakukan sekali gus memburukkan lagi keadaan parit ini.

“Namun, sejak akhir-akhir ini ada sedikit perubahan apabila sampah di dalam parit dibersihkan pihak berkuasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Walau bagaimanapun, masalah air bertakung itu perlu diatasi segera supaya kejadian yang tidak diingini dapat dielakkan.

Manakala peniaga di kawasan berhampiran, Asir Ahdan Bahri, 22, berkata, air parit kehitaman itu akan mengeluarkan bau busuk dan meloyakan apabila hujan.

Keadaan itu katanya, memberi ketidakselesaan ketika berniaga dan juga kepada pelanggan yang membeli di gerainya.

Menurutnya, masalah itu dilihat berpunca daripada pembinaan parit konkrit berbentuk U itu sangat tidak sesuai kerana menyekat kelancaran pengaliran air.

“Bahkan, pembinaan parit ini juga tidak seragam apabila terdapat parit lama dan kecil yang masih tidak diganti dengan yang baru.

“Ini turut menyebabkan aliran air di parit lama tersekat dan berlaku limpahan air di kawasan berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung kawasan berkenaan Salleh Ahmad Shukor berkata, pihaknya menyedari kesulitan yang terpaksa dihadapi penduduk di sini akibat daripada pembinaan parit terbabit.

Menurutnya, perancangan peringkat awal adalah dengan membina parit terus bermula dari Bakri batu 5 hingga ke Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Muar.

“Tetapi tidak menjangkakan pembinaan ini menjadi sebaliknya sekali gus menyusahkan penduduk.

“Saya juga memanjangkan isu pembinaan parit berbentuk U kepada penghulu dan Pejabat Daerah Muar,” katanya.

Katanya, namun mungkin disebabkan oleh masalah yang tidak dielakkan menyebabkan kerja pengubahsuaian parit itu terhenti.

Sinar Harian
17 Jul 2010

Kerjasama 10 agensi

MUAR: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan menyokong sepenuhnya penganjuran julung kalinya Karnival Gegaria Harian Metro 2010 yang bakal diadakan di Dataran Tanjung Emas pada 24 dan 25 Julai ini.

Pada mesyuarat pertama kali diadakan di pejabat Harian Metro di sini, semalam, lebih 10 jabatan dan agensi kerajaan menyatakan kerjasama mereka dalam menganjurkan karnival dua hari itu.

Antara jabatan dan agensi kerajaan yang menghadiri mesyuarat tiga jam itu ialah Pejabat Daerah Muar, Jabatan Belia dan Sukan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Rela.

Ketika mesyuarat, semua agensi berkenaan sudi memberikan kerjasama termasuk membekalkan kakitangan serta menyediakan tapak karnival bersesuaian untuk orang ramai berkunjung.

Eksekutif Penjenamaan Harian Metro, Zuraini Abdullah berkata, mesyuarat diadakan hari ini (semalam) bertujuan mencapai kata sepakat untuk penganjuran karnival kali ini.

“Pada masa sama, kami turut membincangkan aktiviti bakal mewarnai karnival termasuk persembahan kebudayaan, artis dan demonstrasi daripada pihak berkuasa.

“Selain daripada itu, lebih 40 tapak gerai akan disediakan untuk memberi peluang kepada peniaga tempatan mengembangkan perniagaan mereka yang dibuka pendaftarannya pada minggu depan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat itu.

Menurut Zuraini, MPM akan memberi bantuan promosi dengan menggantung 150 kain rentang di seluruh bandar Muar dan Ledang.

Manakala Pejabat Daerah Muar bersetuju menyediakan tapak karnival termasuk gerai Industri Kecil Sederhana (IKS) yang akan mula didirikan khemahnya Selasa ini.

myMetro
17 Jul 2010

Kotak motosikal 1Malaysia dilancar

MUAR 16 Julai - Dalam menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penunggang motosikal, GIVI Asia Sdn. Bhd. bakal mengeluarkan kotak motosikal yang menampilkan rekaan 1Malaysia di pasaran tempatan bulan hadapan.

Kotak yang boleh menyimpan pelbagai barang terutamanya topi keledar itu merupakan hasil rekaan Penerbit Eksekutif Exanet Productions Sdn. Bhd., Lando Zawawi dan Pengarah Urusan GIVI, On Hai Swee serta turut diilhamkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim.

Majlis pelancaran Kotak Motosikal 1Malaysia GIVI itu telah disempurnakan oleh Razali di Dewan Jubli Intan Muar di sini, baru-baru ini.

Lando yang juga seorang pelakon berkata, kotak motosikal itu mempunyai pelbagai ciri keselamatan termasuk pemantul cahaya serta kalis air dan tahan hentakan.

"Dengan kotak motosikal 1Malaysia ini, para penunggang motosikal dapat turut sama menyerlah semangat patriotisme mereka di jalan raya.

"Usaha ini juga diharap dapat membendung penunggang-penunggang motosikal daripada terjebak dengan kegiatan tidak sihat seperti mat rempit," katanya ketika ditemui pemberita di sini, baru-baru ini.

Katanya, rekaan kotak tersebut dihasilkan selepas pertemuan beliau dengan Razali pada sebuah majlis Kelab Belia Graduan 1Malaysia di Kuala Lumpur beberapa bulan lalu.

"Kotak ini juga merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan dengan cara lebih kreatif untuk penunggang-penunggang muda," katanya.

Sementara itu, jelas Razali, beliau yakin kotak motosikal itu akan mendapat sambutan menggalakkan kerana reka bentuknya yang moden dan menyerlahkan semangat 1Malaysia.

"Bila ada lambang 1Malaysia ini, penunggang motosikal pun akan berfikir banyak kali sebelum melakukan perkara-perkara yang tidak baik," katanya.

Utusan
16 Jul 2010

Salamah olahragawati terbaik

MUAR – Kekurangan diri sebagai murid Pendidikan Khas Masalah Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Batu 28 Lenga, Salamah Hamdan, 13, tidak menjadi penghalang kepadanya untuk muncul sebagai olahragawati junior terbaik dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2009.

Salamah berjaya mencipta rekod kebangsaan baru dalam acara 100 meter dan 200 meter yang disertainya dan merangkul pingat emas dalam 4x100 meter yang lain dalam kejohanan yang berlangsung pada 25 hingga 28 Mac lalu di Stadium Muar.

Penyelaras Pendidikan Khas sekolah berkenaan, Ramli Satimin berkata, Salamah sememangnya mempunyai bakat besar dalam bidang sukan yang mula dikesan sejak berusia sembilan tahun.

Menurutnya, atas faktor itu Salamah telah dilatih setiap minggu pada waktu Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

“Hasil usaha yang gigih, Salamah berjaya memperoleh pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m dalam Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas peringkat daerah pada tahun 2008 hingga ke peringkat negeri Johor.

“Kecemerlangannya semakin menyerlah pada 2009 apabila menang dua pingat emas dalam acara 100 dan 200 meter,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Dengan kejayaan itu, Salamah terpilih mewakili daerah Muar untuk Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat negeri Johor.

“Sebagai persediaan, Salamah telah menjalani sesi Latihan Pusat Khas selama empat fasa di Sekolah Menegah Kebangsaan Bukit Pasir dan Matrikulasi Johor.

“Dalam kejohanan ini, Salamah memperoleh tiga pingat emas dan hadiah wang tunai RM850 dalam acara 100, 200 dan 4x100 meter serta mencipta rekod negeri dalam acara 100 meter dan 200 meter,” katanya.

Apabila memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lenga, bakat Salamah semakin menyinar dan pelbagai acara yang dimasukinya sama ada peringkat daerah mahupun peringkat negeri.

Pengetua sekolah, Abu Bakar Mohamad berkata, meskipun dikategorikan pelajar pendidikan khas, pihak sekolah tidak membataskan penglibatan Salamah dalam kategori acara sukan yang dipertandingkan.

Menurutnya, Salamah juga berkeupayaan memasuki kejohanan sukan bagi kategori biasa dan ternyata kehebatannya tiada tandingan dan berjaya mengatasi pelajar normal yang lain.

“Pihak sekolah sentiasa berusaha memberikan pendidikan yang sewajarnya supaya Salamah supaya dapat mencapai kejayaan yang seimbang dalam akademik juga sukan bagi melengkapkan pakej sebagai atlet berjaya,” katanya.

Sinar Harian
16 Jul 2010

Thursday, July 15, 2010

Peniaga tanggung rugi

PAGOH – Peniaga Medan Selera berhampiran Kawasan Perindustrian Pagoh kecewa berikutan perniagaannya lengang dan tidak mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung, sekali gus menanggung kerugian.

Mereka mendakwa, perniagaannya kurang mendapat sambutan disebabkan beberapa faktor iaitu kedudukan yang kurang strategik dan ketiadaan papan tanda mengenai medan selera itu.

Peniaga, Azahari Abd Manaf berkata, medan selera itu yang dibina pada 2008 lalu menyediakan enam gerai pada peringkat permulaan dan kesemua gerai mempunyai peniaga masing-masing.

Namun menurutnya, disebabkan kurang mendapat sambutan daripada pengunjung, peniaga lain terpaksa gulung tikar sehingga hanya kedai miliknya sahaja yang beroperasi sepenuhnya.

“Manakala dua pemilik gerai lain jarang berniaga dan beroperasi pada hari tertentu berikutan tertekan dengan situasi yang berlaku.

“Ramai pengunjung mengakui tidak mengetahui kewujudan gerai ini disebabkan kedudukannya kurang strategik dan terselindung di sebalik pokok besar yang banyak di hadapan medan selera ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Azhari berkata, apabila mengambil alih gerai itu daripada saudaranya, persekitaran di medan selera itu agak teruk dan tidak terpelihara berikutan dipenuhi dengan semak.

“Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri membersihkan kawasan ini sehinggalah medan selera ini bersih.

“Sehingga kini, gerai saya bergantung sepenuhnya dengan 90 peratus pelanggan iaitu pekerja kilang berhampiran dan 10 peratus lagi daripada pengunjung luar,” katanya.

Selain itu katanya, ketiadaan papan tanda juga mengakibatkan medan selera itu kelihatan hambar dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

“Walaupun medan ini berdekatan dengan Tol Pagoh dan Rawat dan Rehat (R&R) Pagoh, tetapi masih tidak menjadi pilihan,” katanya.

Kata Azhari, ketiadaan laluan utama ke medan selera itu yang selama ini hanya menggunakan jalan utama kilang berhampiran turut dikenal pasti antara penyebab gerai itu terus hambar.

“Pemaju perlu mengambil tindakan proaktif dengan membina laluan utama yang menghubungkan sendiri medan selera di hadapan jalan raya.

“Dengan adanya laluan utama ini, ia akan memudahkan bas dan lori untuk singgah,” katanya.

Azahari juga berharap agar pihak berkenaan dapat memandang serius permasalahan ini dan mempercepatkan pemasangan papan tanda itu kerana jika masalah itu berlarutan, ia akan menjejaskan pendapatannya.

Sinar Harian
15 Jul 2010

Wednesday, July 14, 2010

Naik bas sebelum curi kereta

MELAKA: Seorang ketua sindiket curi kenderaan lama dikenali sebagai ‘Geng Shukri’ yang aktif di negeri ini dan Johor sejak dua tahun lalu bukan saja licik dan berkemahiran tinggi, malah sanggup menaiki bas sejauh 55 kilometer dari Muar ke negeri ini untuk melakukan jenayah itu.

Suspek berusia 49 tahun itu dikatakan bijak memilih sasaran dan hanya memerlukan masa kurang tujuh minit untuk menghidupkan enjin sebelum melarikan kenderaan itu selepas membukanya dengan kunci pendua sebelum dilupuskan dengan cara ‘melapah’ komponennya dan dijual di kedai barang lusuh.

Malah, dia yang juga seorang mekanik turut bersekongkol dengan bapa saudaranya, seorang warga emas berusia 72 tahun dalam melakukan kegiatan curi itu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof, berkata kegiatan sindiket itu lumpuh hasil serbuan oleh pasukan khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bermula 24 Jun hingga 6 Julai lalu.

Beliau berkata, dalam operasi khas (Ops Lejang) itu, 14 suspek berusia 23 dan 72 tahun termasuk seorang warga emas dan seorang wanita ditahan di beberapa lokasi dalam serbuan berasingan di sekitar Muar Johor iaitu di Parit Jawa, Bukit Pasir, Pagoh dan bandar Muar.

“Hasil serbuan kami turut merampas tujuh kenderaan lama iaitu kereta Toyota LE, Toyota Corolla DX, Mazda 323, Nissan Sunny, Nissan Sentra dan serta sebuah van Ford Econovan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam.

“Turut dirampas sebanyak 12 keping cermin hadapan kereta yang masih mempunyai nombor pendaftaran kereta ‘sandblasting’. Keseluruhan rampasan ini yang dibuat di bengkel dan dari premis menjual barangan terpakai dianggarkan bernilai RM100,000 hingga RM120,000.

“Cermin dan pelbagai komponen kereta yang dileraikan ini dijual kepada bengkel tertentu sebagai alat ganti dan juga kedai barangan terpakai,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan IPK, semalam.

Mohd Rodwan berkata, susulan penangkapan suspek terbabit, pihaknya dapat melumpuhkan satu sindiket curi kenderaan lama yang aktif di negeri ini dan Johor.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, kami juga yakin dapat menyelesaikan sebanyak 40 kes curi kenderaan di Melaka sahaja dan 10 lagi di Johor sejak 2008.

“Semua anggota kumpulan yang direman sudah diserahkan kepada polis Johor untuk siasatan lanjut kes di sana,” katanya.

myMetro
13 Jul 2010

Remaja OKU dilapor hilang

BACHANG - Seorang remaja orang kelainan upaya (OKU) dilaporkan hilang dari pusat jagaan di Pusat Jagaan Kanak-kanak Terencat Akal Kasih Sayang, Taman Widuri, di sini.

Penaung pusat berkenaan, Senator Datuk Chiw Tiang Chai berkata, kejadian itu disedari pengurus pusat terbabit, kira-kira jam 7.20 pagi pada 10 Julai lalu, setelah mendapat tahu remaja itu, Mohamad Arif Abu Bakar, 19, tiada bersama rakannya yang lain di pusat jagaan berkenaan.

Menurutnya, ekoran itu pengurus terbabit bersama suami menjalankan usaha mencari sekitar kawasan berhampiran namun, gagal menemui remaja terbabit.

“Rakannya yang lain memberitahu saya bahawa mereka melihat Mohamad Arif keluar dari rumah ini.

“Sesiapa yang terserempak atau melihat kanak-kanak ini diharap dapat menghubungi pusat jagaan berkenaan di talian 06-3376449,” katanya.

Menurutnya, remaja terbabit berasal dari Jalan Salleh, Muar, Johor itu bertubuh kurus dan berkulit sawo matang.

“Ketika keluar dari rumah jagaan, remaja berkenaan difahamkan memakai baju berwarna merah dan berseluar biru gelap.

“Kita sebenarnya bimbang keselamatan remaja terbabit dan sekira ada pihak ternampak remaja ini diharap dapat melaporkannya segera pada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di pusat jagaan terbabit.

Sinar Harian
13 Jul 2010

Padah pakai skirt pendek

ARKIB 12 Julai 2010

MUAR: Gara-gara memakai skirt pendek dan gagal mematuhi peraturan pakaian seragam sekolah, seorang pelajar perempuan tingkatan enam mendakwa ditampar sebanyak lima kali oleh seorang guru lelaki sehingga meninggalkan kesan lebam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Rabu lalu, di sebuah sekolah menengah di Jalan Tengku Bendahara di sini, pelajar itu mendakwa terpaksa menanggung kesakitan selepas ditampar.

Difahamkan, pelajar itu sebelum ini pernah diberi peringatan oleh guru terbabit supaya mematuhi peraturan memakai skirt sekolah melebihi paras lutut.

Pelajar yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, kejadian berlaku ketika waktu rehat apabila dia bersama rakannya berjalan berhampiran bilik guru sebelum dipanggil guru berkenaan.

“Saya mengaku salah kerana dua minggu lalu guru itu menegur perkara sama namun saya tidak mempunyai wang mencukupi membeli skirt baru.

“Ketika disoal, saya berjanji mematuhi peraturan itu secepat mungkin tetapi dia seolah-olah tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan,” katanya, semalam.

Lee berkata, dia terkejut apabila guru berkenaan menamparnya di pipi kanan sehingga meninggalkan kesan lebam.

“Saya bukan saja ditampar lima kali, malah guru itu menuduh saya biadab kerana menjawab soalannya. Saya turut tersinggung dengan kejadian itu selain bimbangkan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Gwee Tong Hiang berkata, beliau kesal dengan kejadian, malah menggesa Kementerian Pelajaran dan Pejabat Pelajaran Daerah Muar menjalankan siasatan.

“Hukuman seperti itu tidak seharusnya dipraktikkan di sekolah kerana ia boleh mengundang masalah tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Ramli Abd Samat, berkata pihaknya sudah menerima aduan berkaitan kejadian dan tindakan akan diambil termasuk mengadakan pertemuan membabitkan kedua-dua pihak.

“Siasatan lanjut akan dilakukan selepas ini, sebelum tindakan,” katanya.

myMetro
12 Jul 2010

Isteri maut

ARKIB 11 Julai 2010

MELAKA: Isteri seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di Pondok Polis On Lok Batang Melaka, Selandar Jasin, dekat sini, yang cedera parah selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan ngeri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda, petang kelmarin, meninggal dunia awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, siasatan mendapati ketika menghampiri tempat kejadian di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Tunggal, Jalan Bukit Balai, Alor Gajah, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Beliau berkata, pada masa sama kereta mangsa berlanggar dengan sebuah Pajero dari arah bertentangan yang dipandu Mohd Eszahar Mansor, 25, dari Balai Panjang, dekat sini.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk rawatan lanjut.

“Bagaimanapun ketika dirawat di wad kecemasan, kira-kira jam 3.35 pagi tadi (semalam) mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayatnya dihantar untuk bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik dan Bilik Mayat HM,” katanya.

Umar berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957 kerana memandu menyebabkan kematian.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-556 2222.

Suami mangsa, Md Ali Khamis, 40-an, tidak dapat menahan sebak ketika menunggu jenayah isterinya menjalani bedah siasat sebelum dimandikan.

Beliau yang enggan mengulas lanjut berhubung kejadian menimpa arwah isterinya berkata, jenazah akan dikebumikan di kampungnya di Kampung Parit Pinang Seribu, Muar Johor.

myMetro
11 Jul 2010

Dua penganggur dibicara semula dalam kes rompakan di Muar

ARKIB 5 Julai 2010

PUTRAJAYA Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan perintah Mahkamah Tinggi supaya diadakan perbicaraan semula kes rompakan bersenjata membabitkan dua penganggur pada 2004.

Hakim Datuk Hasan Lah, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Sulaiman Daud sebulat suara menolak rayuan pendakwaan supaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Muar yang mereka dibicarakan secara tidak adil.

Perbicaraan semula S Murthu, 33, dan V Veerakumar, 28, di Mahkamah Sesyen Muar dijadualkan Rabu ini.

Mereka didakwa bersama seorang lagi lelaki, A Sarawanan dan dijatuhi hukuman kerana melakukan rompakan bersenjata terhadap tiga lelaki warga Nepal membabitkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM2,500 di sebuah rumah di Batu 7, Jalan Bakri, Muar, Johor pada 2.20 pagi, 6 Jun 2004.

Sarawanan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan lapan sebatan, manakala dua lagi tertuduh masing-masing dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun serta lapan sebatan.

Pada 24 Julai 2008, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Murthu dan Veerakumar supaya diadakan perbicaraan semula tetapi menolak permohonan Sarawanan kerana beliau melarikan diri. - Bernama

5 Jul 2010

Isteri dipijak, dipukul suami

ARKIB 1 Julai 2010

MUAR 1 Julai - Seorang wanita berusia 32 tahun menjadi mangsa keganasan rumah tangga apabila dipukul berulang kali dan dipijak oleh suaminya di sebuah rumah di Jalan Daud di sini pada 24 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, suami wanita berkenaan yang berusia 33 tahun turut mengambil gunting untuk memotong rambut isterinya sambil mengugut dengan kata-kata 'aku bunuh kau, baru tahu'.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, mangsa yang baru tiba di rumah selepas pulang bekerja diserang oleh suaminya akibat perselisihan faham.

"Suami mangsa yang tidak bekerja itu bertindak mengunci pintu rumah dan berlaku perbalahan sebelum mangsa ditarik ke bahagian dapur.

"Selain memukul isterinya dengan teruk, suspek turut memijak isterinya dan memotong rambut wanita itu dengan gunting," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nasir, selepas kejadian itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar dan suspek berjaya diberkas pada hari yang sama.

"Suspek kini ditahan reman dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Polis tidak akan campur tangan dalam urusan perceraian tetapi kita tidak akan bertoleransi terhadap keganasan rumah tangga.

"Selain itu, kami turut menahan suspek mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes samun yang berasingan," katanya.

Katanya, sehari sebelum kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani itu ada membuat laporan polis kerana ditumbuk suaminya.

Utusan
1 Jul 2010

Lima minit penuh ngeri

ARKIB 3 Julai 2010



17 pelajar berdepan detik cemas selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar

MUAR: Lima minit tempoh yang amat mencemaskan bagi 17 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, dekat Kundang Ulu di sini, semalam, apabila mereka terpaksa menyelamatkan diri dan membantu rakan lain selepas bot dinaiki karam di Sungai Muar, tengah hari semalam.

Bot yang sepatutnya hanya boleh memuatkan lima penumpang itu dimasuki air beberapa saat selepas pelajar berkenaan menaikinya menyebabkan mereka terjun ke sungai yang arusnya deras walaupun sebahagiannya tidak pandai berenang.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, semua pelajar termasuk empat perempuan, selamat.

Mereka yang tidak memakai jaket keselamatan, menaiki bot berkenaan menyeberangi Sungai Muar yang lazimnya mengambil masa lima minit, untuk pulang ke rumah di Kampung Liang Batu.

Semua mereka bernasib baik apabila kejadian itu berlaku hanya 20 meter dari tebing sungai dan sempat berpaut pada pancang kayu, selain dibantu rakan yang tahu berenang.
"Kejadian berlaku terlalu pantas. Dalam beberapa saat saja bot mulai karam selepas dimasuki air. Kami panik... semua yang menaiki bot itu menjerit ketakutan sehinggakan suasana menjadi kelam kabut.

“Semua pelajar dalam bot terus terjun ke dalam sungai. Mereka yang tahu berenang membantu rakan lain. Malah saya sendiri juga hampir lemas dan terkapai-kapai sebelum sempat ditarik seorang kawan,” kata seorang pelajar terbabit, Mohammad Amirul Hakimi Hanafi.
Ketika menceritakan detik mencemaskan itu, Mohammad Amirul, 14, berkata walaupun kejadian berlaku berhampiran tebing sungai, keadaan arus agak kuat menyebabkan ada di kalangan pelajar yang sukar menyelamatkan diri dan hampir lemas.

Menurutnya, semua pelajar itu, termasuk empat pelajar perempuan adalah kumpulan pertama yang menaiki bot itu, manakala sekumpulan lagi rakan mereka, termasuk guru menunggu giliran menaiki bot di jeti Pekan Kundang Ulu itu.

Pemandu bot, Fuad Hasbullah, 56, bersyukur kerana semua pelajar dibawanya, selamat.

“Mujurlah ada antara mereka sempat berenang dan berpaut di pancang kayu yang terletak berhampiran jeti Kampung Liang Batu. Keadaan mungkin sebaliknya jika berlaku di tengah Sungai Muar kerana arusnya kuat dan air dalam boleh menyebabkan pelajar hanyut serta tenggelam,” katanya.

Katanya, bot yang karam itu baru digunakan sejak akhir Mei lalu, selepas bot penambang biasa digunakan pelajar dan penduduk berulang alik ke Pekan Kundang Ulu, karam di Jeti Kampung Liang Batu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata siasatan awal mendapati bot itu membawa penumpang melebihi had yang menyebabkannya karam.

Katanya, kira-kira 17 pelajar dan pemandu bot berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai berikutan lokasi karam hanya terletak 20 meter dari tebing.

“Bot itu sepatutnya hanya membawa kira-kira lima penumpang saja, tetapi sebaliknya, ia membawa melebihi dua kali ganda sehingga menyebabkan bot itu gagal menampung muatan itu lalu karam,” katanya ketika dihubungi.

Berita Harian
3 Jul 2010


15 pelajar selisih maut

LEDANG: “Jaket keselamatan yang disediakan tidak mencukupi, malah kami terpaksa berkongsi bagi menyelamatkan rakan lain yang tidak tahu berenang,” kata Salihin Abdul Jalal, 15, seorang daripada pelajar yang nyaris maut apabila bot yang dinaiki mereka untuk ke sekolah karam, semalam.

Dalam kejadian jam 12.11 tengah hari itu, 15 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Temenggong Ahmad, Kundang Hulu berdepan saat getir apabila terpaksa terjun dari bot yang karam akibat lebih muatan.

Bagaimanapun, semua pelajar berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas mendapat bantuan daripada penduduk kampung berhampiran.

Mengimbau kembali pengalamannya, Salihin mengatakan dia terkejut kerana bot yang dinaiki mereka itu tiba-tiba dimasuki air dengan cepat.

“Sepatutnya setiap bot dibenarkan membawa lapan penumpang saja, tetapi pada hari ini (semalam), bot penambang itu dinaiki 16 penumpang termasuk jurukemudinya.

“Sejurus tiba di tengah sungai, bot tiba-tiba dimasuki air dan kami mula panik. Menyedari kejadian itu, kami terpaksa berdiri dan terjun untuk menyelamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui, di Jeti Kampung Liang Batu.

Lebih malang lagi, Salihin berkata, empat pelajar perempuan yang berada di dalam bot itu tidak tahu berenang dan mereka hanya menjerit meminta tolong.

Pada saat getir itu, Salihin mengarahkan rakan yang pandai berenang menanggalkan jaket keselamatan supaya dapat diberikan kepada pelajar perempuan berkenaan.

“Kejadian menyebabkan penduduk kampung terjun ke sungai menyelamatkan mereka. Tiada kemalangan jiwa, tetapi seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun pengsan sebaik diselamatkan kerana tertelan air ketika menyelamatkan diri,” katanya.

Pelajar berkenaan dihantar ke klinik berhampiran dan dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Ibu kepada seorang daripada mangsa, Nurhaliza Zakaria, 40, berkata anak perempuannya fobia untuk ke sekolah dengan menaiki bot selepas ini.

“Mungkin dia terpaksa ke sekolah menggunakan jalan darat iaitu berjalan sejauh 10 kilometer pergi dan balik setiap hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Liang Batu, Aman Ayub menggesa kerajaan negeri mahupun Persekutuan supaya menyegerakan pembinaan jambatan yang dipohon penduduk sejak bertahun lalu.

“Kita bernasib baik kerana tiada nyawa melayang hari ini (semalam), tetapi sampai bila pelajar terpaksa menaiki bot untuk ke sekolah.

“Hampir setiap hari mereka terpaksa berdepan risiko termasuk mati lemas atau bot karam, jadi kami harap permintaan mendapatkan jambatan dapat direalisasikan segera,” katanya.

Dalam masa sama, Aman turut berharap pihak berkuasa dapat menyediakan sampan yang lebih besar serta lengkap dengan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan dan sebagainya yang bersesuaian.

myMetro
3 Jul 2010

20 keluarga terperangkap

ARKIB 27 Jun 2010

HASNAH Malik (kanan) bersama ahli keluarga di luar rumahnya yang digenangi banjir selama tiga hari di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad, Muar, semalam.

MUAR 27 Jun - Kira-kira 20 keluarga di Kampung Parit Raja, Jalan Temenggong Ahmad di sini terperangkap di dalam rumah selama tiga hari akibat banjir yang disebabkan limpahan air parit tersumbat.

Hujan selama dua jam sahaja sudah cukup untuk menimbulkan resah para penduduk kerana limpahan air itu turut memasuki bahagian rumah dan membataskan kehidupan seharian mereka.

Menurut seorang penduduk, Hasnah Malik, 58, kejadian banjir itu mula berlaku pada Jumaat lalu selepas hujan lebat pada kira-kira pukul 4 pagi.

"Air dari parit di depan rumah saya ini melimpah dan keluarga saya menjadi kelam-kabut kerana sebahagian daripada rumah saya dimasuki air setinggi paras buku lali.

"Kami sangka banjir ini akan surut semalam tetapi hujan selama dua jam pagi tadi menyebabkan air sekali lagi masuk ke dalam rumah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kata Hasnah, dia percaya masalah banjir akibat limpahan air parit itu berpunca daripada laluan air di bawah Jalan Temenggong Ahmad yang tersekat dan tidak dapat mengalirkan air dengan baik.

"Selagi lubang saliran air itu tidak diselenggara atau ditukar baru, selagi itu masalah banjir ini akan menimpa penduduk di Kampung Parit Raja," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Norfadzlin Fadzil, 21, berkata, kejadian banjir itu adalah yang pertama untuk tahun ini dan dia bimbang situasi sama akan berulang jika langkah untuk mengatasinya tidak diambil pihak berkuasa.

"Disebabkan masalah banjir ini, banyak penduduk kampung yang tidak dapat tidur di rumah sendiri dan terpaksa menumpang di rumah jiran.

"Saya berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melihat sendiri masalah ini dan menyelenggara parit di kawasan rumah kami ini kerana aliran di bahagian lain tidak nampak pun bermasalah," katanya yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat guaman.

Sementara itu, menurut seorang lagi penduduk, Mohd. Raya Sharif, 44, segala urusan kerja dan persekolahan anak-anaknya terganggu akibat masalah banjir yang berpunca daripada limpahan air di parit di depan rumahnya.

Utusan Online
27 Jun 2010